Sunday, July 18, 2010

PART 3


♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥


Shamila pulang agak lewat petang itu. Aku yang sedang menyiapkan laporan di meja tulis hanya memandang sahaja dia masuk ke bilik sambil menjawab salam yang diberi.

“Nah, peminat kau bagi,” Shamila menghulurkan hadiah yang cantik berbalut warna biru. Aku tidak menyambutnya.

“Ambillah weih,” gesanya. Aku mengerutkan kering.

“Peminat mana pula ni? Baiknya hati dia,” aku berjenaka. Shamila mengangguk.

“Dia memang baik dan semua orang suka dia!”

“Eh, janganlah emosi Sham... Gurau je. Apa halnya ni?,” malas bertekak, aku menyambut juga hulurannya.

Shamila lantas merebahkan tubuhnya yang langsing itu ke tilam sambil mengeluh dalam. Aku membelek-belek hadiah yang diterima tetapi tidak terasa pula ingin membukanya. Tidak ada pula kad yang terselit. Tapi, ini hadiah untuk apa? Hari lahirku sudah lepas, Valentine pun dah lepas. Hehehe, kalau Valentine pun siapalah yang nak bagi. Adamku tidak mungkin meraikan hari kejatuhan umat Islam itu. Begitu juga aku.

“Apa kurangnya Shaqir pada kau?,” tanya Shamila dengan mata terpejam. Tangannya diletakkan di dahi. Aku sedikit terkesima. Lama aku berfikir sebelum memberikan jawapan terhadap pertanyaannya dan juga terhadap diriku sendiri.

“Tak ada apa-apa yang kurang dan… Sham, kau tolong kembalikan hadiah ini pada Syaqir. Cakap kat dia, aku tidak boleh terima, okey?,” pintaku lantas mencapai tuala untuk ke bilik air.

Shamila pantas mencelikkan mata seraya bangun.

“Eh, kenapa nak bagi pada Syaqir? Bukan dia yang bagi, orang lainlah!,” jawapan Shamila membuatkan langkahku terpaku.

“Siapa?,” tanyaku sepatah.

“Amin,” jawab Shamila. “Bertuah betul badan kau Qis, dua orang sekaligus nak cuba masuk dekat,” nadanya sinis.

Aku terkesima. Amin? Student Science Mechanical itu? Ah, kacau betul! Tanpa membalas kata-kata Shamila, aku memulas tombol pintu dan keluar menuju ke bilik air.

* * * * * *


Berita Syaqir demam panas sampai ke telinga aku juga. Siapa lagi kalau bukan Shamila yang menjadi tukang beritanya. Namun, aku tidak ada gamak untuk ke hospital dan melawatnya. Cukuplah rasanya aku mengirimkan sebuah doa kudus agar dia segera sembuh. Namun, sebagai orang yang mengenalinya aku bimbang juga kerana lagi tiga minggu seluruh universiti akan mulai demam peperiksaan akhir. Lalu, di tengah kesunyian malam Jumaat itu, aku bangun menunaikan solat hajat. Untuk keberkatan hidupku, ketenangan dan kelapangan hati dalam menuntut ilmu dan tidak dilupakan kesejahteraan kesihatan aku dan kawan-kawan seangkatan, termasuklah Syaqir.

Aku terus bertahajud sehingga azan Subuh bergema ke seluruh alam semesta. Shamila juga sudah bangun untuk menunaikan tuntutan wajib agama itu. Akhirnya, kami berjemaah bersama dengan aku sebagai imamnya.

“Aku nak pergi melawat Syaqir tengah hari nanti. Kau nak ikut?,” tanya Shamila sambil tangannya pantas melipat kain sembahyang. Aku diam tanpa jawapan. Bukan tidak mahu menjawab tetapi jawapannya telah aku berikan semalam. Tidak mungkin dia lupa? Ah, sengaja la tu! Aku pandang Shamila tanpa suara.

“Qis, diakan coursemate kita. Apa salahnya kalau pergi melawat? Lagipun, selain menjadi tuntutan agama melawat orang sakit, kita boleh bagi sokongan pada dia untuk cepat sembuh. Final exam kan dah dekat?,” Shamila memandang aku yang mula mencapai al-Quran.

“Coursemate kau, classmate aku,” bidasku perlahan. Yalah, kami hanya bersama untuk satu kelas sahaja iaitu kelas keselamatan industri dan bukannya satu jurusan. Shamila menggeleng.

“Suka hati kaulah Qis… Aku pun tak faham kenapa kau alergi sangat dengan dia.” Aku diam sahaja. Biarlah antara aku dengan Syaqir sahaja perkara ini. Aku pasti antara kami tiada soalan sebagaimana soalan yang Shamila utarakan. Aku faham kenapa, begitu juga Syaqir. Lalu, tanpa membuang masa lagi aku terus melafazkan kalimah suci al Fatihah dan terus membaca juzuk ke dua puluh lima.



Shamila mengeringkan rambutnya yang basah dengan tuala. Badannya wangi dengan syampu badan The Garden. Syamila memang selalu menggunakan syampu badan jenama tersebut. Aku menyuapkan dua tiga biji kacang rebus yang dibawa pulangnya tadi sambil menatap buku.

“Qis, aku rasa kau patut pergi melawat dia. Aku tengok keadaan dia memang tenat sangat. Masa aku pergi tu, kata doktor hari itu sahaja sudah lima botol air dimasukkan dalam badan dia. Aku tengok dahi dia tadi sampai timbul urat. Yalah, dia kan jenis kulit cerah so nampak ketara sangatlah,” cerita Shamila antara beria-ia dan simpati, bergabung menjadi satu luahan cerita yang mengharapkan pengertian aku. Aku cuma mampu mendengar sambil membuat sedikit kira-kira dalam buku laporan.

Bukan aku tidak berhati perut tetapi untuk melawat seseorang yang membuatkan aku rasa bosan selama ini, malas sahaja rasanya. Lagipun, dia adalah seorang lelaki. Rasanya cukuplah andai aku berdoa sahaja dari kejauhan dan tidak perlulah aku mempamerkan keprihatinan dan kesantunan aku sebagai seorang perempuan. Mungkin saat ini aku patut mengiakan kata-kata Shamila dulu, aku ini sombong dan ego bila berhadapan dengan lelaki.

“Hawa Qistina, janganlah terlalu membenci. Aku takut nanti kau akan tersungkur saat menyayangi dia,” ujar Shamila dalam nada yang lebih diplomatik dan membujuk. Aku sedikit tersentak. Aku meletakkan pen dan mengadap teman sebilikku itu. Sesungguhnya janganlah kamu membenci akan sesuatu, barangkali ia akan menjadi kesukaanmu. Dan jangan janganlah kamu menyukai sesuatu berlebih-lebihan, barangkali ia akan menjadi kebencianmu.

“Sham, aku tak benci dia dan aku tak pernah benci sesiapa. Cuma, bagilah aku masa untuk cuba menerima dia sebagai kawan aku. Selama ini, aku susah untuk rapat dengan mana-mana lelaki, mungkin kerana aku tidak pernah ada pengalaman berkawan dengan lelaki. Dan, kau pun tahu bagaimana cara dia mendekati aku. Aku tidak suka cara macam tu. Kadang-kadang, di tengah awam dia buat macam tu, aku malu. Rasa macam diri aku ini tidak bermaruah. Aku perempuan, kau perempuan… kau mesti fahamkan bila orang buat macam tu?,” ujarku. Shamila terdiam.

“Baiklah kalau macam tu. Tapi, aku minta sangat kau pergi melawat dia. Bukan apa… err, kau nak tahu sesuatu?,” tanya Shamila. Aku menjongketkan kening.

“Kata doktor, dia selalu meracau panggil nama Hawa. Doktor nak tahu, siapa Hawa tu. Aku rasa kaulah Hawa yang dia maksudkan,” beritahu Shamila membuatkan aku tersentak. Biar betul? Aku menelan liur. Tiba-tiba terasa pipiku panas.

“Hish kau ni… Hawa lain kot,” kataku sambil beristighfar dalam hati dan cuba menutup malu dengan ketawa kecil. Shamila senyum tawar.

“Mungkin kau ingat aku main-main. Tapi kalau kau nak tahu betul ke tidak, kau pergilah sendiri. Okeylah, aku ada janji dengan Mai ni. Aku keluar dulu. Mungkin aku balik lambat malam ni. Tapi tak apa, aku dah bawak kunci ni, okey?,” ujar Shamila sambil menayang-nayangkan anak kunci bertanda merah jambu itu. Dia lalu keluar sambil mengepit sekeping fail, mungkin fail persatuan.

Sebaik pintu bilik tertutup, aku merebahkan badan ke tilam dan menekup mukaku dengan bantal. Serabutnya kepala!




Seminggu kemudian, Syaqir sudah dibenarkan pulang. Dia tidak mengambil cuti panjang tetapi terus mengikuti kuliah yang hanya tinggal seminggu sahaja. Minggu depan sudah minggu ulangkaji. Aku hanya mampu mengucapkan syukur ke hadrat Illahi yang telah memberikan kembali nikmat kesihatan kepadanya.

Sewaktu hendak masuk ke perpustakaan, aku bertembung dengannya. Dia memandangku dengan mata yang redup, mungkin badannya masih penat setelah seminggu lebih di dalam wad. Pertemuan kali ini tiada lagi sergahan atau lawak bodoh yang dilakukannya. Aku menghulurkan sekuntum senyuman, ringkas. Dia yang pada mulanya ingin terus berlalu seakan terkejut dengan sapaanku itu.

“Eh!,” dia menahan langkahku yang ingin masuk ke perpustakaan. Aku memandangnya.

“Tadi kau senyum kat aku eh?,” tanyanya. Aku tidak menjawab malah bertanya kembali.

“Kau dah okey?,” sekadar berbasi-basi. Dia kelihatan tersengih-sengih sambil menolak anak rambutnya yang jatuh ke dahi.

“Dah! Aku dah okey, alhamdulillah,” jawabnya ceria. Matanya kelihatan bersinar-sinar dan aku tidak nampak lagi lelaki yang tadinya lemah di hadapanku.

Aku mengangguk. “Baguslah kalau macam tu. Lain kali, jangan lupa jaga kesihatan tau? Exam is just around the corner.” Aku terus berlalu masuk ke perpustakaan tanpa menunggu butir bicaranya lebih lanjut. Cukuplah sekadar itu, bisik hatiku.

Untuk sebuah persahabatan, aku ketepikan ‘ego’ku yang sering diperkatakan oleh Shamila. Mungkin ada benarnya juga. Lagipun, Islam tidak melarang untuk bersahabat tetapi biarlah berpandukan syara’. Aku tidak mungkin akan berdua-duaan atau bertemu tanpa sebab yang membenarkan. Atau juga berpegang-pegangan atau bermesra yang berlebihan. Walaupun aku telah membuka ruang persahabatan dengan seorang lelaki, namun aku akan pastikan diriku tidak akan sekali-kali mencurangi Adamku.

Thursday, July 15, 2010

PART 2


♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥


“Dia minat kau kot,” usik rakan sebilikku tatkala aku meluahkan perasaan tidak senangku terhadap gangguan daripada Shaqir. Aku mencebik.

“Tak ada maknanya. Aku bukan suka dia pun!,” balasku, betul-betul menggambarkan rasa hati. Shamila ketawa kecil.

“Tak suka ke? Dia kan hensem?,” aku menjeling, tahu bahawa itu hanya satu provokasi.

“Apa kau ingat setakat muka hensem tu boleh buat orang terpikat ke? Mak aku pesan, nak cari calon bukan tengok rupa tapi tengok agama, budi bahasa. Kalau dah perangai macam tu, mati hidup semula pun mak aku tak berkenan,” jawabku sambil meramas-ramas patung beruang hadiah daripada abangku yang berada di Australia.

“Mana tahu, kalau itu cara dia nak approach kau? Yalah, mungkin dia segan nak borak dengan kau, so dia buat kau menyampah, sekurang-kurangnya boleh juga dengar suara kau marah-marah dia,” Shamila berteori membuatkan aku ketawa besar.

“Teori kau ni, buat aku nampak mamat tu makin poyo je,” bidasku. “Gentleman la, aku ni bukannya sombong sangat pun.”

“Ya, kau memang tak sombong kalau dengan perempuan. Tapi cuba tengok sikap kau dengan lelaki. Huhh, kalau aku pun kadang-kadang rasa fed up, tau tak?,” tukas Shamila sambil menjeling. Aku mengerutkan kening.

“Apsal pulak?,” tanyaku kebodohan.

“Aku tahu kau ada prinsip tapi Qis, aku rasa tak salah kalau kau berkawan jugak dengan lelaki. Sekurang-kurangnya, dalam mencapai apa yang kau idamkan kau akan dapat mengenali Adam kau dengan lebih baik,” nada Shamila semakin kendur. Tidak seperti saat dia mengutukku tadi.

Ooh, barulah aku faham mengapa dia mengatakan aku sombong tadi. Sombongkah aku? Tidaklah. Tapi sekadar menjaga prinsip dan cita-cita aku. Tapi, terpulanglah pada orang untuk menilainya.

Aku ketawa kecil sambil menggeleng.

“Sham, aku tak salahkan sesiapa pun kalau semua orang kata aku sombong…”

“Eh, bukan semua. Budak lelaki je biasanya,” pintas Shamila. Aku mengangguk.

“Ya, sesiapa sahajalah. Macam yang kau kata tadi, kau tahu yang aku ada prinsip. Lagipun, aku bukan tak layan langsung member-member lelaki kita, ada jugak aku bertegur sapa kan? Tapi, untuk mesra, menaruh hati atau menerima hati seseorang tu aku rasa macam tak mungkin sahaja. Aku perlu jaga hati Adam aku. Aku tidak mahu, impian yang aku idam-idamkan selama ini hancur kerana kelalaian aku menjaga hati Adam aku sekarang. Pada aku, Adam aku adalah segala-galanya!,” jelasku penuh mendalam.

“Yalah, yalah… aku tahu, kau setiaaaaa sangat dengan Adam kau tu!,” cebik Shamila. Aku tersenyum sumbing. Ya, itulah yang aku harapkan, kesetiaan seorang Hawa, Hawa Qistina. Chewaaaahh!

* * * * * *


Tengah hari itu aku singgah di food court untuk makan tengah hari. Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung untuk menikmati makananku, satu suara menyergah aku daripada belakang.

“Oit! Makan sorang-sorang je? Tak takut hantu ke? Meh la aku temankan,” aku berpaling pantas dan menghadiahkan sebuah jelingan. Sudahlah aku kelaparan kerana dari pagi tidak sempat menjamah sebarang makanan pun, tambah pula ada yang mengganggu di tengah hari yang cukup terik ini. Memang mengundang perang maut ni, aku mencemuh dalam hati.

Tanpa sempat aku menjawab, dia sudah pun menarik kerusi dan duduk betul-betul di hadapanku.

“Kau ni jangan tanya soalan bodoh boleh tak? Hantu amendanya tengah-tengah hari macam ni? Tapi kalau ada pun, rasanya kaulah hantu tu,” balasku selamba. Aku membaca basmallah dalam hati sebelum menyuapkan nasi ke mulut.

Dia menjuihkan bibirnya. “Makan tak baca doa pun, tak berkat la rezeki tu cik adik oii.”

Aku malas mempedulikan omelannya. Sambil aku makan, dia sibuk mengusik barang-barangku. Sesekali dibeleknya buku yang baru sahaja aku pinjam dari perpustakaan tadi dan membacanya kuat-kuat sehingga ada beberapa orang yang berdekatan dengan meja kami saling memandang dan tersenyum-senyum. Aku buat-buat tak nampak sahaja. Bukan aku yang baca pun, so tak payah nak malu-malu. Yang aku cuba usahakan sekarang ialah menghabiskan hidanganku secepat yang boleh. Kalau boleh aku tidak ingin berlama-lama di sini, apatah lagi bila berdua dengan dia. Nampak macam kami berdating bersama sahaja. Hishh, tak ingin aku! Tiba-tiba aku tersedak. Dia memandangku. Aku menepuk-nepuk dada bagi mengurangkan sakit akibat nasi yang lekat tapi tidak berkurangan. Aku terbatuk-batuk. Dia bingkas bangun dan pergi entah ke mana, aku tidak tahu. Dalam hati, sempat lagi aku mengutuk dirinya. Tadi bukan main sudi teman aku tapi time aku tersiksa macam ni, main blah je!

Aku terbatuk lagi. Ehem! Aku berdehem tetapi nasi yang aku telan tadi seakan-akan tidak mahu turun. Beberapa orang yang tadinya memandangku kerana berpasangan dengan ‘pembaca berita’, sekarang memandangku lagi kerana keadaanku. Rasa macam pelanggan bermasalah aje.

“Nah, minum air ni. Kurang sikit tersedak kau tu.”

Haaa, memang ini yang aku inginkan saat ini, air! Lantas, aku menyedut air mangga yang dingin-dingin salju itu. Lega sedikit tekakku. Tapi, oppss… rupanya dia pergi belikan air untuk aku. Suka-suka aku je kutuk dia tadi. Maaflah… yalah, sebab selama ini kau selalu buli aku jadi, kebaikan kau susah nak register dalam kepala aku.

Lantas, aku menghabiskan makananku. Memang sudah menjadi tabiatku, tidak akan membazir walau sebutir nasi sekalipun. Dan sehingga ke akhir suapan, dia masih duduk semeja denganku. Entah apa yang direncanakannya, aku tidak mungkin dapat membaca fikirannya. Selesai membasuh tangan, aku terus mencapai beg. Dan sewaktu aku hendak berlalu, dia menahanku dan bertanya.

“Boleh aku ikut kau?”

Namun seperti biasa, aku dengan tidak ada perasaan membalasnya dengan jawapan yang biasa aku berikan padanya.

“Dah tak ada kerja?,” lalu berlalu menuju ke fakultiku yang hanya beberapa langkah di hadapan, meninggalkan dia yang memandangku hampa. Sebelum melintas masuk ke pintu utama, aku sempat berpaling padanya, melihat seorang lelaki yang sejak hari pertama perkenalan selalu menghampiriku dengan cara menyergah, mengganggu dan membuat jenaka bodoh. Entahlah, aku langsung tidak memahaminya.

PART 1


AKU menumpukan sepenuh perhatian terhadap bahan rujukan di depanku. Malas rasanya mengingati peristiwa tadi. Memalukan sahaja. Tapi, satu perkara pun tidak masuk dalam kepalaku yang berselirat dengan masalah yang baru sahaja wujud itu. Aku menekup muka. Rasa mahu menangis sahaja. Nasib baik aku mengambil ruang karel, dapatlah aku melindungi galau hati yang sedang menggigit-gigit naluri.

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya namun, perasaan benci dan bosan kembali merajai perasaan. Astaghfirullah… aku beristighfar sebanyak mungkin. Ini semua hasutan syaitan yang sememangnya suka melihat anak Adam bermusuh-musuhan dan saling membenci. Tetapi peristiwa tadi betul-betul melukakan hatiku. Aku jadi teringat tentang kisahku dengan dia dahulu. Bencinya hatiku!

Akhirnya air mataku menitis juga. Akulah yang bernama perempuan dan seorang gadis. Hati yang mudah rapuh. Jiwa yang mudah goyah. Aku biarkan seketika air mataku berebut-rebut untuk mengalir di pipi sebelum aku mengambil keputusan untuk bingkas bangun menuju ke tandas. Tanpa aku sedari, rupa-rupanya seseorang menghalangi ruang keluarku. Aku berpaling ke belakang dan lihat dia sedang memandang tepat ke arahku. Hati aku kembali terusik. Bukan dengan perasaan syahdu atau terharu tetapi amarah tiba-tiba menerjah dinding hati.

“Kau buat apa kat sini? Tak habis lagi nak memalukan aku?,” sambil mengacip gigi, aku bertanya geram. Dia memandangku tanpa menjawab sepatah pun.

Aku menolak badannya sebelum berlalu pergi. Aku tidak seharusnya membenarkan dia melihat aku menangis begini. Rasa kerdil dan kalah sahaja. Selama ini, aku haramkan air mataku daripada dilihat olehnya meskipun sudah terlalu kerap aku menangis kerana perbuatannya.

Hampir sepuluh minit, aku kembali ke tempat belajar. Dia sudah tiada disitu. Aku terus duduk dan kembali menyelak buku rujukan. Ada sesuatu di celah helaian. Aku menarik keluar sekeping kertas yang bertulisan tangan itu.

Aku tunggu di bawah. Please… jumpa aku. Aku minta maaf pasal tadi. >ASM

Aku mencebik lalu menggumpal kertas kecil itu. Aku harap, dia masih ada disini dan melihat tindakanku ini. Lalu, tanpa melayan segala macam perkara yang berpusing-pusing dalam kepala, aku meneruskan ulangkaji.

* * * * * *


Empat tahun lalu…

Aku melirik jam di tangan. Lagi setengah jam kelas akan bermula. Sudah hampir setengah jam juga aku berdiri disini menanti bas untuk ke kompleks akademik. Sudah tiga buah bas sekadar melintas sahaja tanpa berhenti. Aku pun naik hairan. Hari ini ramai sungguh yang ada kelas. Dari jauh, aku lihat sebuah bas yang menjadi harapan. Harap-harap yang ini tidak begitu penuh. Tetapi kalau penuh sekalipun, aku harus berebut untuk naik. Waktu sudah semakin singkat. Maaf ya, hari ini aku tidak dapat menjadi pengguna yang berhemah. Sebaik bas berhenti, aku terus melompat masuk ke dalam. Entahlah apa tanggapan pelajar-pelajar yang melihat tingkahku. Nampak manis sahaja berbaju kurung tetapi, mak oii… aku menarik nafas lega bila bas mula bergerak. Walaupun keadaan di dalam bas macam sardin tapi aku tidak peduli.

Tiba-tiba, bas berhenti dengan mengejut. Spontan aku memejamkan mata menahan belakangku daripada dihimpit kerana kalau tidak salah, di belakangku tadi ialah seorang pelajar lelaki. Kalau terlanggar, nasib akulah ternoda pagi ini. Tapi, meskipun hampir semua pelajar yang berdiri di dalam bas ini hampir tersungkur, belakangku sedikit pun tidak dihimpit. Aku kehairanan lantas dalam keadaan semua orang sedang kalut, aku berpaling. Aku menggetap geraham kemas tatkala terpandang seraut wajah yang cukup aku bosan. Aku tidak mahu menimbulkan sebarang cerita hangat di dalam bas ini lantas menjawab pandangan matanya yang nakal mengerdip-ngerdip kepadaku dengan jelingan tajam. Aku harap, dia mengerti.

Dan sepanjang perjalananku, belakangku sentiasa dilindunginya setiap kali bas terhenjut-henjut apabila melalui bonggol. Biarlah, aku tidak meminta pun dia menjadi pelindungku. Dan aku harap dia tidak mengharapkan juga kelembutan hatiku untuk memaafkannya.

Lagi dua perhentian untuk sampai ke fakultiku tetapi aku mengambil keputusan untuk turun di perhentian ini sahaja. Tidak tahan rasanya berlama-lama di dalam bas ini dan menjadi mangsa perlindungan dia. Lagipun, aku boleh mengambil jalan pintas untuk ke sana. Yang pasti, dia tidak mungkin akan turun disini kerana fakultinya masih empat perhentian di depan. Sambil mempercepatkan langkah, aku menyusuri jalan kecil yang dilitupi pohon-pohon yang merendang. Aku memandang jam di tangan. Lagi lima belas minit waktu kuliah. Aduh, lambat juga aku hari ni! Aku tidak suka sampai ke kelas dalam keadaan mengah dan menjadi tumpuan semua orang.

Sampai sahaja di kelas, aku terus melabuhkan punggung di kerusi di barisan paling depan. Nasib baik Dr. Marina belum masuk, kalau tidak jenuhlah aku mendengar bebelannya. Aku menarik keluar buku setebal dua ratus lima puluh muka surat yang menjadi buku teks bagi subjek ini dan mula membelek muka surat yang sudah aku tandakan semalam. Hari ini, Dr. Marina akan membincangkan tajuk daripada bab empat. Aku membaca sekilas, sekadar menghangatkan kembali ingatan yang telah aku masukkan semalam. Tidak sampai sepuluh minit, kelibatnya kelihatan dan kelas pun bermula.