Monday, April 4, 2011

PART 10


Sekarang....

“Hawa, minggu lepas ada orang merisik Hawa.” Bonda mengelus rambutku yang baru dipotong petang tadi. Aku yang sedang bersandar di sofa menonton saluran HBO. Aku mengerutkan kening.

“Bila pulak? Hawa tak tahu pun? Kan minggu lepas Hawa ada je kat rumah?,” balasku. Agaknya Bonda ni terlalu inginkan menantu agaknya sampaikan nak mengusik aku pun tak selidik betul-betul dulu.

“Bukan rasmi. Cuma merisik dengan Bonda aje.”

“Haiii... siapalah yang salah pandang Hawa tu, Bonda?,” aku ketawa dengan kata-kataku sendiri. Hakikatnya, aku berdebar juga. Ishh... takkanlah? Aku masih muda. Bonda menepuk bahuku. Aku mengaduh kecil.

“Biarlah kalau dia salah pandang pun. Tapi kalau Hawa setuju, bulan depan diorang nak datang merisik secara rasmi,” balas Bondaku. Aku membulatkan mata. Eh, cop, cop! Aku membetulkan duduk dan menghadap Bonda. Nasib baik Ayahanda tidak ada bersama kami kalau tidak aku pasti malu untuk berbincang soal ini.

“Bonda ni, serius? Hawa tak sukalah Bonda main-main benda macam ni. Tak best langsung!,” ujarku pura-pura merajuk.

“Laaa... ada pula Bonda nak main-main. Bonda seriuslah ni. Lagipun, Hawa tak ada sesiapa lagi, kan?,” tanya Bonda. Aku menggeleng.

“Tak naklah, Bonda. Hawa nak belajar lagi. Kalau dapat panggilan nanti, Hawa nak sambung Masters.” Aku menyatakan rancanganku. Bonda mengeluh kecil.

“Habis, bila Hawa nak kahwin? Sekurang-kurangnya, bertunang dulu. Lepas Masters nanti boleh terus kahwin, tak payah sibuk-sibuk nak mencari. Dah ada orang tunggu,” balas Bonda. Aku tetap menggeleng.

“Tak naklah... Lagipun, Hawa tak tahu pun siapa orang tu. Takkan nak kahwin dengan orang yang Hawa tak kenal?,” ujarku beralasan. Namun tiba-tiba aku teringat dengan kata-kataku dulu. Aku juga yang menyerahkan soal ini kepada Bonda. Tapi dulu Bonda menolak. Alamak! Apakah Bonda sudah berubah fikiran?

Aku lihat Bonda tersenyum.

“Soal itu Hawa tak usah bimbang. Bonda yakin Hawa akan bahagia dengan dia. Bonda kenal dia dari kecil lagi. Budak yang baik, bijak. Anak kawan Bonda. Dia beza empat tahun daripada Hawa tapi dah dapat phD,” balas Bonda sambil merenung wajahku. Aku tersengih namun dalam diam masih cuba mencari idea untuk menolak.

“Ish Bonda ni... takkan Bonda nak berbesan dengan kawan sendiri? Tak segan ke? Eee... kalau Hawa la, ishh... segannya Bonda!,” aku membuat mimik muka. Bonda menggeleng melihat telatahku.

“Kita tengok dulu orangnya macam mana ya, Hawa? Lepas tu, baru kita buat keputusan. Berkenal-kenalan dulu,” pujuk Bonda. Aku terpaksa mengalah. Bonda memelukku tanda senang.


Majlis merisik lagi dua minggu namun aku sedikit pun tidak merasa apa-apa malah semakin sibuk dengan projek penanaman strawberi yang akanku usahakan bersama beberapa orang teman satu fakulti dahulu sebagai rakan kongsi. Projek kami ini jika mengikut perancangan akan dilaksanakan bulan hadapan sebaik penyediaan tapak selesai. Projek ini bukan hanya memfokuskan pada penanaman strawberi sahaja tetapi turut menghasilkan produk hiliran seperti jem, syampu, minuman dan sebagainya.

Walaupun telah dilarang oleh Bonda supaya tidak terlalu kerap berulang alik ke Tanah Tinggi Cameron tetapi aku tidak menghiraukannya. Aku mahu pastikan projek ini berjaya. Aku sedar warna kulitku sudah semakin gelap tetapi tidak kisahlah. Keadaan ini hanya sementara sahaja. Lagipun, kalaulah benar bakal suamiku itu mahukan aku, walau apa keadaan sekalipun dia pasti menerimaku. Kalau dia menolakku kerana wajahku tidak lagi secantik dahulu maknanya dia bukanlah calon suami yang terbaik. Melihatkan paras rupa semata-mata. Huh...

Setelah beberapa minggu sibuk dengan projekku, aku terpaksa berehat di rumah juga setelah rakan-rakanku tidak membenarkan aku melawat tapak lagi setelah mereka tahu aku akan dirisik. Walaupun telah bertegas dengan mereka namun nampaknya mereka lagi tegas! Akhirnya, aku mengalah. Bonda juga nampaknya lega dengan keadaanku. Lalu, pada suatu hari minggu Bonda mengajakku ke spa untuk menaikkan kembali seri di wajahku. Hendak tidak hendak, aku terpaksa menurut.

“Ni cuma majlis merisik sahajalah Bonda. Bukan nak kahwin pun lagi. Tak payahlah spa-spa ni semua. Buang duit sahaja,” gerutuku sewaktu di dalam kereta.

“Majlis merisik ni pun besar maknanya Hawa. Jadi tak jadi semuanya letak kat situ.” Aku malas bertekak lagi. Biarlah, lagipun semua belanja spa Bonda yang keluarkan. Aku cuma perlu letak muka dan relaks. Celik sahaja, pasti wajahku sudah berubah. Hurrmmm... oraitlah jugak!

Empat hari lagi majlis takruf akan berlangsung, Bonda menerima satu panggilan yang ku kira agak mengecewakannya. Aku menghampiri Bonda sebaik gagang telefon diletak.

“Siapa yang telefon Bonda?,” soalku.

“Auntie Ramlah. Katanya, anaknya tak dapat datang majlis nanti. Dia baru dapat surat tawaran kursus di New Zealand selama dua bulan. Kena lapor diri pada tarikh majlis tu,” ujar Bonda. Aku diam.

“Habis, macam mana ni Hawa?,” soal Bonda. Aku mengangkat muka.

“Entahlah Bonda. Hawa tak apa-apa pun tapi cubalah Bonda berbincang dengan Ayahanda.” Bonda mengangguk.

Sememangnya aku merasa sedikti lega dengan berita ini. Nampaknya, kemungkinan besar majlis akan ditunda. Namun semuanya terserah kepada Ayahanda. Tapi aku berharap sangat agar majlis ini betul-betul ditunda atau pun dibatalkan terus. Aku tidak bersedia lagi sebenarnya untuk dirisik. Cita-citaku lebih utama daripada perasaan ingin berkahwin. Tapi, aku harus bersedia juga ke arah itu. Eeiii... sunnah Nabi tetap aku ikut tau!

Malam hari aku sepatutnya dirisik, aku dihubungi oleh seseorang.

“Haiii, tak lama lagi dapat makan nasi minyak la yer?,” kata si pemanggil. Aku mencebik mendengar usikan itu.

“Syukurnya kalau betul. Tapi harap anda bersabar ye, nasi minyak lambat lagi,” balasku kembali.

“Eh, kenapa pula? Calon tu tak sehensem aku ke? Hahaha, aku dah agak dah!,” ujarnya kembali sambil ketawa. Aku jadi mahu tergelak dengan pertanyaannya yang jelas mengangkat diri sendiri itu. Aku menukar posisi telefon ke telinga kiri, lebih selesa.

“Errmm... suka hati kaulah Syaqir. Malas aku nak layan,” jawabku. Aku tersenyum sendiri bila mengingatkan betapa hubungan aku dengan Syaqir sekarang sudah pulih sepulih-pulihnya. Tidak sangka pula, penawar untuk kami berbaik cumalah cuti panjang sahaja. Ternyata sebenarnya aku dengan dia boleh berbaik-baik dengan syarat kami tidak saling bertemu. Macam sekarang.... hanya telefon yang menghubungkan kami. Kalau mahu dihitung-hitung, sudah enam bulan tidak berjumpa. Ha’ah la... lama jugak ye? Hehehe... aku ketawa sendiri.

“Laa... yang kau gelak tiba-tiba ni apsal pulak? Suka la tu aku telefon kau,” Syaqir masih mengusikku.

“Hurrmm... kau perasanlah sorang-sorang. Aku ada hal ni. Lain kali sembang lagi. Assalamualaikum,” aku memberi alasan untuk tidak memanjangkan perbualan. Aku tahu kalau dilayan makin menjadi-jadi pula nakalnya itu. Aku tidak mahu hatiku resah lagi dengan perbuatanku sendiri yang melayan lelaki ajnabi ini.

“Okeylah. Wa’alaikumsalam,” balasnya. Talian putus.