Sunday, January 2, 2011

PART 9


Aku sedang berbual-bual kosong dengan teman sekuliahku sambil menanti kehadiran pensyarah. Jam menunjukkan tepat jam tujuh empat puluh lima pagi. Masih awal untuk semua kerusi di dewan kuliah ini penuh. Tidak ramai yang suka memilih kuliah pagi. Semaklum aku, sebanyak enam jurusan yang mengambil kursus ELR4008 semester ini iaitu mungkin dalam empat ratus orang pelajar. Namun begitu kelas aku hanya mempunyai lebih kurang sembilan puluh orang pelajar.

Biasalah, kelas pagi memang tidak ramai yang berminat tambah-tambah lagi Dr. Haliza yang memang terkenal dengan ketegasannya menjadi pengajar kelas pagi. Tapi pada aku, aku tetap suka dengan kuliah sebelah pagi. Pelajaran mudah diserap. Soal ketegasan Profesot Haliza pula tidaklah menjadi masalah padaku kerana ketegasannya berasas. Kalau semua tugasannya dilaksanakan dengan baik, tiada sebab untuk merasa kecut perut.

Sambil berbual, mataku mencuri pandang kerusi di bahagian belakang. Kosong. Aku sabar menanti. Pasti sekejap lagi dia datang. Sebaik aku selesai bermonolog, pintu dewan kuliah ditolak dari luar dan terdengar ketawa yang berdekah-dekah. Aku melihat gerangan yang datang dan ternyata orang yang aku tunggu-tunggu. Syaqir dan teman-temannya seperti biasa menyapa seluruh kelas dengan gelagat nakal mereka. Beberapa orang pelajar perempuan yang berada di barisan hadapan diusiknya mereka dengan pujian-pujian melangit. Hatiku tergeletek juga dengan ulah mereka.

Syaqir menaiki anak tangga menuju ke tempat biasanya. Aku melirik langkahnya satu persatu. Dengan baju panas corak kotak-kotak yang disingsing hingga ke paras lengan dan kain yang diikat di kepala membuatkan dia cukup bergaya. Temanku di sebelah mencuit lenganku sambil mulutnya dimuncungkan ke arah Syaqir. Aku menjongketkan kening.

“Ganteng ah!,” dia memuji penampilan Syaqir. Aku tersenyum kecil.

Akhirnya Syaqir melintasiku tanpa sedikit pun berpaling. Aku jadi hampa. Adakah kini dia sudah mula menjauhkan diri? Aku tunduk mengadap buku sambil menghilangkan perasaan kecewa dalam hati. Tidak apalah, mungkin dia tidak perasankan aku tadi. Tidak berapa lama kemudian, Dr. Haliza masuk ke dewan dan kuliah hari itu pun bermula.

Aku cepat-cepat mengemas usai kuliah. Hana sudahku minta untuk menungguku sebentar dan dia tanpa keberatan sedia menanti. Sebaik Syaqir lalu hampir denganku, aku memanggilnya.

“Syaqir!” Dia tersentak seraya berpaling kepadaku. Aku lalu menuju ke arahnya sambil menahan getar dalam hati. Aku memandang Farid dan Haris yang bersamanya. Bagai mengerti, mereka berdua berlalu dan menyatakan untuk menunggu Syaqir di kafe sahaja.

“Err, aku...,” aku tidak tahu bagaimana hendak mengatur patah-patah perkataan yang terabur dalam benakku. Syaqir mengangkat kedua-dua belah keningnya. Wajahnya langsung kering senyuman menambahkan kegagapanku. Aku menarik nafas dalam, mengumpul keberanian. Baru sahaja aku ingin bersuara, dia memintas.

“Ada apa hal, Qis?,” soalnya. Aku menelan liur. Erkkk... macam mana nak cakap ni?

“Kita masih kawan ke?,” soalku meluru. Ishh... apsal keluar soalan macam tu pulak? Aiseyman... Dia mengerutkan kening sebelum tertawa. Dia duduk di atas tangga dan membuka kain yang melilit di dahinya. Sambil melipat-lipat kain Nike itu, dia memandangku. Aku masih menanti jawapannya.

“Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam ni?,” tanyanya perlahan, penuh budiman. Ishhh... Syaqir, jangan bersuara macam tu. Tergugat imanku!, aku menepis godaan yang tiba-tiba datang.

“Tak ada apa. Saje tanya,” balasku menutup kegopohan tadi. Lain yang nak ditanya, lain pula yang keluar. Aku berkalih memandang Hana yang setia menantiku di bawah dewan, berhampiran meja pensyarah.

“Mesti ada sebab, kan? Lagipun, kau takkan rela tunggu aku kalau tak ada sesuatu yang penting, kan?,” ujar Syaqir. Aku diam. Tunduk.

“Qis?,” panggil Syaqir. Aku masih tunduk. Tidak tahu bagaimana mahu menyatakan perkara yang sebenar. Masih marahkah Syaqir dengan peristiwa tempoh hari? Aku sepatutnya memberitahunya bahawa aku sudah pun melupakan kejadian yang menimpa aku itu. Aku tidak sedikit pun berdendam dengan sesiapa. Aku tidak sepatutnya marah dengan dia dan menengkingnya sedemikian. Tapi, melihatkan penerimaan dia tika ini, aku jangka dia juga sudah melupakan segala yang terjadi petang itu. Pasti peristiwa itu tidak berparut di hatinya. Ah, kalau macam tu tidak perlulah aku minta maaf. Rasanya semua sudah kembali seperti biasa.

Aku mengangkat punggung. “Tak apalah. Aku pergi dulu.”

“Eh, macam tu pula? Soalan aku kau tak jawab lagi,” ujarnya. Aku terus menuruni tangga tanpa menghiraukannya. Syaqir menuruti langkahku.

“Okeylah, okeylah... kalau kau tak nak jawab soalan aku, tak apa. Tapi aku nak jawab soalan kau tadi!”

“Walau apa pun yang terjadi, aku tetap kawan kau selagi kau perlukan aku. Aku tidak pernah membuang kau apatah lagi melupakan kau. Aku tidak akan pernah menjauh. Kalau ada pun itu bukan kerana membenci kau tetapi kerana aku ingin memberi masa pada diri aku untuk terus menyayangi kau.”

Aku tertegun. Semerta pipiku terasa panas. Langkahku terhenti. Mataku tepat memandang Hana yang membalas pandanganku. Aku tidak pasti sama ada Hana turut mendengar kata-kata Syaqir itu tadi atau tidak tapi yang pasti, aku mendengarnya dengan jelas sekali. Syaqir memintas aku yang terpaku di anak tangga terakhir. Dia sedikit pun tidak memandang aku dan terus menolak pintu dewan. Keluar.

Aku beristighfar. Hatiku mula dikuasai perasaan yang entah apa-apa. Aku beristighfar lagi. Lagi. Lagi. Lagi. Lagi. Dan lagi. Semoga dengan mengingati Allah, hatiku kembali tenang. Aku merapati Hana yang setia menanti.

“Jom,” ajakku sepatah. Hana menurut.

“Kenapa tadi tu?,” tanya Hana sambil berjalan. Aku tersenyum kecil.

“Tidak ada apa-apa,” balasku sambil menyeluk beg sandangku mencari telefon bimbit. Aku melihat ada satu panggilan tidak dijawab. Aku menekan butang List. Bonda. Tidak mengapalah, balik nanti aku akan menelefon ibuku kembali. Aku menyimpan telefon ke dalam beg kembali.

“Tapi saya tengok korang semacam sahaja, Qis,” tegur Hana lagi.

Aku memandangnya. Di wajah Hana, aku melihat ada kejujuran. Pasti dia bertanya kerana rasa kasihnya sebagai sahabatku. Lagipun, Hana ku kenal sifat menyimpan rahsianya. Lalu, tanpa berselindung aku ceritakan apa sebenarnya yang terjadi antara aku dan Syaqir. Dari mula hingga akhir. Cerita bagaimana aku membantunya ketika ditimpa gastrik, kemudian digosipkan dengannya, perang dingin antara kami sehinggalah kepada peristiwa petang itu. Aku ceritakan seikhlasnya. Hana mendengar dengan baik sekali.

“Saya rasa, Syaqir suka awak Qis,” putus Hana di akhir ceritaku. Aku terperanjat. Eh, kenapa sampai ke situ pula? Aku rasa perjalanan persahabatan aku dengan Syaqir tidak ubah seperti api dan minyak. Asal berjumpa pasti bertekak. Asal tersimbah pasti merebak. Masakan mungkin Syaqir menyukaiku? Ah, Hana... pandai-pandai aje!

“Tak mungkinlah!,” balasku. Hana mengangguk.

“Betul, Qis,” Hana meyakinkanku. Aku menggelengkan kepala.

“Sudahlah Hana. Saya tidak mahu bincang hal ini. Lagipun, saya tidak pernah ada perasaan selain perasaan seorang kawan terhadap Syaqir. Saya dengan dia, berbeza!,” tegasku.

“Maksud awak?,” Hana masih mahu berbicara soal itu.

“Tidak ada maksud apa-apa. Tapi saya tetap tidak mahu cakap hal tu. Tak best!,” aku menjuihkan bibir. Hana ketawa menampakkan sebahagian giginya yang putih tersusun itu.

“Okeylah kalau macam tu. Tapi kalau jadi jangan lupa jemput saya tau?,” usik Hana lagi. Aku mencubitnya. Dia mengaduh sebelum ketawa lagi.

Masa terus berlalu. Pepohonan yang dulunya baru mengeluarkan putik sudah mula mengembangkan bunga-bunga yang mekar segar. Di taman pertanian universiti, anak kambing sudah mula boleh berlari. Ikan-ikan sudah boleh dituai dan tanaman sudah mengeluarkan hasil. Waktu terlalu pantas bergerak. Kini, pelajar-pelajar tahun akhir sedang menghadapi peperangan terakhir sebagai mahasiswa. Lagi sebulan, istilah mahasiswa akan terungkai dari kehidupan mereka dan bermulalah episod baru dalam perjalanan hidup.

Apa yang pasti, segala beban yang terpikul selama ini rasa telah terlepas dari tanggungan. Harapan ayah dan ibu pasti akan tertunai tidak lama lagi. Dan di wajah setiap mahasiswa juga, bagai terlakar sebuah kegembiraan yang pasti tidak akan mudah terpadam.

Antara Hawa Qistina dan Syaqir juga telah pulih semuanya tetapi jarak antara mereka masih ada. Walaupun mereka sudah saling bertegur sapa tetapi gundah di dalam hati siapalah yang tahu. Apa pun yang pasti, kenangan di zaman remaja adalah kenangan yang sungguh indah dan pasti sukar untuk dilupakan sama ada yang terpahit atau termanis.