Sunday, January 2, 2011

PART 6


Sejak hari itu, Shamila sudah jarang berbual-bual denganku. Malah, tiap kali aku berada di bilik, dia pasti akan keluar dan pulang lewat-lewat malam, sekadar untuk tidur. Hati aku betul-betul kecewa dengan sikap teman sebilikku ini. Namun apalah yang mampu aku lakukan.

Seperti biasa, hujung minggu itu aku khususkan untuk usrah bersama kumpulanku. Aku memang menantikan janji temu ini kerana berharap ia akan dapat mengubatkan lara hatiku yang telah seminggu terpendam, semuanya kerana gara-gara cerita antara aku dan Syaqir itu. Malah, yang lebih membuatkan fikiranku tidak tenang bila terlalu banyak SMS dari rakan-rakan usrahku bertanyakan hal itu. Mungkin hal percintaan adalah sesuatu yang biasa di kalangan pemuda dan pemudi zaman sekarang tetapi yang membezakan kisah aku adalah kerana aku juga berbeza daripada pemudi yang lain.

Aku melangkah masuk ke dalam bilik seminar Pusat Islam yang sudah sedia terpasang penghawa dingin. Alhamdulillah, hilang sedikit bahang yang mengikutku sepanjang perjalanan ke sini tadi. Husna, Fadhilah dan Asrar telah datang lebih awal dariku. Ya, mereka memang awal kerana usrah kami hanya akan bermula jam dua petang. Jam di tanganku menunjukkan pukul 1.45 petang sekarang.

“Assalamualaikum, sahabat-sahabat,” salamku.

“Wa’alaikumsalam, ya Hawa,” balas sahabat-sahabatku sambil meraikan kehadiranku.

“Dah lama antunna semua sampai?,” soalku mengambil tempat di sebelah anak kacukan Pakistan-Turki, Asrar. Panggilan antunna sudah terbiasa dalam pergaulanku kerana sudah hampir dua tahun bersama dengan mereka semua. Bukannya hendak berlagak macam orang Arab tapi, entahlah... amalan klise kumpulan usrah kot! Hahaha...

“Dari jam sebelas lagi. Kami ada discussion tadi disini. Jadi, terus stayback sahaja,” balas Husna yang duduk setentang denganku. Fadhilah mengangguk. Aku memahami kerana mereka bertiga mengambil jurusan yang sama iaitu Pengajian Bahasa Arab. Hanya aku, Fatema dan naqibah kami, Fariha sahaja jurusan lain. Masing-masing Sains Haiwan, Sains Komuniti dan Pengajian Ilmu Syariah.

Tidak sampai lima minit, Fariha masuk dan duduk di sebelah Husna.

“Maaf, ana ada hal sedikit di pejabat kolej tadi,” jelas Fariha akan kelewatannya.

“Tidak mengapa. Tak adalah lewat sangat pun, Far,” balas Asrar. Fariha tersenyum.

“Jadi, boleh kita mulakan majlis kita hari ini? Semua dah ada ke?,” tanya Fariha.

“Fatema tidak dapat datang, dia ada mesyuarat sekretariat, minggu depan pertandingan menulis khat dah bermula,” aku menjelaskan ketidakhadiran Fatema yang bertindak selaku Pengarah Program pertandingan pada minggu depan itu. Fariha kelihatan mengangguk. Kami semua lantas mengeluarkan kitab tafsir al-Quran masing-masing.

“Sebelum itu ana nak ingatkan, minggu depan kita akan adakan forum bicara Ad-Din di dewan fakulti sains. Tajuknya kalau tak salah ana, Mencari Sinar Hidayah Di Celah Gelita Iman. Harap antunna semua dapat meluangkan masa hujung minggu nanti. InsyaAllah, pengisian majlis itu akan memberi manfaat yang besar untuk kita semua. Minta maklumkan pada sahabat-sahabat yang lain, ya?,” pinta Fariha.

“InsyaAllah. Tajuknya menarik! Siapa panelnya, ukhti?,” soal Fadhilah. Fariha kelihatan mengeluarkan buku nota kecilnya.

“Ustaz Shauqi Fauzi, Dr. Jamilah dan Ustazah Bahiyah,” maklum Fariha. Kami semua membuntangkan mata.

“MasyaAllah, panelnya best-best! Semoga Allah melapangkan hujung minggu ana nanti,” balas Fadhilah.

“Ana juga,” Husna tidak ketinggalan. Aku dan Asrar hanya mengangguk.

“InsyaAllah. Firman Allah dalam surah al-Mukminuun; Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Baiklah, kita teruskan dengan tujuan kita,” Fariha mengembalikan kami kepada tujuan sebenar perjumpaan.

“Minggu ini, kita akan membicarakan surah Al-Ahzab. Namun terlebih dahulu izinkan ana menjelaskan sedikit tentang surah ini. Secara ringkasnya, surah ini diturunkan di Madinah. Al-Ahzab bermaksud golongan-golongan yang bersekutu yakni berhubungan dengan peperangan Al Ahzab, iaitu peperangan yang dilancarkan oleh orang-orang Yahudi, kaum munafik dan orang-orang musyrik terhadap orang-orang mukmin di Madinah. Surah ini menceritakan tentang ujian Allah yang amat berat iaitu sampai menguji keteguhan iman kaum muslimin. Baiklah, kita jangan melengahkan masa lagi. Ana akan bacakan ayat 9 hingga 12 dan antunna semua lihat maksudnya, ya?

Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan (9). Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut) dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. (10) Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (11) Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja. (12),” Fariha mengalunkan bacaan al-Quran dengan tartil yang sangat baik.

“Maka dalam ayat yang tadi, ALLAH SWT telah memberitahu kita bahawa ujian itu adalah sesuatu yang datangnya daripada Allah jua, sama ada ujian yang menggembirakan hati atau meresahkan jiwa. Bagi orang-orang yang beriman, mereka akan tabah dalam menghadapi setiap ujian yang getir dan ingat bahawa ujian adalah sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNYA. Ujian yang Allah timpakan kepada kita adalah tanda Allah mengingati kita. Namun sebaliknya bagi orang yang goyah iman, mereka akan mengatakan bahawa kesusahan yang Allah timpakan adalah kerana Allah benci dan tidak berpegang pada janji Maha Penyayangnya sedangkan sesungguhnya, Allah adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui. DIA mengetahui akan sesuatu yang tidak kita semua ketahui, yang tersembunyi,” jelas Fariha.

Asrar di sebelahku kelihatan mencatat sesuatu dalam buku nota kecilnya yang selalu dibawa setiap kali usrah diadakan. Husna mengangkat tangan. Fariha mengangguk memberi laluan.

“Far, macam mana pulak jika ada sesetengah orang yang menangis apabila ditimpa musibah. Contohnya bila ada saudara maranya yang meninggal. Adakah dia dikira hamba yang tidak menerima ketentuan Allah?,” soal Husna, anak kelahiran Kedah dalam loghat yang pekat.

Aku mengalih pandang ke arah Fariha, menunggu jawapan dari gadis yang bertudung bulat itu. Bila melihatkan penampilan Fariha, terasa kerdil sahaja diriku. Yalah, aku cuma memakai tudung empat segi sahaja, tidak bulat dan besar sepertinya. Cuma, aku masih melabuhkan tudungku sehingga menutup dada, syarat menutup aurat yang sebenarnya. Ramai yang salah anggap, bila meletakkan sehelai kain di atas kepala sudah dikira bertudung. Apalah ertinya bertudung jika tidak menutup aurat?

Soalnya disini ialah menutup aurat, bukan bertudung. Aurat seorang muslimah ialah seluruh anggota badan kecuali kedua-dua tapak tangan dan muka, bukan kepala yang bulat itu sahaja sedangkan dada dan leher terpampang untuk tontonan lelaki ajnabi. Kejadian perempuan itu terlalu seni kerana itu, Allah telah mewajibkan ke atas setiap muslimah agar melabuhkan tudung sehingga ke paras dada.

“Terima kasih Husna kerana bertanya. Sebenarnya sahabat-sahabat, menangis bila ditimpa ujian Allah itu bukanlah bermakna dia hamba yang tidak bersyukur dan tidak bertaqwa. Tangisan ialah luahan emosi yang normal. Malah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menangis tatkala kewafatan isteri dan datuk Baginda. Menangisi pemergian orang yang tersayang bukan menjadi satu amalan yang kufur tetapi, yang menjadi tegahan baginda Rasulullah ialah meratap, meraung-raung seperti sesetengah orang yang menyiksa diri sendiri seolah-olah tidak mahu menerima ketentuan Allah. Itu yang dilarang baginda Rasul. Siapa yang tidak sedih jika orang yang bertahun bersama tiba-tiba meninggalkan kita buat selama-lamanya, kan?,” Fariha bersuara penuh hikmah dan perlahan.

Kami semua mengangguk-anggukkan kepala.

“Baiklah, ada sebarang soalan lagi berkaitan surah yang telah ana bacakan tadi?,” soal Fariha.

Kami semua terdiam sebentar. Aku berkira-kira dalam hati sama ada mahu bertanya atau tidak. Bukanlah malu untuk bertanya (apa nak malu, sudah dua tahun bersama dan ini pula adalah majlis ilmu) tetapi, aku tidak tahu sama ada mereka semua sudah tahu atau tidak. Kalau sudah tahu, senanglah cerita tetapi bagaimana pula kalau tidak tahu? Adus, malunya! Tentu mereka tidak sangka aku boleh berkelakuan begitu. Eh, bukan aku yang berkelakuan cuma berita yang tersebar itu yang tidak betul. Bagaimana pula kalau tiba-tiba mereka mengasingkan diri daripada aku? Mungkin mereka malu untuk berkawan lagi kerana nanti nama mereka atau nama usrah ini akan tercemar. Muslimah usrah main-main cinta? Cinta kampus? Macam cerita Yusri dengan Erra, Kuliah Cinta? Oh tidak... aku menggelengkan kepala.

“Kenapa nti tergeleng-geleng ni?,” soal Asrar di sebelahku. Aku tersentak.

“Eh, nampak ke?,” soalku diluar sedar.

“Mana pulak tak nampak, dari tadi lagi tangan nti tu dok kira-kira something, pastu tergeleng-geleng pula tu,” balas Husna. Aku melopong.

Eh, sampai macam tu ke? Aku ingatkan aku berkira-kira dalam minda sahaja. Hehehe... nak tak nak, aku sengih sahaja kepada mereka semua. Husna menutup mulut, lucu. Fariha, Asrar dan Fadhilah tersenyum melihat ulahku.

“Err... ana ada masalah,” tuturku perlahan. Semua sahabatku memberikan perhatian.

“Teruskan,” ujar Fariha. Aku menarik nafas dalam. Sesungguhnya, teramat malu diri ini untuk bercerita. Terasa bagai terbuka seluruh hijab yang menutupku. Cerita yang tersebar ini sungguh menguji diriku sebagai hambaNYA yang lemah. Aku menggetap bibir cuba mencari kekuatan.

“Ana tidak tahu bagaimana nak mulakan...” aku menundukkan kepala. Tanganku menggetis-getis kuku.

“Nti malu?,” soal Fariha. Aku tidak menjawab. Sebagai naqibah, memang dia yang biasanya menjadi kaunselor utama kami. Kewibawaannya memang tidak dapat dinafikan. Dia memang berdakwah dan dakwahnya dengan kasih sayang. Bukan dengan paksaan. Dia tidak pernah berburuk sangka dan sentiasa berfikiran positif.

“Ana tahu antunna semua sebenarnya dah dengar berita ini. Seluruh kolej sedang bercakap-cakap soal ana. Ana bukannya orang glamor kolej sampai harus diperbualkan begini. Tapi sekarang nampaknya ana memang dah jadi glamor pun!”

Fariha tergelak.

“Err... kalian ada dengar tak cerita ana dengan Syaqir tu?,” soalku teragak-agak.

“Ada dengar tapi, sekadar dengar sahajalah. Kami tak percaya. Tapi alangkah baik kalau nti dapat ceritakan hal yang sebenarnya juga,” jawab Asrar. Aku mengangguk.

“Sebenarnya, ana dengan Syaqir tak adalah rapat sangat. Kenal gitu-gitu sahaja sementelahan kami sekelas. Pada hari kejadian tu, maksud ana punca ana dituduh tu, dia kena gastrik. Ana tak sampai hati nak biarkan dia macam tu jadi ana belikan dia makanan. Tak tahulah pula benda tu salah dan jadi umpatan orang.”

“Kawan dia tak ada ke?,” soal Fariha. Aku menjongket bahu.

“Mungkin antunna semua tak berapa jelas. Lepas ana beri makanan tu kat dia, ana terus masuk ke library. Ana tak duduk-duduk berdua dengan dia pun.” Husna tersengih.

“Tapi, takkan sebab itu sahaja nti terus dituduh? Mesti ada sebab lain ni,” acah Fadhilah. Aku membuntangkan mata. Ish…

“Tak tahulah pula ana tapi rasanya ana dengan dia memang tak ada apa-apa pun,” balasku. Fadhilah tersenyum kambing.

“Ana pun kenal jugak Syaqir tu sebab ana pernah bekerja dengan dia waktu jalankan projek Bakti Rumah Anak-anak Yatim. Boleh tahan orangnya, takkan nti tak ada apa-apa kot?,” Fadhilah masih memprovokku. Aku mengerutkan kening. Fariha berdehem sekali. Aku mula jadi tak keruan.

“Eh, apa yang nti cuba maksudkan ini Fadhilah? Maksud nti, ana bercinta dengan dia?,” tekaku. Fadhilah mengangkat bahu.

“MasyaAllah… sungguh, ana tidak ada apa-apa dengan dia. InsyaAllah, hubungan yang ana jalinkan buat masa sekarang hanyalah sekadar kawan biasa sahaja. Ana ada prinsip yang tersendiri dalam bab itu,” balasku sambil menundukkan kepala.

“Iya? Apa prinsipnya?,” soal Fariha sambil tersenyum kecil. Aduhai, kenapalah mereka ini mengacahku? Teruskan pada jawapan tidak bolehkah?

“Err… tidak payahlah! Ana malu,” jawabku, langsung tidak memandang mereka. Sungguh, bila berbicara soal hati dan perasaan, aku mudah diterjah rasa malu yang amat. Bagiku, ini soal yang sulit.

“Apa yang nak dimalukan wahai Hawa? Kongsilah,” Fadhilah masih mengusikku. Aku menggetap bibir.

“Sudahlah, sudahlah! Jangan mengusik lagi. Ana tahu, Hawa memang malu dalam soal ini,” Fariha meleraikan keadaan. Husna, Fadhilah dan Asrar di sebelahku ketawa mengekek.

“Wahh, rupanya Hawa kita ni pemalu juga orangnya ya? Ingatkan plain dalam semua hal!,” ucap Asrar. Aku mencubit tangannya. Dia mengaduh kecil.

“Yelah, asyik dia je yang kenakan kita selama ini. Dah kena kat dia, merah habis pipi tu,” balas Husna pula. Aku mencebik.

Baiklah akhi-akhi sekalian... ada pendapat bagaimana untuk kurangkan bebanan Hawa?,” soal Fariha. Semua diam. Aku menghela nafas perlahan.

“Pada pendapat ana, nti biarkan sahaja rumours ni. Lama-lama nanti, orang pun bosan untuk bercakap benda yang sama,” kata Husna.

Aku memandangnya. Ya, kalau ikutkan begitulah yang ingin aku lakukan. Tapi, hati ini sering diterjah rasa marah dan kecewa kerana diumpat dan diperkatakan. Ingin sahaja aku balas kata-kata mereka namun apalah dayaku. Mulut tempayan bolehlah ditutup.

“Aduhai sahabat-sahabatku, kalaulah perasaan ana ni senang sekali nak dipadamkan, tak apalah juga. Tapi ana ada juga rasa geram, rasa nak marah,” balasku selamba.

“Ya, ana tahu itu. Tapi nti sabarlah, ana percaya benda ni takkan lama,” balas Husna.

“Betul tu. Lagipun, kalau betul nti di pihak yang betul, kebenaran akan muncul juga. Buat tak tahu sahaja Hawa,” sampuk Fadhilah.

Fariha tersenyum. Baguslah, nampaknya ahli usrah kami masih berjiwa seorang insan, yang mengambil berat akan satu sama lain.

”Asrar?,” soal Fariha, beralih ke arah Asrar. Gadis itu hanya tersenyum sambil menggeleng.

“Ana juga berpendapat untuk diam sahaja. Biarkanlah. Sedangkan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang sangat mulia dan maksum itu pun dihina dan diumpat keji, dituduh gila, digelar ahli sihir dan sebagainya, inikan pula kita umatnya yang serba kekurangan,” balas Asrar. Aku memuncung.

“As, memanglah kalau nak dibandingkan perjuangan Rasulullah dengan masalah ana ni, jauh bezanya. Kecik aje...,” selaku perlahan.

Fariha mengangguk mendengarkan jawapan rakan-rakan usrah. Dia menulis sesuatu di dalam buku catatannya.

”Ini pula pendapat ana. Mungkin tidak sebaik pendapat antunna semua tapi sekurang-kurangnya kita berkongsi, ya?,” ujar Fariha sambil melirik ke arahku. Aku mengangguk. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya kalian sudah menunaikan tanggungjawab sebagai sahabat. Menegur dengan hikmah, mengasihi kerana Allah, memberikan perhatian dan tidak membiarkan aku keseorangan. Setiap orang Islam itu adalah bersaudara. Sedih bila sahabatnya perih, senang saat sahabatnya suka dan menangis tika sahabatnya duka.

“Allah SWT pernah berfirman dalam al Quran yang maksudnya lebih kurang begini; Apakah mereka itu merasakan diri mereka sudah cukup beriman sedangkan mereka tidak diuji?,” Fariha menarik nafas.

“Sahabat-sahabat sekalian. Setiap yang berlaku dalam hidup kita sebenarnya satu ujian dan tarbiyah daripada Allah. Malah kalau tak salah ana, ada seorang pemikir Islam mengatakan bahawa kesenangan dan kekayaan itu merupakan satu penyakit dan kesusahan dan kesakitan itu sebenarnya merupakan satu nikmat. Namun berbeza pula bagi kita. Bila mendapat kesenangan dan kemewahan, kita akan menganggap itu sebagai nikmat dan sebaliknya sehinggakan ada orang yang berkeluh kesah bila ditimpa malang.

Seharusnya, setiap kali kita ditimpa kesusahan atau diberi kesenangan, fikiran harus menyedarkan hati agar tidak bersedih atau riak. Disitulah letaknya tunjang keimanan kita. Berbalik kepada ujian yang menimpa Hawa, boleh ya kalau ana tukar masalah kepada ujian?,” pinta Fariha. Aku tersenyum.

“InsyaAllah,” jawabku. Fariha meneruskan.

“Ujian yang menimpa Hawa pada pandangan ana sangat bermakna. Bersyukurlah nti kerana Allah cukup menyayangi nti. Allah timpakan ujian ini buat nti di saat nti masih belajar dan muda. Kasihanlah pada diri nti andai ujian ini menimpa di saat nti sudah tua dan tidak berdaya untuk mencari kesedaran dan melakukan perubahan.”

“Apa maksud nti?,” soalku berkerut kening.

“Maafkan ana. Bukan maksud ana nak perkecilkan perkara yang menimpa nti ini. Jangan salah faham ya akhi? Sebenarnya dalam hidup kita ada bermacam-macam cara Allah sampaikan peringatan dan hidayahnya. Ada orang yang memperoleh hidayah dengan memuhasabah kembali ujian yang menimpanya. Ada juga yang Allah sampaikan dengan bisikan naluri. Malah, ada juga yang mendapat hidayah setelah membaca buku-buku agama atau mungkin juga apabila melihat kejadian-kejadian yang membuktikan keagungan Allah SWT. Kerana itu, kita tidak harus memperkecilkan apa jua perkara yang berlaku dalam kehidupan kita.

Dari sekecil-kecil kejadian sehinggalah kepada kejadian yang berat untuk ditanggung. Itulah yang orang kita sering ucapkan, ”Sabarlah, ada hikmah di sebalik semua ini”. Hikmah itulah sebenarnya tarbiyah yang Allah sampaikan. Namun, untuk menyedari kehadiran hikmah ini ialah bila hati kita sedar. Hati kita hidup. Hati yang sentiasa ingin dekat dengan Allah. Hati yang sering mendambakan cinta Yang Maha Esa. Hati yang hidup hanya ada pada orang yang berfikir.

Kejadian manusia itu dijanjikan Allah yang paling sempurna. Namun kesempurnaan itu betul-betul jadi sempurna bila dalam diri ada iman. Yang mana iman pula terbahagi kepada beberapa peringkat. Biasa dengarkan alim, wara’, zuhud? Itulah peringkat-peringkat iman. Orang yang dahagakan kemanisan iman sentiasa berusaha untuk mencari kebenaran dan sering memperbetulkan kesilapan diri. Syukur pada Allah SWT kerana telah menjentikkan hidayah dalam hati nti.

Inilah yang ana nampak sebagai tarbiyah Allah kepada nti, Hawa. Cakap-cakap orang ini kalau nti ubahkan pemikiran, boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada diri nti khususnya dan kepada para sahabat usrah amnya. Jangan fikir negatif. Nti terimalah cakap-cakap orang ini dengan dada yang lapang dan fikiran yang positif. Hadapinya dengan penuh rasa insaf. Memanglah kalau sebagai manusia, hati siapa yang tidak sakit bila diumpat dan dikeji tapi terimalah dengan perasaan yang tenang.

InsyaAllah, bukan setakat nti yang akan tenang tetapi orang-orang sekeliling juga akan kagum dengan ketabahan nti sebagai Muslim dan langsung berhenti dari mengata-ngata di belakang nti. Ingatlah saat junjungan besar Nabi SAW menghadapi kecaman dari kaum kafir dulu, seperti kata Asrar tadi. Itu lagi hebat dari dugaan ini, ya ukhti,” ujar Fariha panjang lebar.

Bibirnya yang merah itu sungguh cantik apatah lagi bila menuturkan kata-kata yang indah begini, menjadikan ia anugerah yang sangat bererti.

“Baiklah, ana akan berusaha. Tapi bagaimana kalau ana masih rasa kecewa dan nak marah terhadap orang yang mengata-ngata ana itu?,” soalku.

“Cubalah nti baca A’uzubillah hi minas syaitannirrajim[1] dan bacalah al Fatihah dan sedekahkanlah buat orang yang mengata-ngata nti itu. Sesungguhnya, syaitan itu berada dalam setiap salur darah anak Adam dan sentiasa berusaha untuk menghasut ke jalan kemungkaran,” jawab Fariha.

Kami semua terdiam. Hatiku ini nyata sedikit terubat dengan nasihat yang tulus daripada seorang naqibah yang cukup berkaliber ini. Aku mula mengerti bahawa dalam hidup ini memang terlalu banyak permainan dan sandiwara yang jikalau terlepas pandang akan menenggelamkan kewarasan akal fikiran. Dunia hari ini memang cukup mencabar lantas kitalah yang harus mengawalnya agar ia tidak mengawal kita.

Harus aku akui hari ini, kita terlalu mudah malafazkan cinta tanpa mengetahui erti sebenarnya. Kita sering melafazkan sepuluh perkara tetapi ternyata apa yang dilafazkan itu adalah sia-sia belaka. Sepuluh perkara itu ialah:

· Kita menyatakan kecintaan kepada Allah tetapi kita meninggalkan segala yang diperintahkanNYA

· Kita menyatakan cinta kepada Rasul tetapi sunnahnya kita abaikan

· Kita kata syaitan itu musuh yang nyata tetapi kita mengikut telunjuknya

· Kita menginginkan tempat di syurga tetapi amalan untuk ke syurga tidak pernah kita lakukan

· Kita kata takut untuk ke neraka tetapi amalan kita satu pun tidak menjauhkan kita daripadanya

· Kita kata kita beriman dengan Al-Quran tetapi kita tidak beramal dengannya

· Kita percaya dengan adanya para malaikat pencatit amalan tetapi kita sering lupa kehadirannya dan membuat perkara keji dan mungkar

· Kita yakin bahawa hari pembalasan itu akan tiba tetapi kita tidak pernah bersedia untuk menghadapinya

· Kita kata dunia ini sementara tetapi dunia juga yang kita kejar

· Kita pasti negeri akhirat itu kekal abadi kita tidak pernah mendambakannya

Ya, aku harus terus tabah dalam menghadapi setiap ujian yang mendatangiku. Aku tidak ingin menjadi orang yang lemah. Setiap orang mukmin itu mempunyai senjata yang paling ampuh yakni doa. Yup! Aku harus terus berdoa untuk aku terus teguh menghadapi segala pancaroba dunia. Jika DIA menunaikan terus apa yang aku pinta, itu tandanya Allah menyayangiku. Namun jika DIA lambat memberi, bererti DIA mahu menguji kesabaranku tetapi, jika DIA tidak mengurniakannya langsung di dunia, aku harus bersabar kerana ganjaran di akhirat lebih bererti berbanding segala yang ada di dunia dan sudah pasti Allah Maha Mengetahui. Mana tahu, tentu apa yang aku pinta itu tidak sesuai lalu diganti pula dengan yang lebih baik. Malahan, di akhirat tiada yang dapat memberi melainkan ALLAH SWT. Hanya Allah yang dapat membantu kita nanti. Ahhh, leganya hatiku. Aku tersenyum pada sahabat-sahabatku.

“Terima kasih, ukhti!,” ucapku penuh rasa kasih. Kami bersalaman penuh erat. Syukurlah, aku dikurniakan teman-teman yang berfikiran islamik. Yang berfikir dengan hikmah, yang ikhlas menyelesaikan masalah, yang menyampai penuh dakwah dan yang sentiasa memberiku ilham dan inayah. Sebaik-baik teman ialah yang bila mana kata-katanya membuat kita bertambah pengetahuan, amalan-amalannya mengingatkan kita dengan negeri akhirat dan bila bersamanya membuatkan kita teringat akan Allah SWT.

“Sama-sama, Hawa. InsyaAllah, kita akan bersahabat ikhlas kerana Allah. Kami semua tidak tegar melihat seorang sahabat terkontang-kanting menanggung fitnah seorang diri. Meskipun tidak mampu untuk kami membendung serakan fitnah itu tetapi sekurang-kurangnya, kami harap kami dapat meneguhkan ketabahan dan kesabaran nti. InsyaAllah, kami tidak akan membiarkan saudara seislam kita tertindas apatah lagi sahabat yang kami sayang ini,” ujar Husna sambil mendakapku erat. Aku turut membalas dakapannya.

Sahabat-sahabat Umairah yang lain hanya melihat kami dengan senyuman yang tidak lekang. Tanpaku sedari, setitis air mata jatuh ke pipiku, terharu. Oh, terima kasih Tuhan! Terima kasih di atas anugerah persahabatan ini dan kurniaan hidayahMU.




[1] Dengan nama Allah aku berlindung daripada syaitan yang direjam