Thursday, November 17, 2011

Dari Tingkap ke Tingkap

Assalamualaikum.

Perbualan perempuan-perempuan…sering dimomokkan dengan mengumpat. Asal perempuan berbual sesama mereka, orang akan nampak sebagai mengumpat. Eh, tapi tak semua macam tu. Bukan semua perempuan bermulut perempuan.. hehe… Ada jugak yang sedar mengumpat tu tak bek… Iman tak sama bagi setiap orang ye… Tapi, tak mustahil juga bila perempuan bertemu perempuan, rancangan ‘Gossip Girls” akan berlangsung. Kenapa eak??

Adakah kerana perempuan itu dilahirkan untuk mengumpat? Hoi! Salah hokei~~ Terlahirnya perempuan adalah untuk mendampingi hati dan fitrah lelaki yang mudah sunyi… Kah3…

Okey, okey...back to the future!

Tak semestinya perempuan je yang suka bermesyuarat tingkap a.k.a mengumpat a.k.a ghibah ni. Lelaki pun apa kurangnya. Selagi berlidah, selagi itulah nak potpet-potpet… Berkata-kata itu tak salah tapi kalau tak dek mende berpekdah nak bercakap, baik diam. Tapi, orang yang dalam mood mengumpat mana ada istilah ‘benda tak berpekdah’. Mengumpat adalah satu perbuatan yang susah nak diberhentikan serta merta di tengah-tengah syok berbual. Kalau terberhenti pun, mesti sebab orang yang kita umpat tu lalu di depan. Tapi percaya atau tak, pastu akan sambung balik! Haiyaaa… sentap!

"Sesiapa yang menahan lidahnya pasti Allah akan menutupi auratnya, siapa yang dapat menahan amarahnya pasti Allah akan melindunginya dari seksa azabNya dan siapa yang memohon keampunan kepada Allah pasti Allah menerima permohonan keampunannya."[Riwayat Ibnu Dunya dengan Sanad Hasan]

Ibnu Mas'ud juga berkata, "Demi Allah yang tiada tuhan selain Dia, tidak ada sesuatu yang lebih memerlukan pemenjaraan yang panjang selain dari lidah."

Renungkanlah juga sabda Rasulullah, "Sesungguhnya kebanyakan dosa anak adam berada pada lidahnya."[Riwayat Thabrani, Ibnu Abu Dunya dlm bab as-Shamtu dan al-Baihaqi dlm asy-Syu'ab]



Apa yang dimaksudkan dosa-dosa anak Adam berada pada lidahnya? Ini kerana diantara kebanyakkan dosa yang dilakukan oleh lidah adalah seperti:

1. Perbicaraan atau percakapan yang tidak berguna
"Termasuk tanda baik keislaman seseorang adalah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya."[Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi]

2. Berlebihan dalam berbicara
"Ucapkanlah perkataan kalian tetapi jangan sampai syaitan memperdayakan kalian."[Riwayat Abu Dawud, Nasa'i]

3. Melibatkan diri dalam pembicaraan batil dan salah
"Orang yang paling besar dosanya pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak melibatkan diri dalam perbicaraan yang batil."[Riwayat Ibnu Abu Dunya]

4. Perbantahan/pembangkangan dan perdebatan yang sia-sia
"Jangan kamu mendebat saudaramu, janganlah kamu mempermainkannya dan janganlah kamu membuat janji dengannya lalu tidak kamu tepati."[Riwayat Tirmidzi]

5. Pertengkaran
"Orang yang paling dibenci oleh Allah adalah orang yang paling keras dalam pertengkaran."[Riwayat Al-Bukhari]

6. Berkata keji, makian dan cacian
"Orang mukmin itu bukanlah orang yang suka 'melukai', bukan orang yang suka melaknat, bukan orang yang suka berkata keji dan bukan pula orang yang suka berkata kotor."[Riwayat Tirmidzi]

7. Senda gurau yang berlebihan
"Sesungguhnya aku bersedia gurau tetapi aku tidak mengatakan kecuali yang benar sahaja."

8. Ejekan dan cemuhan
"Wahai orang2 yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain kerana boleh jadi kaum yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-olokkanya."[al-Hujurat ayat 11]

9. Menyebarkan rahsia dan aib orang

10. Mengumpat
"Janganlah kalian saling mendengki, janganlah kalian saling membenci, janganlah kalian saling bersaing, janganlah kalian membuat muslihat. Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara."[Riwayat Bukhari dan Muslim]

11. Janji palsu
"Wahai orang-orang yang beriman, tepatilah janji-janji kalian."[Al-Maidah ayat 1]

12.Menipu dan berbohong
" Sesungguhnya berdusta itu membawa kepada kederhakaan, sedangkan kederhakaan itu menyeret ke neraka, dan sesungguhnya seseorang berdusta hingga ditulis disisi Allah sebagai pendusta."[Riwayat Bukhari dan Muslim]

13. Berdusta dalam bersumpah
"Tidaklah bersumpah orang yg bersumpah dengan nama Allah kemudian dia memasukkan kedalamnya kedustaan seberat sayap nyamuk melainkan hal itu merupakan noda didlm hatinya hingga hari kiamat."[Riwayat Muslim]

14. Menghasut dan menggoda
"Tidak masuk syurga orang yang suka menghasut."[Riwayat Bukhari dan Muslim]

15. Nyanyian dan syair yang melalaikan
"Bahawa bahagian dalam salah seorang diantara kalian penuh dengan nanah sampai mematikannya, sungguh lebih baik baginya daripada ia penuh dengan syair."[Riwayat Muslim]

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

1) Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam.

2) Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang.

3) Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah.

4) Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat.

5) Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain.

6) Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Betul tak apa yang Imam Ghazali senaraikan tu? Cuba belek-belek sifat diri... ada tak unsur-unsur tu? Mengumpat, bukanlah tak dibolehkan. Boleh... CUMA ada syaratnya...

1. Mengadu kezaliman dan pengkhianatan yang berlaku.

2. Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran yang berlaku, maka didedahkan kemungkaran tersebut.

3. Meminta fatwa daripada mufti seperti isteri menceritakan perbuatan jahat suami atau sebaliknya, berdasarkan aduan isteri Abu Sufyan kepada Rasulullah s.a.w. tentang suaminya yang kedekut.

4. Menyelamatkan saudaranya daripada kejahatan seseorang seperti mendedahkan kejahatan seorang hamba yang bakal dibeli (dalam konteks situasi semasa ialah pekerja) dan seseorang yang ingin diserahkan amanah kepadanya. Demikian juga seseorang yang ditanya tentang perempuan atau lelaki yang bakal dikahwini, maka harus mendedahkan keburukannya sekiranya ada. Terdapat tiga golongan manusia yang seandainya diceritakan keburukan mereka maka ia tidak dikira mengumpat, iaitu pemimpin yang zalim, ahli bidaah dan seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan.

5. Memperkenalkan seseorang yang memang terkenal dengan gelaran tertentu. Atau hanya dikenali apabila disebut sifat cacatnya sepert tempang, buta dan sebagainya.

6. Seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan. Seperti lelaki atau perempuan yang mengubah jantinanya, peminum arak, penzina dan sebagainya. Tetapi jika melakukannya secara bersembunyi, maka tidak harus menyebut tentang mereka.
Berhijrahlah... hentikan cakap-cakap tentang diri orang lain.

Katakan pada hati... “Nauzubillah!! Jangan mengumpat...aku juga banyak cacat celanya!” Bagaimana nak elakkan mengumpat?

1) Pilihlah kawan yang beriman. Kerana dalam kehidupan seharian kita, kawan memainkan peranan yang paling penting.

2) Elakkan diri dari mendengar dan mendekati percakapan yang berunsur peribadi.

3) Jauhkan diri daripada sahabat suka bercakap tentang orang lain.

4) Beristighfar selalu...

5) Dekatkan diri dengan buku-buku agama, kuliah, ceramah, tazkirah agar diri sentiasa akan ingat tentang akhirat.

6) Sibukkan diri dengan perkara-perkara yang lebih bermakna seperti beriadah, berfikir tentang perancangan masa depan dan jauhkan dari mendekati perkara-perkara lagha seperti melepak, menonton DVD hingga melampaui batas dan mengunjungi tempat-tempat maksiat.

7) Ingat akan mati dan dosa.

Selamat berusaha sahabat!