Saturday, April 23, 2011

13 Aurat Wanita

1. Bulu kening
Menurut Bukhari, Rasullullah saw melaknati perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki memakai gelang berloceng
Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.
Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah .

3. Wangian
Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada
Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi
Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani.

Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher
Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu.
Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan
Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan
Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata
Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara)
Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian
Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud , An Nasaii dan Ibn Majah.


Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut
Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Saturday, April 9, 2011

7 Tips Motivasi Untuk Pagi Yang Lebih Bersemangat

Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :
1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

2. Tekad Bermotivasi.

Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.
Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.
Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.


4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.
Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.
Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!
5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?
Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.
Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.
Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.
Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.
Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.
Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.



6. Lihat Warna Cerah

Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.
Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!
Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.
7. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.
Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.
Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.
Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.
Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.
Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.




::sumber : JPN Kedah::

Monday, April 4, 2011

PART 12

Kuliahku cuma enam jam seminggu. Namun kebanyakan masaku banyak di habiskan di perpustakaan. Hingga kadang-kadang seharian aku di gedung ilmu ini mengulangkaji dan mencari bahan-bahan yang berkaitan dengan kajianku. Sesekali aku terserempak juga dengan Syaqir jika mencari bahan di perpustakaan utama walaupun hakikatnya kami mempunyai perpustakaan di fakulti masing-masing.

Oh ya, sejak aku kembali sibuk dengan kuliah, Bonda nampaknya tidak lagi bercakap soal jodoh denganku. Sama ada dia sudah memahami cita-citaku ataupun dia tidak mahu mengasak aku dengan perkara-perkara sebegitu, wallah huallam. Tapi rasanya aku patut mengucapkan terima kasih kerana ini sangat-sangat menyenangkanku. Oh Bonda, janganlah Bonda bimbang. Aku tidak akan lupa untuk mencari pasangan hidupku namun biarlah segala-galanya berjalan dengan sendiri. Setelah Bonda menyuruh aku mencari sendiri pasanganku dulu, aku telah memutuskan untuk menyerahkan semuanya kepada Allah. Aku yakin dengan ketetapan yang Allah aturkan. Lalu sekarang yang harus aku lalui ialah perjuanganku menuju kejayaan di masa hadapan.

Aku kelek buku-buku rujukan yang aku pinjam daripada perpustakaan menuruni anak tangga Perpustakaan Sultan Abdul Samad ini. Huh, tebal gila... mak oi, beratnya! Aku berjalan menuju ke kereta yang ku parkir di hujung jalan, di bawah pokok angsana. Panas yang membahang bagai membakar kulit kepalaku yang ditutupi tudung berwarna ungu muda ini. Adus, kenapalah aku pinjam banyak sangat pula ni? Bukannya tak boleh datang lain kali, aku mengomel sendiri sambi menahan berat buku-buku berkaitan kesihatan haiwan. Hari ini, aku terpaksa ke perpustakaan utama kerana bahan yang dicari ada di bahagian rujukan disini.

“Dik, dik... boleh tolong akak tak?,” aku memanggil seorang pelajar lelaki yang ku kira mungkin mengambil ijazah disini. Wajahnya memberikan aku gambaran usianya yang mungkin sekitar dua puluh tiga atau dua puluh empat walaupun badannya agak tinggi dan sasa. Dia menyimpan jambang nipis. Kacak, hatiku sempat memuji. Dia menghampiriku.

“Tolong apa?,” soalnya. Aku tersengih.

“Boleh tolong bawakan separuh buku ni? Kereta akak kat hujung tu hah,” muncungku ke arah kereta Toyota Vios hitamku yang dihadiahkan Ayahanda. Dia mengangguk lalu mencapai kesemua buku-bukuku.

“Eh, tak apalah. Akak boleh bawa separuh,” ujarku. Dia tersenyum manis.

“Tak apalah. Alang-alang dah tolong,” jawabnya. Aku membalas senyumannya dan menuju ke kereta. Beberapa orang yang berselisih tersenyum-senyum melihat kami. Entahkan tersenyum kepada dia atau aku, atau mungkin juga tersenyum dengan ‘kemurahan’ hatinya membantuku, aku tidak tahu. Ah, budak-budak sekarang, macam nilah. Tak ada benda lain nak fikirlah tu, mesti ingat cinta sahaja. Hati aku kotor lagi. Ish, aku beristighfar dan segera menghalau jauh prasangka-prasangka busuk seperti itu. Jangan jadi jahat!, aku bertegas dengan diriku.

Aku membukakan pintu di tempat duduk belakang.

“Okey, letak sahaja disini ya,” ujarku. Dia menurut sahaja.

“Terima kasih banyak-banyak, ya dik. Adik fakulti apa?,” soalku sambil menutup pintu kereta. Dia tersenyum lagi. Aku memandang ke tempat lain. Ish, apesal pulak ni? Takkan dengan budak muda macam ni boleh berkenan pula? Ah, berkenan ke tidak itu lain cerita. Yang penting, jaga pandangan terjagalah hati.

“Saya fakulti kejuruteraan,” jawabnya. “Oohh...,” bisikku.

“Tak apalah. Saya nak ke perpustakaan sekejap. Pergi dulu ya. Assalamualaikum,” ujarnya. Aku mengangguk dan menjawab salamnya. Sebaik dia berpusing, aku masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Penat menelaah dari pagi membuatkan perutku mula berkeroncong.

Aku membelok keluar dari perkarangan perpustakaan. Jam di dashboard menunjukkan tepat pukul dua petang. Ah, baik aku jumpa Profesor Azmi sekejap, boleh juga aku tanya tentang tesisku itu. Lalu aku membelok masuk ke Jalan Tulang Daing menuju ke pejabat Profesor Azmi.


Aku keluar dari bilik Profesor Azmi sejam kemudian. Perutku terasa seperti sedang meraung-raung meminta dimasukkan makanan. Yup, aku harus makan sekarang! Kalau tidak nanti gastrik, susah pula. Mengenangkan waktu sudah lewat juga, aku singgah solat Zohor di surau berdekatan sebelum menuju ke kafeteria. Aku duduk di salah satu sudut kafeteria yang berhawa dingin itu setelah memesan sepinggan sizzling mee. Sambil menanti pesanan, aku menghirup air epal yang menyamankan ini.

Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Aku segera menyelongkar tas tanganku. Syaqir calling, itu yang tertera di skrin. Aku menekan butang hijau.

“Hello.”

“Wa’alaikumsalam,” jawab Syaqir, memerliku. Aku membentuk bibir.

“Yelah, assalamualaikum!,” kataku kembali. Terdengar dia ketawa mengekek.

“Boleh aku makan sama?,” tanyanya. Aku mengerutkan kening.

“Eh, aku dalam tandaslah,” jawabku selamba. Terdengar Syaqir ketawa di hujung talian.

“Kotorlah lawak kau. Okeylah, jap lagi aku datang. Tunggu tau,” katanya lalu memutuskan talian. Aku mencebik. Dah datang dah....

Tidak lama kemudian, Syaqir betul-betul berada di depanku. Dia menatang dulang yang ada mangkuk besar berisi ais kacang. Wah, sangat menyelerakan! Rasanya aku mahu memesan satu tapi oh tidak... ini pasti nafsu semata-mata sementelahan aku belum menjamah apa-apa dari tadi. Ya, ini nafsu sahaja!

“Nak share?,” pelawa Syaqir bagai mengerti keterliuranku tadi. Aku menggeleng. Dia lalu menikmati ais kacangnya dengan berselera.

Seorang pelayan wanita menghantar pesananku. Aroma sizzling mee memang membangkitkan selera aku yang kebuluran ini. Aku mencapai garfu dan menyuap hidanganku. Alhamdulillah, sangat sedap! Sambil makan, kami berborak-borak kosong. Kami masing-masing berkongsi cerita kesibukan yang di‘nikmati’ kami sekarang. Syaqir memberitahu yang dia terpaksa berulang alik ke tapak projek perumahan selain bandar-bandar besar untuk menjalankan kajiannya tentang pembangunan bandar dan aku pula berkongsi hidupku dengan haiwan.

Menyedari sizzlingku sudah hampir separuh, aku bertanya, “Kau lunch ais kacang je ke?.”

“Eh, taklah. Aku order Nasi Goreng USA tadi. Lambat la pulak... Flight delay la ni kot!,” jawabnya. Aku menahan ketawa dalam hati. Syaqir, Syaqir...

Baru sahaja dia mahu mengangkat tangan memanggil pelayan, pesanannya pun tiba. Lalu, kami menikmati makan tengah hari bersama-sama dengan perbualan ringan. Suatu keadaan yang amat jarang berlaku suatu ketika dahulu.


Usai makan, kami beriringan menuju ke pintu. Di pintu, kami terserempak dengan pelajar lelaki yang membantu aku tadi. Kami masing-masing terperanjat.

“Eh?,” dia terlepas kata dahulu sambil memandangku dan Syaqir bersilih ganti. Aku senyum padanya.

“Dr. Hilmi... Having lunch?,” tanya Syaqir. Aku memandangnya. Dr. Hilmi? Siapa Dr. Hilmi? Takkan....

“Ya. Jom join sekali,” ajak orang yang dipanggil Dr. Hilmi tadi. Aku terkebil-kebil. Aiiya, rasanya aku perlu segera berlalu ni. Mukaku mula terasa panas. Dr. Hilmi?? Aku bertanya dengan diri sendiri.

“No thanks, Dr. Kami baru saje selesai. Are you alone?,” soal Syaqir ramah. Dr.Hilmi menjongket bahunya dan tersengih. Syaqir mengikut rentaknya.

“Okeylah Dr., we have to go. Excuse us?,” pintanya. Dr. Hilmi mengangguk dan memberi laluan sambil melirikkan pandangannya padaku yang tertunduk. Dia tersenyum sebelum melepaskan kami pergi.

“Kau datang dengan apa ni? Kalau tak, aku boleh hantarkan,” soal Syaqir tatkala menapak ke tempat parkir. Aku diam. (sebenarnya sedang berusaha meyakinkan diri aku bahawa orang yang aku panggil ‘Adik’ tadi tu ialah seorang yang berpangkat Dr.! Tapi muka dia... ish! Macam budak dua puluhan je....)

“Qis, kau berangan ke mana pulak ni?,” Syaqir memetik jari di depan mukaku. Aku terkebil seketika.

“Apa dia?,” tanyaku kembali.

“Kau balik dengan apa ni?,” soal Syaqir buat kali kedua.

“Oohh... dengan kereta. Aku drive sendiri,” balasku. Syaqir mengangguk.

“Okeylah kalau macam tu. Jumpa lagi nanti. Assalamualaikum,” akhirnya kami berpecah menuju ke kereta masing-masing. Wa’alaikumsalam, aku menjawab dalam hati.

* * * * * * *

Syaqir mengetuk pintu bilik adik perempuannya. Setelah mendapat kebenaran, dia memulas tombol.

“Hai, Tina tengah buat apa?,” tanya Syaqir sambil merapati adik perempuan tunggalnya yang berada di meja tulis.

“Tak ada buat apa-apa pun. Just buat plan design,” balas Tina.

“Macam mana study? Orait?,” Syaqir berbasi-basi. Tina mengangkat kedua-dua belah keningnya.

“Well, so far so good. Lagipun memang Tina nak pun architecture ni,” jawab Tina. Rambutnya yang panjang paras bahu itu diikat satu.

Syaqir mencapai telefon bimbit adiknya di atas meja. Tina segera merebutnya sambil menjelirkan lidah.

“Mana boleh, ni private stuff la bang!” Syaqir ketawa kerana dapat mengusik adik tunggalnya.

Dia merebahkan badannya ke katil saiz Queen milik Tina. Badannya terhenyak sedikit dengan kelembutan tilam buatan Itali itu. Matanya merenung siling. Serta merta dia terbayangkan Qistina tersenyum padanya. Syaqir tersenyum sendirian. Tina yang melihat menepuk paha abangnya itu.

“Abang ni kenapa? Senyum sorang-sorang. Ni mesti fikir awek la ni!,” teka Tina. Syaqir duduk di atas katil sambil menyilangkan kedua-dua belah kakinya.

“Tina, ceritalah macam mana Tina boleh start couple dengan Irfan tu?,” tanya Syaqir. Muka Tina tiba-tiba merona merah.

“Ish, apa pulak abang ni. Tanya soalan peribadi,” balas Tina sambil membaling gumpalan kertas kepada Syaqir. Syaqir mengelak.

“Alah, peribadi la sangat. Yang Tina cerita dengan Mami tu tak apa?,” cebik Syaqir.

“Mami tu lain, dia perempuan. Abang tu lelaki. Kalau nak tahu sangat, tanyalah Papa, macam mana dia boleh start bercinta dengan Mami,” balas Tina. Syaqir tergelak.

“Boleh pula macam tu ek? Alaa Tina, ceritalah macam mana Irfan propose Tina? Dia bagi bunga ke?,” tanya Syaqir. Kini giliran Tina pula ketawa.

“Bagi bunga apa kelas bang zaman sekarang!”

“Habis?”

“Abang ni kenapa? Nak mengurat siapa pula kali ni?,” soal Tina. Syaqir tersentak.

“Eh, lain macam sahaja soalan Tina tu. Abang mana pernah bercinta lagi,” kata Syaqir. Tina menjuihkan bibir.

“Yelah tu. Habis tu kejap-kejap Maya call, kejap-kejap Yus, Kamilia, Jun.... Hish, tak mampu pulak Tina nak hafal semua,” ujar Tina. Syaqir tergelak besar.

Dia mencapai sekuntum bunga mawar segar di atas meja Tina dan kembali merebahkan badannya ke katil. Tina melihat sahaja.

“Tu semua member biasa-biasa sahaja. Hanya ada satu je bunga yang istimewa dalam hati abang ni,” Syaqir meletakkan mawar merah itu di dadanya. Tina mencemik muka.

“Yuckk! Jiwang giler mamat ni.” Syaqir ketawa dengan kata-kata adiknya.

“Please Tina....,” rayu Syaqir. Tina melompat naik ke atas katil dan duduk di sebelah abangnya. Syaqir bingkas bangun.

“Kalau nak cerita hal Tina dengan Irfan, no way. Itu kenangan terindah Tina dengan Irfan sahaja. Tak boleh share ngan abang,” Tina menggerakkan-gerakkan jari telunjukkan di depan muka Syaqir tanda tidak setuju. Syaqir hampa.

Sejak pertemuan kembali dengan Qistina sewaktu pendaftaran di foyer tempoh hari, dia tahu yang dia harus berterus terang. Cukuplah tiga tahun dahulu dia terpaksa memendam perasaan lantaran sikap Qistina yang langsung tidak mahu berkawan dengannya. Namun dia tidak boleh menyalahkan Qistina seratus peratus kerana mungkin perangainya yang suka mengusik itu tidak disenangi Qistina. Apa-apa pun, sekarang dia merasakan dirinya lebih matang dan telah memasuki alam dewasa. Dia perlu akui yang hatinya benar-benar terpaut dengan kesederhanaan Qistina dan keayuan wajahnya. Syaqir merasa berbaloi menunggu Qistina sehingga kini. Tambah berbunga hatinya bila Qistina tidak jadi dirisik. Inilah peluangnya. Dia harus cepat.

“Tina kena tolong abang. Dia ini terlalu istimewa, Tina,” pinta Syaqir lagi. “At least, bagitahu macam mana nak propose a girl! Abang tak nak dia terlepas.”

Tina hampir tergelak. Dah angau la ni. Kalau tidak layan ala kadar je kalau ada kawan perempuan telefon. Pesan suruh cakap tidurlah, sibuklah...

“Hurrmm... nilah angau cinta! Betullah kata orang, cinta itu macam coklat. Kalau dibiar, mencair. Perlu dinikmati. Kalau dimakan, tidak boleh banyak. Datang penyakit pula!,” Tina bermadah.

Syaqir tersengih.

“Entahlah abang. Perempuan ni tak semuanya sama. Ada yang mudah diusha, ada yang tak suka diusha-usha, suka everything jadi sendiri. Ada pulak yang cair bila diberi macam-macam, ada pula yang jenis tak suka berpasangan, nak kahwin terus,” ujar Tina.

Syaqir menggaru kepala.

“Make it simple please, honey?,” pinta Syaqir. Sebenarnya, dia sendiri pening untuk menilai Qistina.

Kalau Qistina yang dulu, berkawan dengan lelaki pun tidak mahu apatah lagi jika diusik-usik. Tapi Qistina sekarang, tengok macam dah pandai sedikit bersosial. Siap makan semeja dengan aku lagi tu. Kalau dulu, jangan haraplah. Dapat jelingan je la jawabnya. Tapi, satu perkara yang aku pasti Qistina tetap tidak berubah prinsip. Muslimahnya masih ada.

“Abang nak tackle sape ni?,” tanya Tina. Syaqir menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

“Adalah....,” jawabnya.

“Nak tackle untuk berapa hari pula?,” soal Tina lagi. Sengaja. Syaqir mencebik.

“Abang ni nampak macam kasanova sangat ke, Tina?,” Syaqir berjauh hati dengan usikan adiknya. Tina ketawa.

“Tak adalah. Tengok tu, sejak bila pula sensitif ni? Selalunya abang juara mengusik! Hai, nilah penangan bila lelaki dah jatuh cinta. Tangkap leleh kalah perempuan,” Tina mengembalikan semula mood abangnya.

Syaqir kembali tersenyum.

Tina merapati Syaqir dan memeluk lengannya. Dia melentokkan kepalanya ke bahu abangnya. Wangian daripada jenama Polo mengusik deria baunya. Harum! Abangnya memang seorang yang suka berwangi-wangian. Lalu tidak hairanlah kalau dia menjadi kegilaan rakan-rakan sekelasnya. Seorang lelaki yang pandai bergaya.

“Well bro, girls are like balloon. We have to blow to make them look beautiful. Belon yang kempis tak cantik, kan? Tapi, bila dah tiup tu kenalah ikat betul-betul sebab takut nanti ia terbang merata-rata. Kalau tidak ditangkap oleh orang lain, ia akan terbang ke udara dan kemudian akan kempis semula atau terus pecah. Saat itu, kalau dapat tiup pun belon pasti tidak akan cantik lagi!,” Tina masih bermadah.

Syaqir tersenyum sumbing namun dia masih mahu mendengar. Seronok juga dengar madah-madah begini, getusnya.

“Maksudnya?,” tanya Syaqir.

“Maksudnya, bila kita dah bagi hati kat seseorang tu kita kenalah jaga betul-betul. Jangan main tiup then lepas macam tu sahaja. Hati perempuan ni pun macam belon. Mudah kembang, mudah sayang kat seseorang. Tapi bila pecah, bila hancur dah tak boleh nak kembali macam dulu lagi. Lagipun, belon pun kita tak boleh tiup sangat, nanti pecah kan? Hati pun macam tu. Tak boleh terlalu menyayangi kerana kalau dah terluka, parutnya amat-amatlah dalam!,” jelas Tina.

Syaqir mengangguk-angguk. “Tapi, abang bukan nak main-mainkan dia ni. Abang serius tau. Masa degree dulu lagi abang dah pendam perasaan. Kalau dia setuju, esoknya juga abang pergi pinang!”

Tina terlopong tetapi ketawa kemudiannya. Dia bertepuk tangan.

“Cayalah abang!,” Tina menepuk bahu abangnya. Syaqir tersipu-sipu malu. Eh, lebih-lebih pula ke aku ni tadi?

“Habis, kenapa tak propose dulu lagi? Ni dah dekat lima tahun. Buang masa betullah abang ni,” ejek Tina.

“Hai, kalaulah melamar tu semudah ABC tak adalah abang merayu-rayu kat Tina tanya macam mana nak propose,” balas Syaqir.

“Ya tak ya juga,” giliran Tina pula menggarukan kepalanya.

“Entahlah macam mana. Biasanya perempuan yang dilamar, bukan yang melamar. Itulah Tina suruh abang tanya Papa!,” ujar Tina. Syaqir menjuihkan bibir.

“Takkanlah benda macam ni pun nak tanya Papa? Kepala Papa tu nak fikir banyak benda lain yang lebih pentinglah, bukan soal cintan-cintun macam ni,” tempelak Syaqir.

“Alah, Tina boleh je cakap dengan Mami?,” balas Tina kembali.

“Ah, orang perempuan memang suka cakap benda-benda gosip macam ni.”

“Amboii, sedap mengutuk!,” Tina mencekak pinggang. Syaqir menyedari yang dia telah terlepas cakap. Dia mengatup tapak tangannya di depan.

“Sorry, sayang.” Tina menjeling.

“Okey, maaf diterima. Kalau tak, tak ada tips!”

“Okeylah, cut the crap! Cepatlah tolong abang,” gesa Syaqir. Tina menarik nafas dalam.

“Well, perkara paling mudah. Abang ajak dia makan malam, then bila agak-agak korang dah habis makan dan kenyang, luahkanlah,” kata Tina. Syaqir berkira-kira sebentar.

“Kalau dia tak nak ikut? Lagipun, dia ni susah jugak nak keluar dengan lelaki kalau tak ada teman,” balas Syaqir. Tina memuncungkan mulutnya.

“Minta tolong member dia sampaikan isi hati abang?”

“Ish, malu la abang macam tu!”

“Hurmm, member abang?”

“Ah, kang alih-alih dia terpikat kat member abang pulak! Lagipun, lelaki sejati perlu meluahkan isi hatinya sendiri.”

“Dah tu, luahkan sendiri. Direct to the point!”

“Abang tak tahu macam mana nak start.” Pulak... Tina mengeluh.

“Senang-senang, abang tulis kata-kata kat kertas dan letak kat barang-barang dia. Untung-untung dia jumpa,” usul Tina kembali. Syaqir menepuk dahi.

“Apesal dramatik sangat idea Tina ni? Ni bukan dalam filem la. Lagipun, klise sangat cara mengurat macam tu,” tukas Syaqir. Tina mengerutkan kening geram.

Minta pendapat orang lepas tu komen-komen pula. Lagipun, manalah aku tahu macam mana nak mengurat pasal aku yang kena ngurat dengan Irfan tu dulu, getus Tina dalam hati.

“Kadang-kadang perkara yang klise pun boleh jadi ada kelas tau!” Tina geram.

“Sorrylah sis. Abang bukan apa tak nak buat benda pelik-pelik macam tu sebab nanti kami gaduh lagi. Cukuplah dulu je kami macam anjing dengan kucing. Asal jumpa je gaduh. Sekarang ni dia dah boleh terima abang so abang tak nak lepaskan dia lagi. Cukuplah dulu abang perhatikan dia dari jauh,” ucap Syaqir perlahan.

Tina mengeluh. Nampaknya gadis yang dikejar abangnya kini memang betul-betul istimewa. Kalau tak, abangnya takkan berusaha sebegini.

Tiba-tiba Tina memetik jari. Tap!

“Tadi abang kata dulu abang selalu gaduh dengan dia kan? Apa kata sekarang pun abang cuba bergaduh dengan dia?,” usul Tina.

Dia tersenyum-senyum. Harap-harap rancangan yang ini boleh dilaksanakan. Syaqir menjengilkan matanya.

“Huh, buat apa nak cari pasal?,” tanya Syaqir sambil mengerutkan kening.

“Buat senang kerja abang la. Macam ni....,” Tina mendekatkan badannya dengan Syaqir dan berbisik tentang rancangan yang telah terlintas di fikirannya. Syaqir mengerutkan kening.

“Boleh jalan ke pelan macam ni?,” soalnya ragu. Tina mengangkat bahu.

“Terpulang pada abanglah. Sama ada abang berani atau tidak untuk menghadapi kemarahan dia nanti,” ujar Tina.

Syaqir menggaru-garu kepalanya. Hurrmm... kalau hendak dibandingkan semua idea-idea adiknya tadi, rasa-rasanya yang ini ‘agak’ senang untuk dilakukan. Dia hanya perlu membuat Qistina marah. Tapi nak buat macam mana ya? Hak elaaa, macam tak tahu pula Syaqir, hatinya memerli. Ya, perkara yang paling dibenci Qistina ialah membuatnya terkejut! Huh, bolehlah...

“Okeylah, thanks sis!,” ujar Syaqir sebelum melompat turun dari katil. Tina senyum.

“Good luck, my dear bro,” balas Tina sebelum dihadiahkan satu kenyitan daripada abangnya.

Syaqir keluar sambil menutup pintu.

PART 11

Tidak lama selepas projek tanaman strawberiku dilancarkan, aku menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Masters. Oh, syukur padaMU Tuhan yang Maha Pemurah. Nampaknya aku harus memilih sama ada mahu mengusahakan projek ini atau pun menerima tawaran pengajian itu. Aku sudah jatuh sayang dengan strawberi-strawberiku yang sudah menunjukkan tanda-tanda boleh dituai itu.

Aku bercadang untuk berbincang dengan rakan-rakan kongsiku tentang pandangan mereka. Aku memang mahu menyambung pelajaranku tetapi tidak tahu pula terpaksa memilih begini. Hujung minggu itu, seperti biasa setelah menjalankan ’pemeriksaan kesihatan’ terhadap pokok-pokok strawberi kami, aku mengajak kesemua enam orang rakan kongsiku yang kebetulan datang pada hari itu untuk berbincang. (Sepatutnya hanya aku dan dua orang rakan sahaja yang turun ke ladang pagi itu)

Tanpa ku duga, mereka menyokong seratus peratus niatku untuk menyambung pelajaran. Kata mereka, biarlah mereka sahaja yang menguruskan projek ini sementara aku sibuk dengan kuliah. Jadi, aku tidak perlu bimbang dengan perkembangan perniagaan kami ini kerana aku pasti akan diberitahu. Malahan, jika aku mempunyai waktu yang terluang aku boleh menjenguk strawberi-strawberi kami ini. Ah, ku kira aku mempunyai banyak masa terluang memandangkan pengajian Masters tidak memerlukan komitmen di kampus sepenuh masa. Cuma aku tidak dapat untuk tinggal di sini.

Aku senang mendengar ikrar dan janji mereka. Lagipun jika tiada aral yang melintang, pengajianku cuma akan mengambil masa dua tahun sahaja untuk selesai. InsyaAllah... Permudahkanlah. Namun, segala-galanya ketentuan Allah. Lalu, di suatu malam yang ku kira sangat tenang untuk bermunajat, aku menyembah Tuhan Yang Maha Esa memohon petunjukNYA dalam merancang masa depanku. Selepas tiga malam berturut-turut memperoleh mimpi yang sama, aku yakin dengan keputusan yang aku ambil. Aku akan menyambung pengajianku sepertimana yang telah aku aturkan dalam diari hidupku.

Kemasukan Julai, aku turut menjadi salah seorang penuntut di universiti yang terbesar di Malaysia ini kembali. Namun tanpaku duga, Syaqir juga bakal menjadi rakan seperjuanganku. Pertemuan di foyer bangunan pentadbiran pagi itu menjadi saksi pertemuan kembali kami setelah hampir setahun tidak bertemu. Dia masih tidak berubah, suka menyingsing lengan bajunya tetapi kali ini lebih kemas dengan sedikit kumis nipis.

Dia menghampiriku.

“Eh, kau tak cakap pun kau sambung kat sini?.” Dia melihat penampilanku dari atas hingga ke bawah. Ishh... apa mamat ni? Buat malu aku je la.... aku pura-pura membetulkan tudungku.

“Errmm... kau pun tak bagitahu aku, kan?,” balasku. Dia menjuihkan bibir.

“Kau nak start balik la tu....,” ujarnya mengingatkan aku kepada zaman remaja kami. Aku tersengih. Dia turut ketawa.

“Sudahlah, jangan nak mulakan. So, kau sambung dalam apa ni?,” soalku mengurangkan ketegangan. Dia menunjukkan surat tawaran yang terpampang jelas dalam fail lutsinar yang dikeleknya. Aku membaca sekilas.

Masters in Science Development. Oohh...

“Kau?,” soalnya pula. “Eh cop,cop... jangan cakap. Let me guess. Science in Veterinary, right?”

Aku tersenyum sambil mengangguk. “Eh, mana kau tahu?,” tanyaku. Syaqir mendekatkan wajahnya padaku. Aku mengelak sedikit.

“Kau garang macam singa, of course la amek course ni,” bisiknya membuatkan aku ternganga. Syaqir mengekek ketawa membuatkan aku jadi geram. Heh, kalaulah zaman kanak-kanak Ribena dulu dah lama aku kejar kau. Tak cukup tanah nak larilah jawabnya!

“Kau memang nak kena!,” aku menjelingnya tajam. Dia berusaha menghabiskan sisa ketawanya.

“Tengok tu! Tak ke betul apa yang aku cakapkan ni?,” ujarnya. Aku membuat muka selamba. Malas nak layan...

“Okeylah, aku gurau je. Jom gi minum? My treat,” dia mengangkat tangan seperti orang salah. Aku menggeleng.
“Tak mahulah. Lagipun, Ayahanda aku dah tunggu tu. Thanks... Lain kali sahaja kau belanja, okey?,” aku menolak.

“Okeylah. Tapi jangan tolak lagi tau?”. Aku mengangguk.

Dia mengangkat tangan ke arah Ayahandaku yang menunggu di dalam kereta di seberang jalan. Ayahanda membalas lambaiannya.

Aku berjalan menuju ke kereta. Dan kami berpecah.

PART 10


Sekarang....

“Hawa, minggu lepas ada orang merisik Hawa.” Bonda mengelus rambutku yang baru dipotong petang tadi. Aku yang sedang bersandar di sofa menonton saluran HBO. Aku mengerutkan kening.

“Bila pulak? Hawa tak tahu pun? Kan minggu lepas Hawa ada je kat rumah?,” balasku. Agaknya Bonda ni terlalu inginkan menantu agaknya sampaikan nak mengusik aku pun tak selidik betul-betul dulu.

“Bukan rasmi. Cuma merisik dengan Bonda aje.”

“Haiii... siapalah yang salah pandang Hawa tu, Bonda?,” aku ketawa dengan kata-kataku sendiri. Hakikatnya, aku berdebar juga. Ishh... takkanlah? Aku masih muda. Bonda menepuk bahuku. Aku mengaduh kecil.

“Biarlah kalau dia salah pandang pun. Tapi kalau Hawa setuju, bulan depan diorang nak datang merisik secara rasmi,” balas Bondaku. Aku membulatkan mata. Eh, cop, cop! Aku membetulkan duduk dan menghadap Bonda. Nasib baik Ayahanda tidak ada bersama kami kalau tidak aku pasti malu untuk berbincang soal ini.

“Bonda ni, serius? Hawa tak sukalah Bonda main-main benda macam ni. Tak best langsung!,” ujarku pura-pura merajuk.

“Laaa... ada pula Bonda nak main-main. Bonda seriuslah ni. Lagipun, Hawa tak ada sesiapa lagi, kan?,” tanya Bonda. Aku menggeleng.

“Tak naklah, Bonda. Hawa nak belajar lagi. Kalau dapat panggilan nanti, Hawa nak sambung Masters.” Aku menyatakan rancanganku. Bonda mengeluh kecil.

“Habis, bila Hawa nak kahwin? Sekurang-kurangnya, bertunang dulu. Lepas Masters nanti boleh terus kahwin, tak payah sibuk-sibuk nak mencari. Dah ada orang tunggu,” balas Bonda. Aku tetap menggeleng.

“Tak naklah... Lagipun, Hawa tak tahu pun siapa orang tu. Takkan nak kahwin dengan orang yang Hawa tak kenal?,” ujarku beralasan. Namun tiba-tiba aku teringat dengan kata-kataku dulu. Aku juga yang menyerahkan soal ini kepada Bonda. Tapi dulu Bonda menolak. Alamak! Apakah Bonda sudah berubah fikiran?

Aku lihat Bonda tersenyum.

“Soal itu Hawa tak usah bimbang. Bonda yakin Hawa akan bahagia dengan dia. Bonda kenal dia dari kecil lagi. Budak yang baik, bijak. Anak kawan Bonda. Dia beza empat tahun daripada Hawa tapi dah dapat phD,” balas Bonda sambil merenung wajahku. Aku tersengih namun dalam diam masih cuba mencari idea untuk menolak.

“Ish Bonda ni... takkan Bonda nak berbesan dengan kawan sendiri? Tak segan ke? Eee... kalau Hawa la, ishh... segannya Bonda!,” aku membuat mimik muka. Bonda menggeleng melihat telatahku.

“Kita tengok dulu orangnya macam mana ya, Hawa? Lepas tu, baru kita buat keputusan. Berkenal-kenalan dulu,” pujuk Bonda. Aku terpaksa mengalah. Bonda memelukku tanda senang.


Majlis merisik lagi dua minggu namun aku sedikit pun tidak merasa apa-apa malah semakin sibuk dengan projek penanaman strawberi yang akanku usahakan bersama beberapa orang teman satu fakulti dahulu sebagai rakan kongsi. Projek kami ini jika mengikut perancangan akan dilaksanakan bulan hadapan sebaik penyediaan tapak selesai. Projek ini bukan hanya memfokuskan pada penanaman strawberi sahaja tetapi turut menghasilkan produk hiliran seperti jem, syampu, minuman dan sebagainya.

Walaupun telah dilarang oleh Bonda supaya tidak terlalu kerap berulang alik ke Tanah Tinggi Cameron tetapi aku tidak menghiraukannya. Aku mahu pastikan projek ini berjaya. Aku sedar warna kulitku sudah semakin gelap tetapi tidak kisahlah. Keadaan ini hanya sementara sahaja. Lagipun, kalaulah benar bakal suamiku itu mahukan aku, walau apa keadaan sekalipun dia pasti menerimaku. Kalau dia menolakku kerana wajahku tidak lagi secantik dahulu maknanya dia bukanlah calon suami yang terbaik. Melihatkan paras rupa semata-mata. Huh...

Setelah beberapa minggu sibuk dengan projekku, aku terpaksa berehat di rumah juga setelah rakan-rakanku tidak membenarkan aku melawat tapak lagi setelah mereka tahu aku akan dirisik. Walaupun telah bertegas dengan mereka namun nampaknya mereka lagi tegas! Akhirnya, aku mengalah. Bonda juga nampaknya lega dengan keadaanku. Lalu, pada suatu hari minggu Bonda mengajakku ke spa untuk menaikkan kembali seri di wajahku. Hendak tidak hendak, aku terpaksa menurut.

“Ni cuma majlis merisik sahajalah Bonda. Bukan nak kahwin pun lagi. Tak payahlah spa-spa ni semua. Buang duit sahaja,” gerutuku sewaktu di dalam kereta.

“Majlis merisik ni pun besar maknanya Hawa. Jadi tak jadi semuanya letak kat situ.” Aku malas bertekak lagi. Biarlah, lagipun semua belanja spa Bonda yang keluarkan. Aku cuma perlu letak muka dan relaks. Celik sahaja, pasti wajahku sudah berubah. Hurrmmm... oraitlah jugak!

Empat hari lagi majlis takruf akan berlangsung, Bonda menerima satu panggilan yang ku kira agak mengecewakannya. Aku menghampiri Bonda sebaik gagang telefon diletak.

“Siapa yang telefon Bonda?,” soalku.

“Auntie Ramlah. Katanya, anaknya tak dapat datang majlis nanti. Dia baru dapat surat tawaran kursus di New Zealand selama dua bulan. Kena lapor diri pada tarikh majlis tu,” ujar Bonda. Aku diam.

“Habis, macam mana ni Hawa?,” soal Bonda. Aku mengangkat muka.

“Entahlah Bonda. Hawa tak apa-apa pun tapi cubalah Bonda berbincang dengan Ayahanda.” Bonda mengangguk.

Sememangnya aku merasa sedikti lega dengan berita ini. Nampaknya, kemungkinan besar majlis akan ditunda. Namun semuanya terserah kepada Ayahanda. Tapi aku berharap sangat agar majlis ini betul-betul ditunda atau pun dibatalkan terus. Aku tidak bersedia lagi sebenarnya untuk dirisik. Cita-citaku lebih utama daripada perasaan ingin berkahwin. Tapi, aku harus bersedia juga ke arah itu. Eeiii... sunnah Nabi tetap aku ikut tau!

Malam hari aku sepatutnya dirisik, aku dihubungi oleh seseorang.

“Haiii, tak lama lagi dapat makan nasi minyak la yer?,” kata si pemanggil. Aku mencebik mendengar usikan itu.

“Syukurnya kalau betul. Tapi harap anda bersabar ye, nasi minyak lambat lagi,” balasku kembali.

“Eh, kenapa pula? Calon tu tak sehensem aku ke? Hahaha, aku dah agak dah!,” ujarnya kembali sambil ketawa. Aku jadi mahu tergelak dengan pertanyaannya yang jelas mengangkat diri sendiri itu. Aku menukar posisi telefon ke telinga kiri, lebih selesa.

“Errmm... suka hati kaulah Syaqir. Malas aku nak layan,” jawabku. Aku tersenyum sendiri bila mengingatkan betapa hubungan aku dengan Syaqir sekarang sudah pulih sepulih-pulihnya. Tidak sangka pula, penawar untuk kami berbaik cumalah cuti panjang sahaja. Ternyata sebenarnya aku dengan dia boleh berbaik-baik dengan syarat kami tidak saling bertemu. Macam sekarang.... hanya telefon yang menghubungkan kami. Kalau mahu dihitung-hitung, sudah enam bulan tidak berjumpa. Ha’ah la... lama jugak ye? Hehehe... aku ketawa sendiri.

“Laa... yang kau gelak tiba-tiba ni apsal pulak? Suka la tu aku telefon kau,” Syaqir masih mengusikku.

“Hurrmm... kau perasanlah sorang-sorang. Aku ada hal ni. Lain kali sembang lagi. Assalamualaikum,” aku memberi alasan untuk tidak memanjangkan perbualan. Aku tahu kalau dilayan makin menjadi-jadi pula nakalnya itu. Aku tidak mahu hatiku resah lagi dengan perbuatanku sendiri yang melayan lelaki ajnabi ini.

“Okeylah. Wa’alaikumsalam,” balasnya. Talian putus.