Sunday, January 2, 2011

PART 5


Sehari ke sehari, hari-hariku dipenuhi dengan segala agenda yang telah aku rancangkan. Hujung minggu, aku akan ke surau kolej untuk mengikuti usrah yang diketuai oleh Fariha sebagai naqibahnya. Ilmuku masih belum mantap lagi untuk bergelar seorang naqibah namun aku sentiasa berusaha ke arah kemantapan iman. Bukan mengejar gelaran naqibah tetapi mencari keredhaan ALLAH dalam menuntut ilmu. Jadi, tidak kisahlah siapa yang menjadi naqibah asalkan ilmu yang dikongsi bermanfaat untuk semua.

Setiap malam Jumaat pula, aku akan bersama dengan ahli surau yang lain membaca surah Yaasin dan solat hajat. Kadangkala, Shamila mengikutku ke surau tetapi solatnya lebih banyak di bilik sahaja. Sebenarnya aku lebih suka kalau dia dapat mengikutku ke surau atau majlis ilmu yang lain, demi memakmurkan rumah ALLAH selain sebagai ubat rohani.

Walaupun aku sibuk dengan aktiviti kerohanian, aku tetap tidak melupakan tanggungjawabku sebagai mahasiswa universiti. Agama dan ilmu kuliah, dua-dua penting. Dua-dua adalah wajib dan jihad fi sabilillah. Tambah-tambah, aku sudah di tahun akhir jadi aku pasti tidak akan mensia-siakan penat lelah selama dua tahun lepas. Aku pasti berusaha untuk menjadi graduan cemerlang dengan pointer yang tinggi.

Petang Sabtu itu, selepas kuliah fiqh aku berniat untuk ke perpustakaan, mencari rujukan untuk assignment yang akan dihantar dua minggu lagi. Sebaik meletak beg di ruang yang disediakan, aku ke tandas untuk membetulkan tudung. Aku melalui tandas lelaki sebelum sampai ke tandas wanita yang terletak bersebelahan. Dari luar, aku terdengar seseorang muntah di dalam tandas lelaki.

“Teruknya muntah, demam kot,” aku bermonolog.

Tanpa menghiraukannya, aku masuk ke tandas wanita. Sebaik menunaikan qada hajat dan membetulkan tudung, aku keluar. Orang tadi masih di dalam, masih terdengar dia muntah. Aku jadi berbelah bahagi. Teruk sangat bunyinya. Aku pasti dia bersendirian di dalam kerana tidak terdengar bunyi orang berbual. Atas dasar kemanusiaan, aku mengambil keputusan untuk menunggu di luar tandas. Beberapa minit kemudian, dia keluar sambil terbongkok-bongkok menekan perut. Mukanya berkerut. Aku sedikit terpana.

“Sya… Syaqir?,” tanyaku. Syaqir mendongak dalam kepayahan. Mata dan hidungnya berair dan merah. Mungkin kerana kesan isi perutnya yang keluar tadi.

“Qis,” suaranya lemah. Dia bersandar di dinding. Aku gelabah, tidak tahu apa yang harus dibuat. Hendak diurut belakang, dia bukan mahramku. Aku menggetap bibir.

“Kenapa dengan kau?,” tanyaku. Dia mengerutkan wajah.

“Aku gastric,” jawabnya.

“Tak makan?,” soalku kebodohan. Dia menggeleng.

“Dari pagi aku kat sini. Nak siapkan bahan untuk assignment. Minggu depan dah kena hantar,” balasnya dalam nada yang cukup lemah. Aku mengajaknya duduk di ruang yang lebih selesa daripada berbual di tepi tandas. Dia berjalan sambil menahan pedih perutnya.

“Hurrmm, kau seorang ke?,” tanyaku. Dia mengangguk.

“Kalau macam tu, kau tunggu kejap,” aku lalu menuju ke pintu utama dan turun ke kafe berdekatan perpustakaan. Aku membelikan air soya dan sebungkus roti sosej. Aku menghantar sistem pesanan ringkas kepada Syaqir bahawa aku menantinya di luar perpustakaan. Mana mungkin aku membawa masuk makanan ke dalam, itu perbuatan yang tidak beretika malah sudah menjadi peraturan mana-mana perpustakaan sekalipun.

Lima minit kemudian, aku nampak dia berjalan perlahan-lahan menuju ke arah aku di bangku.

“Nah, makanlah dulu. Jangan paksa diri,” ujarku sambil menghulurkan plastic berisi makanan kepadanya.

Dia duduk mengambil tempat.

“Pergilah klinik nanti, okey? Don’t make trouble to yourself. Aku masuk dulu,” kataku sebagai memohon untuk berlalu. Dia mengangguk tanpa banyak bertanya.

Sejak peristiwa di perpustakaan itu, Syaqir tidak lagi menegur aku dengan cara yang biasa dilakukannya. Namun, perubahan yang paling menyenangkan aku ialah dia sekadar tersenyum sahaja bila kami terjumpa. Bagus juga begitu. Tidaklah aku berdosa terhadapnya kerana asyik memarahi tingkah lakunya yang satu itu.

Tetapi, sedikit menjadi kelucuan bagiku bila terserempak dengan dia di Pusat Islam beberapa hari yang lalu. Ah, mungkin dia selalu berpakaian begitu tetapi hanya aku yang tidak pernah melihatnya. Hari itu, dia memakai jubah berserta dengan kopiah putih sewaktu menghadiri majlis iftar mingguan yang biasa diadakan setiap hari Khamis. Tapi ish… tidak baik juga aku mengetawakannya. Betul juga, berpakaianlah yang sesuai apabila menghadiri majlis, kerana selesai majlis iftar ada ceramah agama berkaitan alam barzakh. Astaghfirullah, berdosanya aku mengetawakan orang! Sikapku ini sudah termasuk dalam istilah mengumpat. Ya Allah, semoga ENGKAU mengampuni kekhilafanku.

Kenakalanku ada sedikit bila aku asyik cuba mencuri pandangnya walaupun aku tahu perbuatan itu salah. Tapi, ada sesuatu yang membuatkan aku cuba untuk terus memerhatikannya. Ya! Dia nampak lebih baik dan segak dengan berpakaian begitu. Hurrmm… harap-harapnya lepas ini dia akan terus begini.

Aku sedang menghafal nota kuliah sebelum tiba-tiba Shamila masuk sambil tersenyum-senyum. Aku memandangnya hairan.

“Dah buang tabiat ke ni?,” soalku selamba, macam biasa. Shamila menggoyang-goyangkan jari telunjuknya ke arahku.

“Ooh.. pandai kau ek? Dulu bukan main lagi tak suka dekat Syaqir, haa sekarang tengok… amboi Qis!,” ujar Shamila. Aku mendengus, tidak mempedulikannya. Daripada semester lepas lagi, tidak habis-habis dengan si Syaqir. Entah-entah Shamila ni minat kat Syaqir kot, tapi sandarkan cerita-cerita tentang mamat tu atas nama aku. Haa, boleh jadi! Aku membuat kesimpulan sendiri.

“Qis, citerlah macam mana kau boleh couple dengan dia? Dia propose kau ek?,” desak Shamila. Aku menjelingnya sambil mulutku terkumat-kamit menghafal segala jenis nama penyakit.

“Qis!,” bentak Shamila sedikit bila aku tidak mengendahkannya. Aku memejamkan mata sambil terus mengingati formula. Tiba-tiba, sebiji bantal kecil dicampak ke kakiku. Aku membuka mata dan bangun dari pembaringan. Aku duduk lurus di atas katil.

“Apa yang kau merepek ni Sham? Adoii, dari sem lepas lagi, asyik-asyik si Syaqir. Heeee, berbulu telinga aku ni,” ujarku sambil menarik sebelah telinga. Teman sebilikku itu tersengih.

“Citerlah Qis, macam mana?,” tanyanya.

“Citer apa?,” soalku kembali.

“Macam mana kau boleh couple dengan dia?,” tanyanya lagi tidak sabar. Aku mendengus. Entah gossip dari mana la ni…

“Kau jangan nak mengarutlah!,” balasku. Shamila menjuihkan bibir.

“Eleh, dengan aku pun nak sorok! Tak apalah, lagipun rasanya satu kampus ni dah hangat dengan cerita qariah kolej dengan ketua blok aspura tu,” balas Shamila.

Aku tersentak. Shamila ni biar betul…

“Eh, kau jangan nak buat cerita Sham,” ucapku dengan sedikit debar di hati. Ya Allah, dugaan apa ini?

“Qis, aku tahulah aku ni suka ambil tahu hal orang tapi, itulah untungnya jadi aku. Orang kata, kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Kau tu, ubah sikit. Jangan jadi katak bawah tempurung sangat!,” balas Shamila sinis.

“Kejap, citerlah betul-betul Sham. Apa yang sebenarnya ni?,” aku berlembut bila mengetahui yang temanku ini sudah mula panas. Mungkin terasa aku ‘menyembunyikan’ sesuatu daripadanya.

“Semua orang dah sok sek Qis, cakap kau bercinta dengan Syaqir. Rumours are spreading around!,” jawab Shamila. Aku terkesima. Ya Allah, apa semua ini…

“Subhanallah… siapa yang bawa cerita ni?,” soalku.

“Entahlah. Tapi rasanya budak lelaki kot. Sebab aku tahu ini pun bila si Hasrul tu tanya aku betul ke roommate aku ni bercinta dengan ketua blok dia?,” balas Shamila bersahaja. Aku meraup wajah.

“Dia orang kata, kau memang take care gila dengan si Syaqir. Selalu tolong dia. Bagi pinjam notalah, nasihatkan dia itu ini. Sebab tu dia sekarang dah berubah. Tak ada dah rambut funky dia tu, rajin ke surau. Lagipun, dengar citer hari tu kau dengan dia sama-sama study kat library ek? Pastu si Syaqir kena gastric, kau jugak yang sibuk-sibuk belikan dia makanan?,” cerita Shamila satu persatu tanpa mengetahui keadaan aku.

Jauh di sudut hati, aku menangis sendiri. Mungkin inilah balasannya. Ini balasannya! Aku mengutuk diri sendiri. Bersendirian, aku menahan pilu yang menghiris hati. Aku mengangkat muka memandang Shamila di depanku.

“Kau percaya ke dengan semua itu?,” soalku perlahan. Aku mengharapkan sesuatu dari jawapannya.

Shamila mengangkat bahu. “Entahlah Qis, lagipun setiap orang ada hati. Ingin mencintai dan dicintai.”

Aku menggeleng sambil menggetap bibir.

“Tidak selagi Allah, Rasul dan Adamku di hati,” balasku.

“Allah dan Muhammad SAW pasti di hati tapi sudah-sudahlah pasal Adam kau tu. Sia-sia sahaja semua tu!,” tegas Shamila. Nampaknya, apa yang aku harapkan dari temanku tidakku temui.

“Sham, aku tidak bercinta dengan Syaqir. Itu semua tak betul,” ucapku. Shamila menarik nafas panjang.

“Entahlah Qis… nak percaya pun serba salah, tak percaya pun, diorang bercerita dengan bukti,” balas Shamila.

“Bukti diorang tak semestinya sahih!,” tegasku. Gelodak hatiku semakin memuncak. Pilu sepilu-pilunya!

“Tapi betulkan kau belikan Syaqir makanan waktu dia gastric tu?,” provoke Shamila. Aku tidak menjawab. Hanya menggetap geraham. Kalau aku mengaku, pasti Shamila dengan yakin akan percaya kata-kata orang sekeliling. Tetapi untuk menafikannya, memang aku membelikan makanan untuknya. Tapi tidak pula berlama-lama dengan dia. Sekadar simpati seorang insan dan ihsan seorang saudara… salahkah aku?

“Diam bererti betul,” ujar Shamila antara dengar dengan tidak lalu keluar dari bilik. Aku melepaskan nafas berat, terpaksa merelakan andaian Shamila, walau perih dijiwa. Air mataku menitik setitis, luahan nurani yang berat menanggung sengsara. Sesungguhnya, inilah fitnah pertama yang menimpaku sepanjang di universiti ini.

Fikiran aku tidak tenang untuk kembali meneruskan hafalan. Lalu, aku turut keluar mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Dalam doaku, aku aminkan ayat penenang, ayatus sakinah; “Kemudian Allah SWT menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNYA dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta menyiksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.[1]

[1] ayat 29 surah at-Taubah