Sunday, January 2, 2011

PART 8


Aku sedang mengulangkaji nota-nota yang telah aku buat semalam bila Shamila masuk ke bilik.

“Eh Sham! Kau dari mana?,” aku tersenyum saat melihatnya setelah hampir tiga minggu kami tidak saling menyapa. Kalau ada pun hanyalah sepatah dua kata.

Shamila melihat ke arahku sekilas sebelum menuju ke almari pakaiannya. Dia mengeluarkan beg sandang yang selalu dibawanya ke kuliah. Aku melihatnya sekali lalu sebelum mencapai dua gelas mug dan menuangkan air panas yang telah ku jerang tadi. Aku mencapai dua paket Milo Fuzz dan memasukkannya ke dalam mug.

“Jom kita minum, Sham,” pelawaku. Shamila rancak memasukkan pakaiannya ke dalam beg sandang Nike itu. Aku mengerutkan kening. Pelawaanku langsung tidak diendahkannya.

“Sham... kau nak pergi mana?,” soalku.

“Tidur bilik member,” balasnya sepatah. Aku duduk di sebelahnya sambil cuba mencari idea bagaimana mahu mencipta suasana yang lebih mesra.

“Bilik siapa? Bukan apa nanti kalau ada orang cari kau bolehlah aku bagitahu, kan?,” aku memaniskan roman muka.

Shamila menarik nafas dalam. Dia memandang ke arahku. Aku masih lagi tersenyum padanya. Sudah lama aku tidak mendengar suaranya mengusikku, suara gelak tawanya dan suara dia menyanyi-nyanyi lagu penyanyi kegemarannya, Ziana Zain. Shamila mempunyai suara yang nyaring dan jika dia menyanyi lagu Ziana Zain, pitchingnya pasti tidak lari. Ewah, macam juri AF pulak aku ni!

“Bilik Farhana. Bolehkan?,” soalnya. Aku mengangkat kening. Eh, dia minta izin aku ke?

“Ooh, Farhana yang selalu main badminton dengan kau tu yer? Berapa hari?.”

“Tak tahu lagi. Tengoklah!,” balasnya acuh tak acuh. Dia bingkas bangun dan mencapai begnya.

“Minum dulu Sham,” pelawaku. Dia menggeleng.

“Tak apalah. Terima kasih sahaja.”

“Minumlah dulu. Aku dah buatkan ni,” pujukku. Shamila akhirnya mengalah. Aku tersenyum. Shamila memang tidak gemar membiarkan makanan terbazir begitu sahaja apatah lagi Milo panas kesukaannya.

Shamila menghirup perlahan-lahan. Wap panas berlari-lari keluar dari muka mug. Aku mengeluarkan biskut kering dan beberapa biskut beraneka jenis dari dalam tin lalu ku susunkan di atas piring bercorak bunga tulip hijau itu.

“Makanlah biskut ni dulu sementara tunggu air tu sejuk, Sham. Kang melecur pula lidah kau,” aku mempelawa sambil mengusiknya. Shamila senyum kecil lalu mencapai biskut perisa kopi.

Aku berkira-kira mahu memulakan perbualan dengan Shamila namun tidak tahu bagaimana. Aku menggigit bibir bawah sambil melihat Shamila yang sedang menikmati biskut Julie’s. Aku menghirup sedikit minumanku. Aduh, panas ya!

“Kau kenapa? Minumlah perlahan-lahan. Kan panas tu,” Shamila menegurku. Aku menelan angin.

“Ermm... Lamakan Farhana tak datang sini? Selalunya rajin juga dia datang singgah,” aku memulakan perbualan. Shamila memandangku.

“Dia sibuk kot. Entahlah,” balas Shamila.

“Kenapa tak ajak dia datang tidur sini aje? Lagipun kan ada toto? Boleh bentang dan tidur sekali. Best jugak tidur ramai-ramai ni sekali-sekala,” selaku ceria. Shamila mencicah biskut kering dan menyuapnya ke mulut.

“Tak apalah. Lagipun, kami ada folio nak disiapkan. Kang mengganggu kau pula,” balas Shamila.

“Eh, apa pulak mengganggu! Aku tak kisah pun,” balasku. Aku gembira kerana Shamila sudah mula mahu berborak denganku, biarpun isunya tidak seberapa.

“Oraitlah, Qis. Aku pergi dulu,” Shamila bingkas bangun sambil mencapai mug dan bekas pencuci.

“Tak apalah, kau letak aje sini. Karang aku basuh sekali dengan yang aku punya. Lagipun, kau nak cepatkan?,” ujarku. Shamila meletakkan kembali mug.

“Okeylah kalau macam tu. Thanks. Aku pergi dulu. Maybe esok lusa aku balik. Banyak keje kami ni,” maklum Shamila. Aku mengangguk dan menghantarnya hingga ke muka pintu.

Take care, Qis. Ada apa-apa, contact je aku,” ujar Shamila. Aku kehairanan namun segera mengangguk.

“Kau pun sama,” balasku.

Shamila lalu meninggalkan aku keseorangan di bilik ini, mungkin untuk dua hari. Ah, harapnya kepulangan dia nanti akan membawa kembali ceria di dalam bilik ini.

Tok, tok, tok! Aku cepat-cepat menanggalkan telekung sembahyang. Tidak mahu membiarkan tetamuku itu tertunggu-tunggu di luar.

“Sham?,” soalku. Eh, kata nak tidur dua tiga hari tapi baru semalam dia meninggalkanku. Tanpa menjawab pertanyaanku, Shamila terus merangkul aku membuatkanku kebingungan, kelu tanpa kata.

“Eh, Sham! Kenapa ni? Takkan rindu aku sampai macam ni kot! Masuklah dulu. Jangan buat drama depan bilik ni pula,” ujarku. Terkekek Shamila ketawa kecil sambil merungkaikan pelukannya. Dia mengesat hingus. Aku membawanya duduk di katil.

“Kenapa kau nangis-nangis ni? Aku ingatkan kau nak tidur dua tiga hari kat bilik Farhana. Tak sempat aku nak rindu kau,” selorohku sambil melipat telekung sembahyang. Shamila mencaai tanganku dan menggenggamnya,

“Maafkan aku, Qis. Aku bersalah dengan kau,” tuturnya. Aku mengerutkan kening.

“Bersalah? Kau dah buat apa?,” soalku. Shamila menggigit bibir.

“Aku... aku tak patut tuduh kau macam tu. Sepatutnya aku dengar apa yang kau nak cakapkan. Aku tak boleh terima khabar angin tu macam tu aje. Aku berat sebelah, Qis,” Shamila memandangku. Matanya sayu mengharapkan maafku. Aku tersenyum padanya.

“Apalah yang kau merepek ni... aku dah lupakan pun. Aku tahu, manusia itu tidak sempurna. Ada salah dan silapnya,” balasku. Shamila menggeleng.

“Tapi aku ni jahat, kan? Sepatutnya waktu kau dalam keadaan macam tu, aku berada di sisi kau dan bukannya mengasingkan diri dan salahkan kau.”

Zupp! Kata-kata Shamila kembali membuatkan parutku berdarah. Memang aku tak nafikan yang aku turut terluka dengan sikap beberapa orang temanku. Membiarkan aku terkapai-kapai seorang diri menghadapi masalah apatah lagi bila dicemuh oleh orang-orang di sekelilingku. Saat itulah aku ini tidak diakui lagi sebagai orang yang dikenali, aku ini orang yang penuh bermuka-muka dan sebagainya lagi. Sudahlah hatiku pedih dengan cerita-cerita begitu, ditambah pula dengan tohmahan dari orang-orang yang pernah rapat denganku dulu. Membuatkanku mengenali siapa itu dia teman sejati.

Aku menarik nafas. Cuba menghilangkan perasaan sedih yang tiba-tiba menyapa itu. Aku cuba tersenyum kepada Shamila. Tadi aku menyatakan yang aku sudah melupakan semuanya. Ya, aku harus jujur. Aku memegang bahunya.

“Mana ada kau jahat! Kau ni... nakal aje!,” aku mencuit hidungnya sambil ketawa kecil. Shamila turut mengikut rentakku tetapi tidak lama. Ia mati kemudiannya.

“Qis, kau menangislah kalau kau rasa itu yang kau perlukan. Luahkanlah Qis agar aku juga tahu isi hati kau yang sebenar. Kau misteri, Qis. Kau...”

Lone ranger?,” tukasku. Shamila mengangguk. Aku mengulum senyum.

“Tidak. Aku tak perlu menangis. Ini cuma ujian yang kecil, fitnah memang mudah tersebar di akhir zaman ini. Aku tak kisah pun sebenarnya kalau orang nak kata aku ni lone ranger ke apa. Actually pada aku, walaupun zahirnya korang nampak aku keseorangan tapi aku rasa ada ramai di sekeliling aku. Aku tak tahu macam mana nak cerita tapi aku rasa aku ada tempat untuk aku bercerita, untuk aku rasa disayangi. Lagipun aku tak buat musuh dengan sesiapa kan? So, semua orang adalah kawan aku,” jawabku girang. Aku lihat Shamila mengerutkan kening.

“Kau tak boring ke tak ada kawan? Maksud aku, tak ada geng! Macam tak happening la nak buat apa-apa,” soal Shamila. Aku mengalihkan telekung yang sudah ku lipat lalu mencapai bantal kecil yang ada di hujung katil.

“Kau ni, macam yang aku cakap tadi la. Semua orang kawan aku. Semua orang dah jadi geng aku,” balasku sambil ketawa kecil.

“Bukanlah, maksud aku...,”

“Aku faham,” pintasku.

Nampaknya perang dingin kami sudah berakhir dengan sendirinya. Shamila sudah mahu berborak-borak denganku. Baguslah, aku suka bertukar-tukar fikiran dengannya macam sekarang ini.

“Sham, Rasulullah SAW ada bersabda; Berpersatuan itu lebih baik daripada bersendirian. Dengan bersatu kita akan kuat, kita akan dapat mengalahkan yang lain. Tapi kehidupan kita hari ini bukan lagi berpersatuan tetapi berpuak. Hidup berpuak-puak ini menjadikan kita orang yang mementingkan puak hinggakan yang salah dibenarkan, yang benar terkadang disalahkan. Kerana berpuak, kita berani untuk melakukan kesalahan kerana kita tahu bahawa kita akan ada pembelaan daripada puak kita hatta perkara tu kita tahu salah. Lagipun, bila berpuak kita akan ada perasaan ‘takut dia terluka’. Member buat salah pun kita diamkan sahaja kerana takut dia terasa dan kita sesama geng akan bergaduh. Maafkan aku Sham. Bukan niat aku nak perkecilkan sesiapa,” pintaku bila menyedari kata-kataku mungkin akan mengguris perasaan Shamila walaupun aku sebenarnya tidak tahu hubungan Shamila dengan teman-teman baiknya. Namun padaku, mereka semua sahabat yang baik.

“Tak apa, teruskan. Aku tak kisah pun. Aku tahu kau sedang menasihati aku, kan?,” balas Shamila. Aku mengangguk.

“Contoh yang paling mudah untuk kita lihat ialah bila ada dua geng. Kita katalah geng A dan geng B. Apabila salah seorang dari geng A bergaduh dengan geng B, seluruh geng A akan bergaduh dengan geng B. Ini semua atas dasar jiwa kumpulan. Macam cubit paha kanan, paha kiri terasa jugalah kononnya. Kalau ada 10 orang dalam satu kumpulan, bukankah dah jadi 20 orang yang bergaduh? Kacau bilau dunia ini kalau ada beratus-ratus geng pula. Cuba kalau dia itu tidak ada geng, jumlah yang bergaduh cumalah dua. Dan pasti masalah ini akan terus jadi berangkai kerana masing-masing akan punya dendam. Dan percayalah, kalau seseorang itu sudah sering terbiasa untuk hidup berkumpulan, dia tidak akan betah untuk hidup sendirian. Silap-silap hari bulan kerana nak mengelakkan rasa tidak betah ini, termasuk geng yang ntah apa-apa pula,” aku tergelak sendiri.

Aku tidak tahu sama ada Shamila boleh menerimanya atau tidak kerana dia diam sahaja daripada tadi. Memang, kadang-kadang aku terasa sukar dan takut untuk berkata-kata kerana bimbang akan melukai hati orang tetapi aku hanya berserah kepada Allah. Aku cuma menyatakan kebenaran hatta pahit sekalipun. Aku pun tidaklah selembut bicara seperti Fariha dalam menasihat tetapi aku cuba menyampaikan juga dengan harapan mengingatkan diriku juga. Amal makruf nahi mungkar, itu sahaja nawaituku.

“Habis tu, salahlah kalau kita ada kumpulan member-member?” Shamila menongkat dagunya sambil matanya memandang tepat ke arahku. Aku menggeleng.

“Tak salah. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (jahiliyah) bermusuh-musuhan, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.[1] Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.[2] Itulah sebenarnya fungsi sahabat. Menyeru ke arah makruf dan mencegah perkara yang mungkar!”

Shamila menarik nafas dalam. “Teman itu bukan macam papan skate, belum main gilap dah main pijak. Teman bukan macam bola sepak, belum dapat kejar dah dapat sepak. Teman bukan macam bulu tangkis, belum main pegang dah main pukul. Tapi teman itu ibarat ragbi, belum dapat rebut dah dapat lindung,” Shamila bermadah. Aku juga biasa dengar mendengar kiasan seperti itu. Indah dan mendalam maknanya kalau dihayati.

Aku mendepangkan tangan dan Shamila menyambut. Kami saling berdakapan. Hilang seluruh kekeruhan selama ini. Sebenarnya jauh di sudut hati aku tertanya-tanya kenapa terlalu cepat dia pulang. Adakah Shamila hanya berbohong kepadaku mengatakan dia mempunyai projek untuk disiapkan? Atau sememangnya kerja dia telah siap lebih awal? Atau mungkin dia lari seketika daripadaku untuk mendapatkan ketenangan dan berfikir? Dan Farhana telah menasihatinya dengan baik sebagai seorang sahabat? Entahlah... aku tidak mahu bertanya. Bimbang nanti akan mengeruhkan lagi bunga suasana yang baru sahaja mewangi ini. Kadang-kadang sesuatu perkara itu tidak semuanya kita harus tahu. Tidak tahu itu lebih baik. Shamila melepaskan rangkulan.

“Qis, apa pendapat kau dengan gosip?,” tanya Shamila. Aku mengerutkan kening.

“Kenapa kau tanya macam tu pula?,” balasku.

“Tidak ada apa-apa. Cuma nak tahu pendapat kau sahaja.” Aku menarik nafas dalam.

“Entahlah, aku no comment. Cuma pada aku tidak usahlah kita lebih-lebih mengumpat ni. Terkadang, aku sendiri pun salah juga so, tak nak komen lebih-lebih pasal orang,” jawabku, tergeleng.

Aku jadi teringat dengan satu firman Allah yang ditafsirkan oleh Ibnu Kathir. Waltanzur nafsumma qaddamat lighad. Hisablah diri kamu sebelum kamu menghisab diri orang lain dan lihatlah apakah yang kurang daripada melakukan amalan baik untuk bekalan di hari pembalasan kamu dan pembentangan kamu di hadapan Allah nanti.

“Qis, aku teringin sangat nak tahu siapa sebenarnya Hawa Qistina ini. Meskipun aku sebilik dengan kau tapi kau susah nak dijangka. Kau memang ramah tetapi aku tetap merasakan sikap berahsia kau. Tapi tidak mengapalah. Itu yang menjadikan kau unik dan sentiasa membuatkan orang ingin mendekati kau. Dan aku juga bersyukur kerana peribadi dan sikap kau membuatkan aku sedar bahawa manusia itu tidak boleh dinilai melalui luaran sahaja.”

Aku hampir tergelak.

“Apa yang kau cakap ni? Syahdu je aku dengar,” akhirnya tawaku lepas juga. Shamila menampar pahaku perlahan.

“Betul kata kau dulu. Iman manusia itu hanya Allah yang tahu. Aku tengok kau tak adalah berjubah dan berbaju kurung sepanjang masa. Tidak pula bertudung bulat macam budak-budak usrah kau yang lain. Tapi pengisian hidup kau, penuh dengan ilmu agama. Kau berfesyen tetapi kau tetap islamik. Kalau tak keterlaluan, bolehlah aku katakan yang kau ni muslimah moden. Aku suka dengan cara kau. Ringkas sahaja. Hidup kau melambangkan kesederhanaan Qis. Aku selalu salah sangka dengan kau tapi kau tetap berbaik-baik dengan aku. Kau tak pernah marah aku nak buat itu ini tapi kau selalu memberi aku ingatan tentang kehidupan selepas mati. Qis, ajarlah aku Qis,” ujar Shamila. Aku kaget. Aku pulangkan semua pujian dan kekagumannya terhadapku kepadaMU ya Tuhan!

Sham, kenapalah kau menguji aku dengan pujian-pujian seperti ini? Sesungguhnya aku ini hamba yang hina, tidak layak dipuji. Aku juga bukanlah yang terbaik untuk kau jadikan panduan. Aku ini masih banyak kekhilafannya.

“Sham, janganlah kau bandingkan aku dengan mereka yang lain. Aku tidak mampu nak jadi seperti muslimat usrah yang lain dan aku bukanlah yang terbaik dalam bab agama ini. Aku cuma berpegang pada prinsip; Apa yang hendak kita laksanakan, kembali kepada Al-Quran dan as-Sunnah. Lagipun, Islam itu mudah. Berpakaian indah itu juga salah satu sunnah. Aku tidak mahir dalam memberi kau pengisian yang sempurna, kalau kau berminat bolehlah aku ajak kau untuk join kumpulan usrah yang Persatuan Mahasiswa Islam anjurkan itu. InsyaAllah, banyak ilmu yang akan kau perolehi. InsyaAllah, Allah akan melapangkan dada kita dalam mencari hidayah. Allah akan menolong hambaNYA yang membantu agamaNYA[3],” kataku.

“Tapi aku malu....,” balas Shamila. Aku menggeleng.

“Jangan malu dalam menuntut ilmu, Sham.” Akhirnya, Shamila mendapat sedikit keyakinan dan kemahuan untuk bersama-samaku mengikuti halaqah pada hujung minggu. Biarpun permulaannya agak terlewat, namun pada aku perjalanannya baru sahaja bermula. Kelewatan itu tidak pernah menjadi penanda aras dalam mencari redha Illahi. Kelewatan bukanlah bermakna tidak sampai tetapi berlengah-lengah tanpa tujuan itulah yang menjadi perhentian yang cukup mensia-siakan.

Shamila sudah pun lena di katil sebelah. Aku yang baru terjaga terkebil-kebil menatap siling. Perbualan dengan Shamila tadi membuatkan aku terfikir tentang sikapku terhadap seseorang selama ini. Aku jadi takut bila menyedari rupanya ada yang mengagumi sikap dan sifatku selama ini. Siapalah aku untuk dikagumi? Hati aku tidak bersih. Masih kotor dengan dendam, sakit hati dan dengki. Aku bukanlah sebaik manusia yang mempunyai peribadi muslimah sebenar. Tidak! Ah, kacau sungguh! Sebaiknya, aku harus segera menyucikan hatiku. Lebihkan istighfar dan buang segala perbualan yang lagha. Mantapkan ibadah dan lemparkan maksiat. Teguhkan ketaqwaan dan leraikan kekotoran fikiran. Aku bukannya baik! Tidak, aku bukan gadis yang baik. Aku bukan muslimah contoh. Aku masih kotor, masih hina, masih durjana. Jangan mengagumi aku. Aku kotor! Lalu, kotor apakah tiada cara untuk membersihkannya?, hatiku berbisik. Ada. Ada caranya, jawabku sendiri. Ya, caranya dengan bertaubat dan sucikan ia dengan ajaran Al-Quran.

Aku bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Aku mahu berwuduk dan bermunajat. Tidurku tadi terganggu dengan kerisauan yang tiada taranya ini. Aku harus berbicara dengan Sang Pencipta. Semoga DIA dapat meleraikan keresahanku ini dan semoga DIA mengurniakanku ketenangan yang maha tenang.

Di saat bintang-bintang sunyi sendirian menghias dada langit tanpa bulan aku sujud di tikar sejadah, berkhalwat dengan Sang Khaliqku. Ku curahkan segala keresahan yang bertingkah-tingkah dalam jiwaku. Aku sampaikan segala rahsia hati kerana hanya DIA yang mengerti. Aku bertaubat di atas segala kesalahanku yang lalu dan semoga DIA menerima segala tangis taubatku ini. Dan, aku juga terdetik untuk memaafkan semua yang telah melukakan hatiku... termasuklah Syaqir. Ya, aku memaafkan mereka dengan seikhlas hati. Siapalah aku... tidak tertanding dengan sifat pemaaf Illahi. Menjelang dinihari, aku tidur sebentar sebelum terjaga saat Subuh memberi salam.



[1] Surah Ali-Imran 103:4

[2] Surah Ali-Imran 104:4

[3] Surah Muhammad