Sunday, November 13, 2011

Makin Belajar, Makin Tak Tahu!

Assalamualaikum!

Hari ni pas Subuh tadi baca Al-Quran satu muka je sebab nak start siapkan report FYP (final year project) awal sket… nak sambung yang semalam, yang tak sempat nak disudahkan sebab dah kiss jurnal awal sangat… tup-tup dah pukul 6.20 pagi… hohoho… (thanks roommate sebab kejutkan Subuh).

Belek-belek tesis PhD supervisor nih, kagum bangat seh dengan writing dia. Panjang giler… adehhh..camne la dia leh dapat idea nak mengarang berjela-jela camtu? Bahasa dia senang je, tak adalah sampai terkial-kial nak paham pun even sains dalam bahasa Inggeris. (Owwhh…dia belajar kat UK.. uhuk!) Dan, saya compare lak tesis dia tu ngan cara dia mengajar kami dalam kelas. Hurrmm…tak dapat dinafikan, kelas dia memang syok la sebab dia mampu terangkan dengan jelas dan tepat sekali pertanyaan kitorang. Memang best! Slide dia sekadar membantu dalam prosedur pengajaran, bukan slide sebagai bahan pengajaran! Bosan bila lecturer mengajar baca slide… huhuhu…kalau macam tu, baik balik rumah baca slide je..
tak gi kelas pun okey~~

Tapi, kelas neih sangatlah rugi kalau tak pergi sebab banyak info dapat time dia mengajar. Sesi soal jawab, ‘jarang memalukan dan dimalukan’. Hehehe… Sape berani hentam orang yang bertanya, dia akan backup… dan dia pulak tak adalah nak pandang rendah ngan soalan 'kurang membaca' yang kitorang tertanya tu.. at least dia akan cakap… “Tak apa.. tak semua perkara kita tahu” atau tak pun dia sengih! Tapi, biasanya dia suka tegur sket… so, siapa yang terbuat perkara salah disisi undang-undang tu, terasa sket la contohnya kalau tak datang kelas, meniru dalam ujian atau peperiksaan, datang lambat, malas belajar… waaa, ‘terguris’lah hati pada sesiapa yang punya kesedaran~

Tapi yang bestnya bila baca tesis dia tu…tetiba lak saya rasa macam tak sabar nak sambung PhD… sangat motivated ngan hasil usaha dia! Dan, saya pun tak sabar nak jadi lecturer macam dia… yang boleh terangkan sesuatu pada pelajar saya dengan terbaik dan sekaligus memotivasikan diorang supaya jangan jemu belajar. Memang selama ini, semangat saya untuk kejar PhD belum terkubur dan diri ini pun tak berapa gemar sangat pada orang yang suka bermalas-malas dan anggap "setakat ni je kot belajar. Da malas"... Hishhh!
Tidaaaakkk.. jangan pengaruhi daku~

Hidup adalah satu perjuangan dan belajar adalah satu jihad! Belajarlah sampai ke Negeri China (sampai sekarang aku tak faham kenapa negeri China dijadikan contoh…China ngan Malaysia dekat je… ) sekalipun…

Letih

Tak sanggup dah?

Takut tak sempat kawin? Jadi andartu atau antertu?

Takut lambat-lambat kang tak dapat kerja?

Ish, ish, ish… semua itukan rezeki dari Allah.. don’t worry lah! Grade awal-awal pun… Grade dengan kelulusan tinggi sekalipun, kalau tak ikhlas mencari ilmu, memang tak ke mana jugak… Percayalah! It’s karma… Dapat kerja pun, mungkin jiwa tak tenang… Then, mulalah nak kerja untuk duit semata-mata… apa sahaja, duit… halal haram, da tak kisah…

Kalau letih, rehatlah sekejap..tapi jangan lepaskan genggaman ilmu.

Kalau tak sanggup, fikirlah tentang hidup ini… “Sesiapa yang menginginkan dunia, hendaklah dia berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, hendaklah dia berilmu. Sesiapa yang inginkan kedua-duanya, maka hendaklah dia berilmu!”< Kalau sudah ditakdirkan kita berjodoh di dunia ini, insyaAllah akan ada. Lagipun, kejadian di dunia ini berpasang-pasangan… kalau tidak ditakdirkan di dunia, bidadari akhirat menanti… Lecturer saya ada yang tak sempat kahwin.. dan meninggal dunia… tapi insyaAllah, moga Allah menganugerahkan syurga buat dia.. Tak semestinya belajar, belajar dan belajar itu tak akan kahwin.. Mana tahu, jumpa jodoh di universiti? Dengan lecturer ke… Kikiki… Sibuk belajar bukan satu alasan untuk ‘tak ada masa nak fikir soal nikah kahwin’. Belajar adalah tanggungjawab kita pada masyarakat, sedangkan kahwin tanggungjawab kita pada diri sendiri dan agama. Kita belajar untuk dapatkan ilmu dan kita kongsi dengan masyarakat.. tak guna belajar tanpa amal, kan? Tapi perkahwinan adalah untuk diri kita sendiri... Sebab itu, soal rumah tangga, tak elok bagitahu orang sana sini... Rahsia tau~ Jangan adakan satu stigma, tak boleh kahwin, sebab tengah belajar. Belajarlah untuk menampung komitmen secara matang sebab komitmen tidak datang satu-satu, kadang-kadang tiga empat perkara datang sekaligus. Nak kejar kerjaya? Kalau orang berilmu, semua orang akan kejar kita nanti… Kalau tak, masakan USA sanggup beli otak cendawan cendekiawan dan ‘menculik’ saintis-saintis yang superb bijak ni? Kan, kan, kan?

So, carilah ilmu sehingga ke hujung nyawa… mati dalam pencarian ilmu lebih mulia dari mati hidup bersahaja… saya tidak bermaksud memandang rendah pada sesiapa... Setiap orang ada kehidupan dia sendiri... Soalnya disini ialah keinginan untuk belajar, bukan soal masuk universiti. Dan belajar bukan hanya di universiti atau kolej sahaja. Ilmu Allah ada di mana-mana dan sesiapa yang berusaha mencarinya, pasti akan memperolehi. Tidak semestinya orang yang kita nampak biasa-biasa itu geliganya tak boleh luar biasa.

Don't judge a book by its cover.
(Tak sangka gambar nie leh jadi kontroversi.. Well, sensitiflah pada tempatnya... kebenaran itu pahit wahai sahabat-sahabatku)

Dan semestinya, tidak semua orang akan pandai dalam semua perkara. Kena akui hakikat kepelbagaian itu. Even belajar sampai phD pun, ilmu dia tidak semesta alam juga. Dia ialah pakar dalam bidang itu dan tidak di bidang lain. Ilmu Allah yang diberikan kepada manusia, kalau hendak dihitung, ia ibarat cuma setitis air di lautan saja... Ada orang yang tak berminat lagi nak mengadap buku tapi dia berminat nak belajar ilmu kreatif. Lalu dia daftar masuk kursus-kursus kraftangan dan menjadi usahawan berjaya. Plotnya disini ialah keinginan untuk terus belajar okey, bukan masuk universiti!

Cuma nasihat saya, belajarlah selagi mampu. Jangan Katakan Tidak Pada Belajar! Kita kena tukar stigma belajar untuk dapat 4.0 atau untuk jawatan tinggi-tinggi. Kita belajar untuk cari redha Allah... menutut ilmu untuk mengenal Allah. Belajar ikhlas kerana Allah. Barulah kita tidak cepat lemah semangat bila tidak berjaya mencapai 4.0 kerana kita tahu, Allah telah mengira usaha kita. DIA akan menggantikannya dengan perkara yang tidak kita sangka-sangka kelak... Yang penting adalah usaha kerana kejayaan itu milik Allah. Kita hanya meminjamnya. Sebab itu tak semua orang akan berjaya setiap masa...ada ketika-ketikanya juga.

Kalau mengejar gelaran dekan semata-mata tanpa menilai balik kesucian perjalanan kita mendapat anugerah itu, saya percaya mereka-mereka ini bila ditimpa ‘ujian kegagalan sementara’, mereka akan merasakan ibarat batu besar jatuh menghempuk kepala... Terasa benar kegagalan itu lalu terus bermuram durja dan paling malang bagi dirinya, menyalahkan takdir... Kerana itu, carilah redha Allah dalam menuntut ilmu... Jiwa pun akan tenang... Kalau Allah redha, bukankah DIA akan menghadiahkan kita dengan pelbagai kesenangan?

Belajar itu penting untuk menjadikan kita insan yang merendah diri. Belajar supaya kita sedar, bahawa makin kita belajar sesuatu, makin kita sedar banyak benda yang kita tidak tahu lalu, menjadikan kita manusia yang sentiasa malu untuk beriak angkuh dan menjadi insan yang berjiwa hamba pada Tuhannya.

Luqman al-Hakim, seorang tukang besi sahaja namun kerana kebijaksanaannya, dia dimuliakan oleh Allah swt sehingga kisahnya dijadikan salah satu surah di dalam Al-Quran.

Dari Muaz bin Jabal pernah berkata, "Tuntut olehmu akan ilmu sesungguhnya menuntut ilmu kerana Allah akan menjadikan kamu takut kepada-Nya. Menuntut ilmu adalah ibadat, mengingati ilmu merupakan tasbih, membincangnya pula adalah jihad dan sekiranya kamu ajar kepada orang yang tidak mengetahui adalah sedekah. Manakala menghabiskan masa dengan ahli ilmu merupakan pendekatan diri kepada Allah dan ilmulah yang memberi pengetahuan terhadap kamu soal halal haram, makruh atau syubhah yang akan terpelihara diri kamu dari api neraka".

Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang kita tinggalkan untuk anak cucu. Baiklah, genetik bijak mungkin salah satu faktor tetapi, sebenarnya orang pandai tu bukan kerana dia dianugerahkan kepandaian semata-mata, tetapi dia dianugerahkan kesedaran.

"RM10 boleh jadi berjuta kalau diberi pada orang berilmu...tetapi RM10 habis begitu sahaja kalau diberi kepada orang yang tidak berilmu." Saya ambil contoh kumpulan KRU. Modal perniagaan mereka dahulu cuma RM3000, tetapi kini syarikat mereka sudah ada jenamanya sendiri. Tetapi sekarang, Rm3000 duit PTPTN kita pun.... belum tentu boleh berkembang biak macam tu... kalaulah boleh dibuat sedikit pelaburan (bukan pelaburan bertukar handset atau belanja aweks), tak adalah terasa 'sakitnya' nak membayar...

Untuk mencapai kesejahteraan hidup, berilmulah kerana hanya dengan ilmu kita dapat mengenal diri dan kejadiannya. Surah pertama yang diturunkan juga menuntut kita untuk belajar. Surah al-Iqra'. Jika diimbas sirah, Nabi Muhammad saw, seorang yang buta huruf dan tidak tahu membaca dan menulis namun Jibril terus-terusan memeluk dan melafazkan baris ayat itu sehinggalah Nabi saw mampu. Nah, bukankah itu menunjukkan kepada kita bahawa, mempunyai ilmu pengetahuan itu penting? Jadi, tepuklah dada, tanyalah iman. Jangan tepuk perut, itu memang mintak nak kenyang! Tepuk pipi, mintak pelempang... Kekeke

Belajarlah, meskipun sudah cemerlang di kelas pertama. Kecemerlangan akademik bukan penentu kita cerdik, tetapi sekadar pandai... Saya tetap tertarik dengan kata-kata pensyarah saya ini...

Suatu hari, kami berbincang bagaimana untuk membuat analisis data. Saya kurang mahir, dia pun tak berapa arif. Nasib baiklah, ada pelajarnya yang sebelum ini yang sangat mahir dengan proses analisis data. Lalu, dialah yang membantu kami.

Kata pensyarah saya.. "Saya kena ambil master dalam bidang statistik pulak nampak gayanya ni.. nanti, tak adalah bila orang bertanya, saya bersusah payah cari orang macam ni lagi." Saya termotivasi serta merta. Sudah banyak yang saya temui, semakin seseorang itu belajar, semakin sukar untuk dia berhenti. Belajar itu seronok sebenarnya walaupun sesekali susah menjelma. Tapi, ramai yang jika sudah berhenti di peringkat awal, berkira-kira sama ada untuk meneruskan atau tidak. Melainkan, dia berhenti atas desakan yang memaksa, insyaAllah...dia akan meneruskan juga suatu ketika nanti, bila waktu itu tiba. Jiwanya tidak mati untuk berilmu.

Akhir sekali, renungkanlah baris ayat ini...

Kalau tidak sanggup menahan letihnya belajar, bersedialah dirimu dengan peritnya kebodohan.