Monday, January 2, 2012

Wasiat Hassan Al-Banna

Assalamualaikum.

(Entri ni ditulis malam pada 1 Januari 2012 tapi sebab internet wat hal, so baru dapat post hari ni. So, kiranya korang baca dengan niat past tense okey? :D)

Hari ini bagi saya tidak ada apa-apa yang berbeza sehinggalah saya terdengar sayup bunyi dumdam-dumdam dan cahaya warna warni di langit yang berbogel tanpa bintang. Owh..malam ini ramai yang sedang bersuka ria di luar sana. Bergembiralah... namun, jangan sampai mengundang kemurkaan Allah. Sentiasa beringat, syaitan itu bertepuk tangan bila kita melupakan Allah kerana janji dan sumpahnya sudah terlaksana.

Sebagai pembuka tirai 2012, suka saya nak ingatkan diri saya dan anda yang sudi singgah di blog sememeh dan tak seberapa ini dengan wasiat yang dititipkan oleh Imam Hassan al-Banna. Semoga ianya dapat dijadikan titik perubahan sempena tahun baru Masihi ini. Dulu kita dah buat azam sempena Tahun Baru Hijriah kan, kan, kan? So, andai azam itu sudah berjalan (dan sepatutnya sedang berjalan), alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan! *sila tepuk bahu anda dan ucapkan Syabas! Ini bukan main-main, sila buat! Hehehe..menghargai diri sendiri...* Kiranya, tak salahkan kalau kita tambah lagi beberapa aspek kebaikan dalam diri? InsyaAllah, yang berdikit tapi berterusan itu lebih baik amalannya.



Antara pesan Imam Hassan al-Banna itu ialah;

(1) Segera menunaikan solat di awal waktu kerana disitulah ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq.

(2) Bacalah al-Quran dan hayati serta fahami ayat-ayatnya. Sesungguhnya, al-Quran itu adalah sumber asli lautan ilmu. Bacalah al-Quran, kelak ia akan memberikan kita syafaat di akhirat kelak.

(3) Belajar bahasa al-Quran.

(4) Usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebatlah hanya jika berbuahkan kebaikan. Awasi pertengkaran kerana disitulah adanya syaitan yang berbisik.

(5) Senyumlah selalu tetapi bersederhana dalam ketawa. Orang yang banyak ketawa, hatinya akan mati.

(6) Seriuslah selalu dan berguraulah secara berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Berguraulah sekadar umpama memasukkan garam ke dalam gulai.

(7) Kawal nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengarmu. Jangan jadi seperti orang bodoh, bahkan menyakiti hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah suara keldai!

(8) Usahlah mengumpat dan merendah-rendahkan orang lain. Bercakaplah jika ada unsur kebaikan. Ayuh! Hindari mengumpat! Bertaubatlah jika engkau sudah mengumpat dan mintalah ampun dengan orang umpatanmu. Dosa manusia dengan manusia hanya dapat dilunaskan dengan meminta ampun dengan manusia jua.

(9) Luaskan interaksi dengan manusia. Hulurkanlah salam kesejahteraan dan perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Sama-sama menjunjung obor suci walaupun berlainan. Tidak mengenali, tapi tidak sepi.

(10) Gunakan waktu dengan berfaedah! Nabi saw pernah bersabda maksudnya, "Bertindak segeralah dalam melakukan amal..." (diulangi sehingga 7 kali)

Sekian, untuk renungan.... Selamat beramal!