Sunday, January 2, 2011

PART 7


Untuk seminggu yang pertama, aku masih tidak kuat untuk menghindarkan perasaan kurang senang tatkala mata-mata yang memandang penuh dengan pandangan sinis dan jelek. Rasa ingin sahaja aku menjeritkan kepada mereka bahawa perbuatan itu bukanlah terlalu besar untuk disensasikan. Tapi seperti kata Fariha, ini hanyalah secebis dari ujian dalam menguji kekuatanku untuk mengamalkan segala apa yang dipelajari sepanjang berhalaqah selama ini. Malah, aku cuba untuk mengukirkan senyuman tatkala mereka-mereka itu memandang aku sedemikian. Biarlah, yang penting aku harus terus kuat. Tidak semua akan membenci kita, masih ada yang menyayangi. DIA yang Maha Menyayangi.

Aku membetulkan tali beg yang melurut jatuh dari bahu. Hari ini cuaca redup sahaja. Nampak macam nak hujan. Aku meraba-raba beg. Fuiihh, nasib baik bawa payung! Aku menuju ke perhentian bas berwarna merah itu yang selang beberapa langkah sahaja lagi. Sebaik aku tiba, hujan mula menitis menyapa bumi. Hanya ada seorang sahaja di perhentian tika ini namun dia berada di hujung bangku. Aku duduk sambil melihat-lihat poster iklan yang ditampal di dinding perhentian.

“Pameran Khazanah Islam 23 Jun, Pertandingan Pidato Antara Kolej 13 Julai, Simposium Alam Sekitar 18 Julai. Laa, semua dah lepas! Buat apa tampal lagi kat sini, buat frust orang je. Ingatkan dapat pergi,” aku mengomel melihat acara yang diiklankan.

“Itulah, lain kali cubalah bermasyarakat sikit. Jangan asyik dengan buku sahaja,” satu suara menyampuk. Aku segera berpaling ke belakang.

“Huh, kau? Suka hati akulah nak asyik dengan buku ke, dengan apa ke. Asalkan tak menyusahkan orang?,” aku menjawab pantas. Jantungku pantas mengepam darah ke kepala agar aku tidak pengsan akibat terperanjat tadi. Kus semangat!

“Qis, kenapalah kau ni selalu macam ni dengan aku? Tak boleh ke kalau kau cakap elok-elok?,” tanya Syaqir. Aku menyilangkan tangan ke hadapan. Terpandang sahaja dia, serta merta ingatan aku teringatkan kata-kata yang telah aku terima sejak dua tiga minggu kebelakangan ini. Apa dia tidak tahu semua itu? Tipu!

“Ah, malaslah dengan kau ni,” aku mendengus. Syaqir mengeluh kecil dan duduk di sebelahku. Aku segera menjarakkan kedudukan. Syaqir sedikit tersentak.

“Takut tersentuh,” kataku tanpa dipinta. Syaqir tersenyum.

“Aku tak nak sentuh kau pun,” balas Syaqir. Aku diam.

“Qis, aku tahu kau dah lalui minggu yang menyakitkan kebelakangan ni. Aku tak sangka pula hal ni akan jadi besar macam ni. Sebenarnya malam tu kami cuma berborak-borak kosong sahaja lagipun yang ada malam tu cuma aku, Hasrul, Malik, Faizul dan Ranjeet. Manalah aku tahu diorang nak hebahkan citer tu....”

“Cukup! Aku tak nak tahulah apa yang korang borakkan malam tu dan aku pun tak nak dengar lagi apa-apa pasal ni,” aku menekup telinga. Syaqir mengerutkan kening.

“Tapi Qis, betul aku tak buat cerita pun pasal kau. Aku cuma cakap kau dah tolong aku hari tu, itu saja!,” Syaqir masih mahu bercerita. Aku melontarkan pandangan jauh ke tengah jalan, pura-pura tidak mendengar.

“Qis, aku tahu kau marah dengan aku. Mesti kau fikir aku buat cerita ni, kan? Alaa Qis, relax la. Lagipun ni benda kecillah Qis. Kau janganlah emosional sangat,” ujar Syaqir dengan nada selamba. Aku menjeling.

“Perkara kecil kau kata? Jangan emosional ek? Aku tak tahulah kalau hati lelaki tu keras gila sampai tak dapat nak selami hati orang lain. Kau cakap senang, jangan emosional tapi kau tak tahu. Perempuan ni lain. Mulut perempuan ni lain, hati perempuan pun lain. Hati aku tak adalah sebeku hati kau!,” aku berkata sambil mengacip geraham. Kenapalah lelaki selalu berfikir dengan akal? Cubalah sesekali berfikir dengan hati, pasti tidak susah untuk menyelami hati seorang perempuan.

Hujan yang tadinya lebat semakin reda. Aku bingkas bangun meninjau kehadiran bas namun tidak pula kelihatan. Aku mendengus. Cepatlah datang, aku sudah tidak sanggup berhadapan dengan lelaki ini, aku memohon sendiri.

“Qis, okeylah kalau kau masih nak marah aku. Tapi aku rasa aku pun ada hak juga untuk mempertahankan diri aku, kan? Sumpah, aku tak buat cerita pun pasal kau. Aku cuma cerita apa yang berlaku hari itu sahaja,” kata-kata Syaqir yang berterusan itu membuatkan aku letih untuk mendengar.

“Aku nak tanya. Dalam hidup kau, hanya ada aku ke? Dah tak ada orang lain yang kau nak cerita? Aku tak percayalah. Kalau sekadar kau cerita tentang hal aku belikan kau sosej hari tu, takkan sampai heboh macam tu? Takkan Hasrul tanya aku ni bercinta dengan kau ke tak? Kenapa orang cakap aku ni sayang dengan kau? Take care pasal kau. Takkan sebab aku bagi kau pinjam nota dan nasihatkan kau jaga kesihatan tu pun nak dihebohkan? Takkan sepanjang kau hidup tak pernah seorang pun buat benda-benda macam tu dengan kau?,” aku menyerangnya dengan pertanyaan demi pertanyaan.

Syaqir memandang aku tepat. Lama, kemudian dia senyum.

”Ada...,” jawabnya perlahan.

”Habis, apa yang herannya dengan apa yang aku dah buat tu? Aku buat tu atas dasar kawan lah!,” aku melepaskan perasaan yang terpendam. Seorang mahasiswa yang baru tiba memandangku. Aku memandang sekilas. Syaqir tersenyum sebaik aku habis meluahkan. Aku jadi menyampah dengan ulahnya. Senyum, senyum...

“Ada memang ada, tapi tak seistimewa kau,” ucap Syaqir. Aku mengerutkan kening. Eh, aku silap dengar ke? Ah, buat tak dengar sahaja.

”Qis, kalau kau rasa aku dah sebarkan fitnah tentang diri kau, kau silap Qis. Aku tidak akan pernah menyebarkan sesuatu yang menyakitkan hati orang yang aku sayang. Eh, maksud aku, aku sayang kawan-kawan aku. Takkan aku nak buat cerita pulak. Aku cuma cerita hal yang sebenarnya sahaja. Kalau kau dengar benda lain tu, mungkin dah jadi cerita atas cerita.” Aku diam sahaja. Aku ingin mendengar setiap butir kata-katanya.

Syaqir menarik nafas. ”Qis, relaxlah.” Aku menggetap geraham.

Relax, relax! Mulai hari ini jangan dekati aku lagi, baru aku dapat relax!,” aku masih mengawal nada suara walaupun hatiku sudah membengkak lalu terus mencapai begku dan berlalu dari situ meredah hujan yang turun renyai-renyai. Syaqir terpaku di perhentian bas itu sebelum terduduk meraup wajahnya sendiri.

Setelah jauh dari Syaqir, aku melepaskan sendu yang berbekam di dalam dada sebentar tadi. Ya Allah, aku gagal menahan kemarahanku. Ampunilah aku. Aku gagal dalam ujian imanMU. Syaitan pasti sedang berpesta dengan ledakan kemarahanku tadi. Ah, fikiranku kusut. Kepala terasa berpusing-pusing seperti baru turun dari roller coaster. Jelas sekali kemarahan telah membuatkan aku kekurangan oksigen di dalam kepala. Stress mula menyelubungi. Aku segera menyimpang ke salah satu blok terdekat dan menuju ke sebuah bangunan tertera di pintu, Surau Perempuan. Pasti disitu akanku temu ketenangan.