Saturday, December 10, 2011

Tatacara Solat Sunat Gerhana Bulan

Assalamualaikum.

Malam ini, lebih kurang jam 10.25 malam gitu dijangka akan berlaku gerhana bulan. Bulan akan bergelap selama beberapa minit. Oleh itu, kita disunatkan untuk bersolat sunat gerhana. Mungkin ada antara kita yang dah lupa bagaimana nak solat sunat ni kan (macam aku gak) sebab jarang-jarang je berlaku...so, kat sini kita refresh balik tatacara solat sunat. Semoga amalan kita diterima oleh Allah swt dan dapat menampung mana-mana lopak amalan yang kekurangan tu.

Waktu untuk melakukan solat sunat gerhana sama ada bulan atau matahari ialah ketika berlakunya gerhana tersebut sehinggalah selesai. Boleh dilakukan sama ada secara jemaah atau pun sendirian. Yang membezakan solat sunat gerhana dengan solat sunat lain ialah, ia ada dua kali qiam dan dua kali rukuk. Ringkasnya, baca aturan kat bawah.

ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat.

2. Bilal Menyeru : "Assolatu jam'ah"

3. Berdiri lurus mengadap kiblat.

4. Berniat mengerjakan solat gerhana. Lafaz niat untuk gerhana bulan
(untuk solat sendirian, sila ganti perkataan makmum itu)
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah
Ta’ala”.
-klik pada imej untuk besarkan-

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.

6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.

7. Baca al-Fatihah dan Surah.

8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).

9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.

10. Baca al-Fatihah dan Surah.

11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.

12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.

13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.

14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti
khutbah Hari Raya).

Lepas skodeng-skodeng, terjumpa simulasi ni. Untuk menjelaskan lagi fenomena ni, korang boleh tengok video kat bawah.

Tuesday, December 6, 2011

Imam vs Jurutera

Dalam minggu lepas, saya ditanyakan oleh seorang teman lelaki…eh, pelik pulak bunyi nyer. Kawan lelaki ler… kome ni…asyik nak pikior lain je! Hehe..

Dia tanya, “Antara tok imam dengan engineer, mesti pilih engineer kan?”

Saya tersenyum je. Soalan bocor... Asal perempuan je, mesti nak cop mata duitan! Ceh... sarkastik! Hehe...

Tak fikir panjang, terus saya taip SMS tup tap tup tap… maklumla.. bukan henpon touch screen pun. So, bunyinya cam gigih sket la berbalas SMS tu.

Yep! Saya akui, itu pilihan saya. Saya memang cenderung nak pilih engineer pun. Bukan saya tak kisah dengan agama… kerana Allah pun dah kata dalam al-Quran..tak ingat surah apa dan ayat berapa yang lebih kurang bunyinya begini… “Jika datang kepadamu seseorang yang engkau redhai agamanya, terimalah. Jika menolak, bimbang nanti membawa kemudaratan…”.

Tapi soalnya disini, pastikan engineer yang datang itu beragama Islam dan segala amalan Islam itu diamalkan. Bukan sewenang-wenangnya nak terima pasangan hidup kan? Tapi saya katakan juga padanya, “Imam tu tak salah tapi yang salah imam yang duduk-duduk sahaja di masjid. Sampai masa masuk waktu solat, jadi imam. Habis waktu sembahyang, duduk-duduk balik. Imam sekarang kena advance.” Dia tidak bersetuju. Katanya, “Tak adalah perlu advance.”

Saya tak tahu, bagaimana dia mentafsirkan ‘advance’ itu. Maksud ‘advance’ saya ialah.. imam zaman sekarang kenalah lebih produktif. Imam kena berilmu. Imam sekarang kena ada ilmu dunia juga selain ilmu akhirat. Biar seimbang dunia dan akhirat.

Berbalik pada soalan dia tadi, antara imam dan engineer. Sekali lagi saya tegaskan saya memilih jurutera. Seorang jurutera, boleh menjadi imam jika dia mengaplikasikan pedoman (pedoman? Entah..istilah ni kurang tepat okeii...) Islam dalam proses dia belajar kejuruteraan tu. Dia boleh jadi imam solat juga kerana solat itukan tiang agama? Jurutera yang baik ialah yang mensyukuri ilmu kejuruteraannya dengan tak melupakan Illahi. Tapi, mungkinkah seorang imam menjadi jurutera? Tak kan? Ilmu kejuruteraan ialah ilmu dunia… tapi dalam kejuruteraan juga ada nilai Islam.

That’s why… mana-mana ahli akademik yang betul-betul mengkaji bidangnya, akan tertarik dengan Islam. Betapa dalam al-Quran itu sendiri ada cerita tentang segala perkara yang kita pelajari hari ini. Namun, al-Quran tidak mempunyai surah khusus tentang kejuruteraan yang membolehkan seseorang itu bergelar jurutera (Ir)! Tapi, jurutera bila banyak mengkaji tentang bidangnya, akan menjadi imam kerana merasa kerdil… betapa ilmu Allah itu luas. Tiada apa yang terdaya melawannya..lalu sujud dan patuh jua pada perintahNYA.

Soal harta dan kekayaan itu, soal kedua. Tidak menjadi masalah kalau imam itu bersifat produktif. Saya bukan meletakkan harta pada tingkat teratas pilihan. Sudah semestinya iman yang diutamakan. Tapi, antara imam yang beriman dengan jurutera yang beriman, saya memang memilih jurutera. Saya katakan begini sebab saya tidak suka melihat fenomena imam yang menjadi imam semata. Pada saya, andai dia mendapat gaji hanya kerana tugasnya menjadi imam, itu nampak seperti ‘menjual agama’. Sedangkan menjadi imam itu… tiada bayaran dunia. Moga Allah sahaja yang memberikan pahala dan ganjaran. Saya rasa tak patut kalau tugasnya mengazan dan mengimami solat itu ‘dibayar’…

Hari ini, banyak program yang cuba melahirkan insan akademik berijiwa imam. Contohnya ialah Imam Muda dan Akademi Al-Quran (yang selalu saya tonton. Kalau ada rancangan Astro yang saya tak tahu, maaflah…kami bukan pelanggan Astro). Dalam program-program itu, bukankah ada yang menjadi ahli professional? Itu baguslah… Barulah khutbah Jumaat juga boleh dikhutbahkan oleh jurutera, bagaimana proses mendirikan bangunan tinggi yang tahan runtuhan, oleh doktor veterinar yang berkhutbah bagaimana proses penyembelihan haiwan yang tidak menyiksakan, doktor-doktor menjelaskan bagaimana menangani sesuatu wabak penyakit, ahli ekonomi berkhutbah bagaimana mahu meningkatkan ekonomi umat Islam berdasarkan peredaran ekonomi dunia dan sebagainya selain daripada khutbah yang biasa kita dengar. Khutbah Jumaat itu perkongsian untuk mendidik kita menjadi Mukmin sejati. Dengan berilmu, kita makin tawaddu’ pada Sang Pencipta.

Oleh itu, saya tetap memilih engineer. Bukan kerana menilai harta semata-mata…tetapi biarlah sebagai orang Islam, kita dilihat berharta. Islam menganjurkan zuhud namun, zuhud tidak bermaksud harus berpakaian compang-camping. Islam juga sukakan kecantikan dan kekayaan. Kalau tidak, masakan para khalifah dahulu merangkap sahabat-sahabat Nabi, ada yang kaya raya sebagai contoh Saidina Abu Bakar. Malahan, Saidatina Khadijah r.a juga daripada golongan bangsawan. Saidina Ali pernah berkata (tapi maksudnya tidak jelas),"Andainya kemiskinan itu berwujud sebagai manusia bernyawa, pasti akan ku bunuh”.

Saya juga selalu ingat sabda Rasulullah ini bila mana menanam impian untuk menjadi orang berduit. “Sesungguhnya kefakiran itu mendekati kekufuran.”

Kan ada kisah Saidatina Aisyah mahu memasak tetapi tiada bawang. Lalu dia nak mintak dengan jiran-jiran. Namun ditegah oleh Rasulullah dengan memintanya memasak sesuatu yang lain, yang tidak menggunakan bawang. Dan lihatlah dunia sekarang, betapa ramai orang Islam yang menjadi kufur, mengabaikan agama semata-mata ingin mencari sesuap nasi. Menjadi GRO, melacur, mencuri dan sebagainya demi mencari dan mengejar wang. Lihat sahaja berita terbaru tentang pertandingan ratu cantik yang disertai oleh gadis-gadis Islam... kata mereka, "Rugi kalau tak masuk." Padahal, hadiah utama pun beberapa ribu sahaja...tapi maruah tergadai, memang tak ternilai! Mereka lupa sudah pada jalan halal yang lain. Dari yang bertudung, buka tudung semata-mata kerana syarat pekerjaan. Nah, inilah yang saya bimbangkan. Iman kita, selalu ada pasang surut. Bimbang kalau-kalau ketika surut, tidak pasang-pasang lagi... Nauzubillah!

Saya paling takut hilang nikmat yang satu itu... paling takut! Bukan niat mahu menjadi jutawan dan bilionwan..kalau rezeki, alhamdulillah tapi cukuplah sekadar memenuhi keperluan hidup dan tidak meminta-minta. Sekadar berduit untuk makan dan berbelanja, boleh naik kereta idaman, boleh menunaikan haji dan umrah, boleh duduk rumah yang selesa, boleh berderma pada yang memerlukan... Bukan soal imam ke engineer, tapi soal bagaimana dia menjalani hidupnya. Imam ke engineer, bukan soal jawatan. Tapi soal bagaimana dia memaknakan hidup dia.



Dari Imam Ghazali, “Miskin dan kaya itu adalah dua keadaan yang mendatangkan percubaan dan ujian. Maka tidaklah harta itu baik semata-mata dan tidaklah harta itu jahat semata-mata. Akan tetapi, harta itu sebab bagi dua hal tersebut keseluruhannya. Harta itu alat dan jalan kepada maksud yang sah. Dan dapat pula diambil menjadi alat dan jalan kepada maksud-maksud yang batil, iaitu maksud yang mencegah dari kebahagiaan akhirat dan menghalang jalan ilmu dan amal. Jadi harta itu terpuji dan tercela. Maka siapa yang mengambil dari dunia lebih banyak daripada yang memadai baginya, maka ia telah mengambil kebinasaannya.”

Jalan yang paling selamat ialah berpegang kepada firman Allah SWT, "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah telah mengatakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu" (Surah Ath-Thalaaq 65:2-3).

Kita berhak memilih sebelum memperoleh. Tapi, jangan persoalkan kesempurnaan yang lain setelah memiliki. Jadikan yang kita miliki itu sesuatu yang baik di mata, cinta di hati. Kesempurnaan tidak akan wujud dalam dunia ini. Jagalah hatinya dan cintailah dia sepenuh hati. Yakinlah bahawa pilihan kita itu sebenarnya terbaik buat kita cuma terkadang hati, memang suka melihat padang lain yang lebih hijau. Padang yang hijau itu, bukan senang nak jaga... :)

P/S : Soalan tu tak cukup 'adil'.. :)