Monday, April 4, 2011

PART 11

Tidak lama selepas projek tanaman strawberiku dilancarkan, aku menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Masters. Oh, syukur padaMU Tuhan yang Maha Pemurah. Nampaknya aku harus memilih sama ada mahu mengusahakan projek ini atau pun menerima tawaran pengajian itu. Aku sudah jatuh sayang dengan strawberi-strawberiku yang sudah menunjukkan tanda-tanda boleh dituai itu.

Aku bercadang untuk berbincang dengan rakan-rakan kongsiku tentang pandangan mereka. Aku memang mahu menyambung pelajaranku tetapi tidak tahu pula terpaksa memilih begini. Hujung minggu itu, seperti biasa setelah menjalankan ’pemeriksaan kesihatan’ terhadap pokok-pokok strawberi kami, aku mengajak kesemua enam orang rakan kongsiku yang kebetulan datang pada hari itu untuk berbincang. (Sepatutnya hanya aku dan dua orang rakan sahaja yang turun ke ladang pagi itu)

Tanpa ku duga, mereka menyokong seratus peratus niatku untuk menyambung pelajaran. Kata mereka, biarlah mereka sahaja yang menguruskan projek ini sementara aku sibuk dengan kuliah. Jadi, aku tidak perlu bimbang dengan perkembangan perniagaan kami ini kerana aku pasti akan diberitahu. Malahan, jika aku mempunyai waktu yang terluang aku boleh menjenguk strawberi-strawberi kami ini. Ah, ku kira aku mempunyai banyak masa terluang memandangkan pengajian Masters tidak memerlukan komitmen di kampus sepenuh masa. Cuma aku tidak dapat untuk tinggal di sini.

Aku senang mendengar ikrar dan janji mereka. Lagipun jika tiada aral yang melintang, pengajianku cuma akan mengambil masa dua tahun sahaja untuk selesai. InsyaAllah... Permudahkanlah. Namun, segala-galanya ketentuan Allah. Lalu, di suatu malam yang ku kira sangat tenang untuk bermunajat, aku menyembah Tuhan Yang Maha Esa memohon petunjukNYA dalam merancang masa depanku. Selepas tiga malam berturut-turut memperoleh mimpi yang sama, aku yakin dengan keputusan yang aku ambil. Aku akan menyambung pengajianku sepertimana yang telah aku aturkan dalam diari hidupku.

Kemasukan Julai, aku turut menjadi salah seorang penuntut di universiti yang terbesar di Malaysia ini kembali. Namun tanpaku duga, Syaqir juga bakal menjadi rakan seperjuanganku. Pertemuan di foyer bangunan pentadbiran pagi itu menjadi saksi pertemuan kembali kami setelah hampir setahun tidak bertemu. Dia masih tidak berubah, suka menyingsing lengan bajunya tetapi kali ini lebih kemas dengan sedikit kumis nipis.

Dia menghampiriku.

“Eh, kau tak cakap pun kau sambung kat sini?.” Dia melihat penampilanku dari atas hingga ke bawah. Ishh... apa mamat ni? Buat malu aku je la.... aku pura-pura membetulkan tudungku.

“Errmm... kau pun tak bagitahu aku, kan?,” balasku. Dia menjuihkan bibir.

“Kau nak start balik la tu....,” ujarnya mengingatkan aku kepada zaman remaja kami. Aku tersengih. Dia turut ketawa.

“Sudahlah, jangan nak mulakan. So, kau sambung dalam apa ni?,” soalku mengurangkan ketegangan. Dia menunjukkan surat tawaran yang terpampang jelas dalam fail lutsinar yang dikeleknya. Aku membaca sekilas.

Masters in Science Development. Oohh...

“Kau?,” soalnya pula. “Eh cop,cop... jangan cakap. Let me guess. Science in Veterinary, right?”

Aku tersenyum sambil mengangguk. “Eh, mana kau tahu?,” tanyaku. Syaqir mendekatkan wajahnya padaku. Aku mengelak sedikit.

“Kau garang macam singa, of course la amek course ni,” bisiknya membuatkan aku ternganga. Syaqir mengekek ketawa membuatkan aku jadi geram. Heh, kalaulah zaman kanak-kanak Ribena dulu dah lama aku kejar kau. Tak cukup tanah nak larilah jawabnya!

“Kau memang nak kena!,” aku menjelingnya tajam. Dia berusaha menghabiskan sisa ketawanya.

“Tengok tu! Tak ke betul apa yang aku cakapkan ni?,” ujarnya. Aku membuat muka selamba. Malas nak layan...

“Okeylah, aku gurau je. Jom gi minum? My treat,” dia mengangkat tangan seperti orang salah. Aku menggeleng.
“Tak mahulah. Lagipun, Ayahanda aku dah tunggu tu. Thanks... Lain kali sahaja kau belanja, okey?,” aku menolak.

“Okeylah. Tapi jangan tolak lagi tau?”. Aku mengangguk.

Dia mengangkat tangan ke arah Ayahandaku yang menunggu di dalam kereta di seberang jalan. Ayahanda membalas lambaiannya.

Aku berjalan menuju ke kereta. Dan kami berpecah.