Saturday, May 28, 2011

PART 13

Aku menghantar buku yang dipinjam tempoh hari. Hari ini Ayahanda yang menghantarku kerana keretaku perlu dihantar ke bengkel gara-gara kemalangan kecil dengan sebuah lori sayur tempoh hari. Salah aku juga kerana mengundurkan kenderaan tanpa melihat ke belakang. Akibatnya, bumper belakang kemek berlanggar dengan belakang lori. Jenuh juga telingaku menahan bebelan daripada Ayahanda namun itu semua sementara sahaja. Dengan baik hatinya Ayahanda menghantar keretaku ke bengkel milik temannya. Hehehe, terima kasih!

“Hawa nak Ayahanda tunggu ke?,” tanya Ayahanda sebaik kenderaan pacuan empat roda ini berhenti betul-betul di depan bangunan perpustakaan.

“Rasanya tak payahlah, Ayahanda. Hawa ingat nak study kat library dulu,” jawabku semasa menyalami tangan tua Ayahandaku. Aku membuka pintu belakang dan mencapai beg sandang dan beberapa buah buku yang perlu dihantar. Hari ini aku mengenakan slack warna krim dengan padanan blaus kuning yang bercuff di pergelangan tangan.

“Okeylah. Kalau macam tu Ayahanda hendak ke gudang. Balik nanti Ayahanda ambil Hawa, ya?,” usul Ayahandaku.

Aku mengangguk.

Semenjak menyerahkan urusan syarikat sepenuhnya kepada Alangku, Ayahanda hanya lebih banyak melawat ke gudang-gudang yang menempatkan stok kain yang baru sampai dari luar negara. Jarang sekali Ayahanda singgah di pejabat utama. Ayahanda yakin dengan pengurusan Alang. Kejayaannya telah terbukti. Lagipun, Alang memang mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan. Barangkali minatku untuk berniaga juga turun temurun daripada Ayahanda. Cuma yang bezanya aku minat dalam sektor pertanian, tidak dalam bidang tekstil seperti Ayahanda dan Alang. Along dan Angahku juga berniaga. Mungkin kerana itu, keluarga kami nampak berada.

Aku mendaki anak tangga menuju ke blok A Perpustakaan Sultan Abdul Samad. Aku perlu menghantar buku-buku ini terlebih dahulu sebelum ke perpustakaan perubatan untuk menelaah pelajaran.

Sebaik menghantar buku yang telah dipinjam, aku naik sebentar di tingkat dua. Aku pergi ke bahagian yang menyediakan bahan-bahan untuk pengajian pertanian. Aku jadi teringat dengan panggilan Yusfarina yang kuterima minggu lepas. Katanya, kebanyakan strawberi kami diserang penyakit. Namun, katanya pakar entemologi telah dipanggil untuk memeriksa keadaan. Sekarang, ladang kami ditutup untuk pelawat. Aku lalu berjanji untuk ke Cameron Highlands jika tidak sibuk. Rindu juga pada ‘anak-anakku’ itu.

Mataku cepat menangkap sebuah buku tentang penyakit-penyakit yang menyerang tanaman iklim tropika. Aku menarik buku berkenaan dan membacanya sepintas. Sedang aku khusyuk menelaah, badanku tiba-tiba dicuit. Aku berpaling ke belakang.

“Eh, kau? Buat apa kat sini?,” soalku separuh berbisik. Syaqir berdiri sangat hampir denganku.

“Sama macam kau,” jawabnya, juga separuh berbisik sambil menarik buku yang sedang aku pegang.

“Kenapa baca buku ni? Bukan kau veterinar ke?,” tanyanya. Aku menarik buku itu kembali. Muka surat yang sedang aku baca tadi sudah hilang. Aku membelek indeks kembali.

“Itu kau tak perlu tahu. Adalah kerja aku... Lagipun, takkan belajar bidang tu nak baca pasal benda tu sahaja. Apa salahnya kembangkan pengetahuan,” balasku selamba.

Kenapalah aku asyik bertembung dengan dia sahaja? Rasanya universiti ini sudah cukup besar, aku mendengus sendiri.

Aku kemudian mencari-cari bahan rujukan lain. Rasanya buku yang sudah aku jumpa ini tidak cukup untuk maklumat tentang penyakit yang menyerang tanamanku. Pandanganku meniti setiap judul-judul buku yang tersusun. Syaqir mengekoriku. Aku jadi kurang senang. Apa kata orang nanti kalau nampak keadaan aku dan Syaqir? Pasti akan mengundang fitnah. Lagipun, lorong-lorong buku di sini agak sunyi. Aku malu jika pengawas melihat kami melalui CCTV yang terpasang. Ah, itu baru manusia yang memandang, bagaimana pula di pandangan Allah? Aku beristighfar.

Laa takrabuzzina;
Janganlah kamu menghampiri zina.

Berdua-duaan begini paling tidak pun akan mengundang zina hati. Ah, aku tidak mahu!

“Kau nak cari apa?,” tanyaku.

“Cari cinta!,” jawab Syaqir nakal. Aku mendengus, kali ini jelas di pendengaran biasa.

“Suka hati kaulah,” balasku. Aku menjarakkan diri daripada terus rapat dengan Syaqir. Namun Syaqir kembali merapati. Aku mengerutkan kening.

“Eh, kau ni apasal asyik ikut aku je dari tadi? Carilah buku,” ujarku sambil mengacip gigi. Syaqir menggeleng sambil ketawa kecil.

“Kan aku dah cakap, aku bukan cari buku. Aku cari cinta!,” jawab Syaqir. Hati aku mula rasa jengkel dengan lawaknya.

Aku menjelingnya tajam. Biar dia tahu aku benci. Kenapalah dia tidak menghargai hubungan yang sudah pulih ini? Sengaja menghangatkanku. Oh Syaqir, tolonglah. Aku tidak mahu kembali membencimu!

Sesungguhnya aku tidak ingin keras denganmu tetapi aku bimbang kelembutanku nanti menjadi pelabuhan untuk kau permainkan diri ini. Atau lebih teruk lagi kelembutanku menjadi punca kealpaanmu kepada Yang Esa. Aku tidak ingin menjadi boneka dunia lagi.

Aku tidak mahu menjadi seperti perempuan yang tercatat dalam al-Quran sebagai penggoda yang bisa merosakkan walaupun hakikatnya sebagai perempuan aku mampu berbuat begitu. Aku mahu menjadi seperti wanita yang tercatat dalam al-Quran sebagai srikandi Islam dan pejuang sayap kiri Islam seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, Fatimah az-Zahra, Balqis, Hindun dan ramai lagi. Jadi tolonglah, jangan menduga hatiku.

Aku menuju meja yang kosong, betul-betul di sebelah tiang. Agak tersorok. Hendak tidak hendak, aku duduk juga disitu. Kebanyakan meja di ruangan ini sudah penuh. Syaqir turut mengikutku. Dia duduk berhadapan denganku. Aku jadi tidak senang dengan lagaknya yang merenungku sedari tadi. Rimas! Aku menutup buku yang sedang ku baca.

“Look, what’s wrong with you, Syaqir? Dari tadi kau asyik ikut aku, renung aku sedangkan satu buku pun kau tak baca,” soalku perlahan. Aku tidak mahu mengganggu konsentrasi mereka yang ada disini. Syaqir menyisir rambutnya dengan jari.

“Nothing’s wrong. Kau bacalah, aku nak duduk sini sahaja,” balasnya selamba. Aku menggeleng.

“Kalau macam tu, kau tolong jaga tempat ni kejap. Aku nak pergi cari buku lagi,” pintaku lalu bingkas bangun menuju rak. Niat hati sebenarnya mahu menjauhkan diri daripadanya sahaja. Aku cuba menenangkan hatiku yang tiba-tiba berdebar. Entah kenapa.

Aku menarik sebuah buku dari atas rak. Dari celahan buku, aku terpandang dia di bahagian sebelah sana rak. Aku membulatkan mata. Dia tersengih padaku.

“Bukan tadi aku suruh kau tunggu sana ke?,” aku berkata geram. Asyik nak mengekor sahaja.

“Ah, boring la duduk-duduk di situ sahaja. Lagipun, aku pun nak cari bahan juga,” sampuknya. Aku tidak membalas. Biarlah!

Aku mendongak mencari buku lain. Akhirnya, buku yang aku cari terjumpa juga. Tapi, alamak! Tinggi la pulak. Aku melilau mencari bangku namun tiada. Aku menjinjingkan kakiku untuk mencapainya tetapi gagal. Seketika, Syaqir merapatiku.

“Nak aku tolong?,” soalnya. Aku menggeleng.

“Tak apa, aku boleh ambil sendiri!” Beberapa kali aku menjinjing, tetap juga tidak sampai.

“Biarlah aku tolong!,” Syaqir mempelawa lagi. Lalu dia menghulurkan tangannya untuk mencapai buku yang dimaksudkan.

“Tak apalah, lagipun aku dah dapattt..,” tidak habis pun kata-kataku kakiku tiba-tiba kejang.

Aku segera terduduk. Buku yang telah tercapai tadi jatuh ke lantai. Kakiku kejang hingga ke betis. Aduh, sakit sungguh! Aku cuba meluruskan kakiku agar tidak kejang dengan lebih parah lagi. Aku cuba mengamalkan latihan yang aku perolehi semasa menganggotai pasukan paramedik dahulu.

Syaqir kelihatan terkejut dengan keadaanku. Dia segera duduk berhampiranku.

“Kau kenapa? Tiba-tiba sahaja ni,” tanyanya. Aku menahan sakit.

“Kaki aku kejanglah!”

“Habis, nak aku bawa ke klinik? Jom!,” ajaknya sambil cuba mencempung aku. Aku menepis pantas.

“Tak apalah. Aku okey kejap lagi. Cuma kena ambil masa sikit,” beritahuku.

“Eh, kejang ni tak boleh memandai-mandai. Boleh jadi makin parah. Marilah aku bawa kau ke klinik!,” aku nampak dia cukup prihatin namun aku terpaksa menolak. Aku tidak ingin dicempung olehnya. Syaqir menggetap bibir.

Dia cuba memegang kakiku namun aku sengaja mengaduh.

“Tak apa. Aku bekas paramedik. Aku tahu bagaimana nak pulihkan diri aku. Jangan bimbang, cuma ambil masa sikit sahaja,” ujarku. Aku benar-benar tidak mahu dia menyentuhku. Aku menahan nafas sambil meluruskan kakiku yang semakin membengkok dengan sendirinya akibat tekanan dari otot yang kekejangan.

Dalam dua minit, kakiku sudah kembali pulih tetapi masih terasa sakit pada otot-otot yang kekejangan tadi. Aku cuba bangun tetapi nyata kakiku tidak kuat untuk menahan berat badanku. Aku kembali terduduk. Seorang mahasiswa tiba-tiba masuk ke lorong kami. Aku tersentak. Bukan kerana apa tetapi kerana malu dengan keadaanku yang berdua-duaan dengan Syaqir ini. Pasti mengundang pelbagai andaian buruk difikirannya.

“Opss, sorry,” ucapnya sebelum berpatah balik. Aku tunduk. Tindakannya jelas menzahirkan apa yang difikirkannya. Aku menahan getar dalam dada. Oh Tuhan, jauhkanlah aku dari sebarang fitnah! Syaqir kelihatan terkejut juga, dia diam tanpa kata.

“Jom, aku tolong kau. Takkan nak duduk disini,” katanya.

Aku mendongak ke arahnya. Geram. Adakah dia tidak faham pandangan serong tadi atau sengaja buat-buat tak faham? Namun aku tidak mahu bertekak dengannya disini. Aku pendam perasaan dalam hati. Aku cuba bangun namun nyata kakiku masih sakit.

“Tak apalah, kau pergi sahaja. Kejap lagi aku pergi. Kakiku masih tak kuat,” beritahuku.

“Kalau macam tu, biar aku tunggu disini juga,” putusnya. Aku terperanjat dengan usulannya.

“Baik kau pergi. Aku tak selesa berduaan macam ni. Sudahlah Syaqir, kau pergi sahaja,” ujarku. Syaqir menggeleng.

“Kau ni kenapa? Tadi seorang dah syak kita bukan-bukan, kau nak tambah lagi ke? Pergilah, aku tak selesa. Biar aku sendiri,” kataku geram.

Syaqir menarik nafas. Dia merenung aku dalam.

“Kau nak aku tinggalkan kawan aku yang sakit macam ni? Apa kau ingat aku ni teruk sangat ke? Aku ni tak reti menghargai seorang kawan ke? Ingat aku apa? Time senang je aku cari kawan, susah aku main blah saja. Macam tu?,” Syaqir meninggikan suaranya.

Walaupun mungkin tidak didengari oleh mereka yang berada di dalam perpustakaan iini tetapi cukup kuat dan lantang untuk aku yang berada betul-betul di hadapannya. Aku mendengus kasar. Nafasku turun naik dengan pantas.

“Habis, kau suka la kalau orang salah anggap dengan kita? Macam tu?,” balasku.

“Persetan la dengan pandangan orang. Kau ni dari dulu sampai sekarang kalau bab pandangan orang ambil peduli sangat. Tapi perasan seorang kawan yang kat depan kau ni tak pernah kau nak peduli. You think you can pleased everybody, macam tu? Janganlah paranods sangat, Qistina,” balasnya dengan lebih pedih.

Hati aku tiba-tiba tercalar dengan kata-katanya. Aku diam.

Fine, suka hati kau,” aku membalas perlahan.

Lalu aku mengurut kakiku agar cepat lega. Syaqir masih berdiri disisiku namun hati aku betul-betul sakit dengannya.

Aku cuba berjalan bila merasakan kakiku sudah lega sedikit. Syaqir memerhatikanku tanpa sepatah kata. Baru beberapa langkah, kami didatangi seorang pengawas perpustakaan.

“Dik, maaf ya. Perpustakaan ini untuk pelajar study jadi akak harap adik berdua tolong hormat ya. Kalau nak bercinta pun, agak-agak la. Walaupun orang tak nampak, tapi CCTV ada. Tapi yang paling penting, Tuhan tahu. Jaga diri, jaga akhlak,” ujar pengawas perpustakaan ini sambil tersenyum sinis.

Aku terkesima buat kali kedua.

“Err, akak jangan salah faham. Kami tak buat apa-apa pun,” Syaqir bersuara setelah nyata aku tidak mampu bersuara lagi.

Aku betul-betul terkejut dengan teguran sebegini yang amat memalukan. Kalaulah Syaqir mendengar kata-kataku tadi dan berlalu meninggalkan aku sendirian, pasti semua ini tidak terjadi. Aku mula menyalahkan Syaqir. Ah, memang dia patut dipersalahkan pun. Aku ke sini nyata untuk mengulangkaji tetapi dia hanya menggangguku sahaja dari tadi.

“Akak dah selalu dengar sangat jawapan macam tu. Tak apalah, pandai-pandailah jaga diri. Kamu berdua pun bukan budak kecil lagi. Akak harap korang jangan buat hal lagi!,” tegasnya sebelum berlalu meninggalkan kami.

Aku berjalan menuju ke meja yang menempatkan buku-bukuku tadi tanpa sepatah kata. Syaqir mengikutku daripada belakang. Aku segera mencapai buku-bukuku dan mahu berlalu.

“Qis, aku...” aku segera berpaling.

Not a word!,” pintasku sambil merenungnya tajam, sebelum meninggalkannya. Hati aku betul-betul malu dan sakit.


Aku menumpukan sepenuh perhatian terhadap bahan rujukan di depanku. Malas rasanya mengingati peristiwa tadi. Memalukan sahaja. Tapi, satu perkara pun tidak masuk dalam kepalaku yang berselirat dengan masalah yang baru sahaja wujud itu. Aku menekup muka. Rasa mahu menangis sahaja. Nasib baik aku mengambil ruang karel, dapatlah aku melindungi galau hati yang sedang menggigit-gigit naluri.

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya namun, perasaan benci dan bosan kembali merajai perasaan. Astaghfirullah… aku beristighfar sebanyak mungkin. Ini semua hasutan syaitan yang sememangnya suka melihat anak Adam bermusuh-musuhan dan saling membenci. Tetapi peristiwa tadi betul-betul melukakan hatiku. Aku jadi teringat tentang kisahku dengan dia dahulu. Bencinya hatiku!

Akhirnya air mataku menitis juga. Akulah yang bernama perempuan dan seorang gadis. Hati yang mudah rapuh. Jiwa yang mudah goyah. Aku biarkan seketika air mataku berebut-rebut untuk mengalir di pipi sebelum aku mengambil keputusan untuk bingkas bangun menuju ke tandas. Tanpa aku sedari, rupa-rupanya seseorang menghalangi ruang keluarku.

Aku berpaling ke belakang dan lihat dia sedang memandang tepat ke arahku. Hati aku kembali terusik. Bukan dengan perasaan syahdu atau terharu tetapi amarah tiba-tiba menerjah dinding hati.

“Kau buat apa kat sini? Tak habis lagi nak memalukan aku?,” sambil mengacip gigi, aku bertanya geram. Dia memandangku tanpa menjawab sepatah pun.

Aku menolak badannya sebelum berlalu pergi. Aku tidak seharusnya membenarkan dia melihat aku menangis begini. Rasa kerdil dan kalah sahaja. Selama ini, aku haramkan air mataku daripada dilihat olehnya meskipun sudah terlalu kerap aku menangis kerana perbuatannya.

Hampir sepuluh minit, aku kembali ke tempat belajar. Dia sudah tiada disitu. Aku terus duduk dan kembali menyelak buku rujukan. Ada sesuatu di celah helaian. Aku menarik keluar sekeping kertas yang bertulisan tangan itu.

Aku tunggu di bawah. Please… jumpa aku. Aku minta maaf pasal tadi.
ASM

Aku mencebik lalu menggumpal kertas kecil itu. Aku harap, dia masih ada disini dan melihat tindakanku ini. Lalu, tanpa melayan segala macam perkara yang berpusing-pusing dalam kepala, aku meneruskan ulangkaji.

Tiba-tiba telefon bimbitku bergetar dari dalam poket seluar. Aku mencapainya dan membaca mesej yang ku terima.

Ayahanda dh on the way. Within fifteen minutes i’ll be there

Aku segera mengemas kerja-kerjaku. Aku tidak mahu membiarkan Ayahandaku ternanti-nanti sebentar lagi. Lagipun, dengan kakiku yang terpaksa berhenjut ini rasanya aku memerlukan lebih masa untuk berjalan. Aku menuruni anak tangga satu persatu agar tidak terpelecok. Sampai di anak tangga terakhir, seseorang menghampiriku. Aku segera berpaling.

“Aku tak nak jumpa kau,” ujarku perlahan. Syaqir buat-buat tidak dengar.

“Kaki kau macam mana? Mari aku bawa ke klinik,” pelawanya. Aku berhenti. Lalu merenungnya tajam.

“I hate to see you,” aku terpaksa mengeluarkan kata-kata kasar seperti itu. Syaqir seperti terperanjat dengan butir bicaraku. Aku tahu, itu keterlaluan.

Please, aku minta maaf pasal tadi. Dari tadi aku tunggu kau...,” beritahunya.

“I don’t ask you to do so! And that’s not my problem,” ucapku.

Aku tidak tahu ke mana hilangnya sopan santunku selama ini. Mungkin ia hilang bersama amarahku kepadanya.

“Qis... tolong jangan cakap macam ni dengan aku. Aku tak suka tengok kau marah-marah. Tolong, Qis. Aku betul-betul minta maaf,” tutur Syaqir. Aku menghela nafas kasar sebelum berlalu. Dia menghalang perjalananku.

“Apa yang kau nak sebenarnya ni?,” aku menekan suara.

Marah itu syaitan. Tiba-tiba bisikan itu menerpa ke telingaku. Aku jadi malu serta merta. Marah itu syaitan. Marah itu syaitan. Ia terus berkumandang. Aku segera beristighfar. Aku menarik nafas panjang.

“Apa yang kau nak?,” soalku untuk kali kedua tetapi kali ini lebih lembut. Amarahku sedikit menghilang dengan istighfar itu tadi. Ampuni aku Ya Allah kerana melupakanMU sebentar tadi....

“Qis, aku tahu aku banyak melukakan kau. Tapi Qis, aku sayangkan kau. Sayang yang lebih dari seorang kawan. Aku tahu, kau mungkin tak suka cara aku approach kau tapi aku tidak pandai bermain kata. Tapi hari ni aku nak kau tahu yang aku sayangkan kau. Aku tahu kau penat dengan semua ini. Aku tak paksa kau terima aku tetapi andai dipanjangkan umur, sampai bila-bila pun aku akan tetap tunggu kau,” ucap Syaqir.

Aku jadi keliru. Terkejut pun ada. Tiba-tiba sahaja semua ni berlaku.

“Aku nak balik,” balasku sepatah. Mindaku tidak mahu memproses kata-kata Syaqir sebentar tadi. Rasanya sudah pelbagai peristiwa yang termuat dalam kepalaku hari ini. Aku sudah letih. Aku berjalan terhenjut-henjut menuju ke perhentian bas meninggalkan Syaqir yang hanya mampu melihat aku berlalu.

* * * * * * *

Malam itu aku berehat di kamarku setelah menikmati makan malam. Petang tadi selepas menjemputku dari perpustakaan, Ayahanda terus membawa aku ke klinik. Sambil membelek-belek majalah Mingguan Wanita, aku melayan siaran radio Ikim.fm.

Tuttt....tuttt...

telefon bimbitku berbunyi menandakan ada pesanan memasuki peti simpanan. Aku mencapai N96ku di atas meja dan menekan butang Read.

Assalamualaikum... sesungguhnya aku tdk semulia Muhammad SAW, tdk jg setampan Yusuf dan tdk sehebat Sulaiman ttp... aku sesetia Shah Jehan terhadap Mumtaznya...

Aku segera memadam SMS daripada Syaqir itu. Aku tidak suka dengan nada mesej sebegitu. Aku dapat merasakan bahawa bunga-bunga perasaan sudah mula bertunas dalam hatinya. Jadi, apakah naluri aku selama ini benar? Apakah ini masanya untuk aku mula memikirkan peringkat seterusnya dalam hidupku? Apakah usia dua puluh lima tahun ini sudah masanya yang sesuai?

Aku meletakkan telefon bimbitku di atas meja kembali. Aku tidak mahu terlalu berat memikirkan soal ini. Sudah aku serahkan semua ini kepada Illahi suatu waktu dulu. Aku yakin dengan ketentuanNYA. Lagipun, siapalah aku untuk mengharapkan sesuatu yang sempurna untuk berpasangan denganku sedangkan aku tidak tahu bagaimana aku disisi Allah.

Namun aku percaya dengan berdoa, Tuhan pasti mengurniakan aku dengan seseorang yang ikhlas menyayangiku keranaNYA. Inilah doaku setiap waktu dan ketika. Ya Allah Ya Tuhanku, seandainya telah KAU catatkan dia untukku, maka satukanlah hatiku dan hatinya. Titipkanlah kebahagiaan dalam hidup kami berdua. Aku mohon dia yang telah KAU takdirkan adalah yang terbaik untuk kehidupanku di dunia dan di akhirat. Namun seandainya dia bukan tercipta untukku, maka jauhkanlah hatiku daripada mencintainya dan dia mencintaiku.

Aku memetik suis lampu tidur di sebelah katilku dan kegelapan mula menyelubungi kamar warna jingga ini. Aku mengatupkan mata perlahan-lahan, seiring dengan tasbih, takbir dan tahmid yang meniti di bibir.

Sunday, May 8, 2011

Sifat-sifat Wanita

Assalamualaikum...

Well... orang tua-tua kata, diri kita ni terdiri daripada beberapa unsur alam...dan memang betul pun, saya perna terbaca satu buku tentang kejadian manusia... [akan cuba berkongsi disini kalau sempat sebab buku tu buku wakaf disurau] yang mana sewaktu kejadian Adam as, Allah telah mencipta Adam daripada tanah... kemudian ditiupkan dengan tujuh jenis unsur... api [tak ingat ada jenis-jenis api ke tak], kemudian air (7 jenis air), angin (7 jenis angin) dan beberapa lagi unsur-unsur roh yang lain yang mana menjadikan perangai dan perasaan kita sebagai manusia...

Jadi, betullah kan apa yang orang tua-tua dok bercerita tu cuma susunan tu je tak berapa pasti... mungkin betul mungkin salah. Tapi, saya selalu gak la perhati orang-orang sekeliling saya...hurrmm... ada la sket-sket betulnya... hehehe...

Eh jap... even yang saya dapat ni untuk wanita, arwah nenek dulu tak de plak cakap untuk lelaki ke perempuan... selalunya dia apply untuk dua-dua jantina... hehe... layan je la ea?... so, cekidap!

Tanah - anak pertama, kelima, kesembilan
Air - kedua, Keenam, kesepuluh
Api - ketiga, ketujuh, kesebelas
Angin - keempat, kelapan, kedua-belas

Wanita berunsur Tanah
Tanah yang subur mempu membuahi tanaman yang hijau dan mekar. Wanita yang bersifat tanah biasanya mempunyai sifat-sifat seperti:

* Rendah diri di hadapan suaminya serta hormat dan patuh, setia serta rela berkorban demi kasih sayangnya kepada suami.
* Sebahagian sifat tanah, wanita jenis ini tidak cerewet, tidak suka bercakap meninggikan diri, tidak menyombong dan bukan seorang pemarah.
* Tenang dan mengamankan jiwa suami, selalu memberi galakan dan sokongan dan tidak suka membantah atau membangkang.
* Orang yang berperawakan manis dan lemah lembut, pembersih dan sentiasa menjaga kecantikan untuk suami.

Wanita berunsurkan Air
Air sifatnya bersih dan suci, sejuk, nyaman serta menghilangkan dahaga. Air juga sifatnya mencambahkan benih, menyuburkan serta menyegarkan. Wanita bersifat air mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

* Menghidupkan hati suami menjadikan suami sentiasa bersemangat.
* Mengambil berat tentang suami dan kebajikan anak-anak serta tidak membiarkan anak-anak hanyut dibawa arus hidup.
* Hatinya bersih serta boleh membahagiakan suami dan anak-anak.
* Menenangkan hati suami bila si suami menghadapi masalah.


Wanita yang berunsurkan Api
Api sifatnya panas dan membakar tapi menerangi kegelapan malam. Ia juga menghangatkan kedinginan malam serta digunakan untuk memasak. Wanita bersifat api:

* Cintanya sentiasa hangat membara kepada suami serta kuat cemburu.
* Cergas dan cepat dalam geraklaku menjadikan dia seorang yang cekap dalam menguruskan hal-hal rumahtangga.
* Penasihat yang baik kepada suami.
* Pandai dan cekap menguruskan rumahtangga. Pandai menghias diri agar kelihatan cantik dan menarik dihadapan suami.
* Sentiasa waspada dan cepat bertindak bagi menyelamatkan keadaan.

Wanita berunsur Angin
Angin meredakan kehangatan, menjadi sumber tenaga. Wanita yang berunsurkan angin:

* Mempunyai sifat lemah lembut dan menyenangkan suami.
* Pandai memujuk rayu suami dengan kata-kata yang indah.
* Mempunyai perilaku yang bersopan-santun dan berpekerti mulia dan tidak suka menyusahkan suami.
* Pandai mewujudkan suasana selesa dlam rumahtangga agar ia sentiasa dipenuhi kegembiraan dan ketenangan.


Hehe...harap-harapnya...kita leh jadikan diri kita sebagaimana yang tercatat dalam tu...

Lagipun,manusia yang unggul adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan as-Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan. Dan, untuk mewujudkan manusia unggul, seseorang itu hendaklah memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu keimanan yang utuh, amal ibadat yang meliputi ibadat khususiah dan fardhu kifayah dan akhlak mulia yang merupakan cermin keimanan dan amal salih.

Allah memang tidak memandang rupa luaran dan DIA hanya memandang amal ibadat dan hati kita. Kalau beribadat siang malam tapi nak tunjuk-tunjuk dekat orang pun tak boleh la... tak baik tau! Tapi, lagi parah kalau fikir dan beribadat dengan hanya berniat. Oppss... memang la niat nak beribadat itu dah dapat pahala tapi niat saja tak jadi... huhuhu...

Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal salih yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Surah al-Asr : 1-3

Apa-apa pun, berbaliklah pada qudwah kita Rasulullah saw dalam membentuk peribadi. Sesungguhnya bagindalah insan yang paling berakhlak mulia.

'Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'. Riwayat Ahmad


sumber ciri-ciri wanita : farisazmi.blogspot.com

::anak kedua... hehe::