Sunday, July 18, 2010

PART 3


♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥


Shamila pulang agak lewat petang itu. Aku yang sedang menyiapkan laporan di meja tulis hanya memandang sahaja dia masuk ke bilik sambil menjawab salam yang diberi.

“Nah, peminat kau bagi,” Shamila menghulurkan hadiah yang cantik berbalut warna biru. Aku tidak menyambutnya.

“Ambillah weih,” gesanya. Aku mengerutkan kering.

“Peminat mana pula ni? Baiknya hati dia,” aku berjenaka. Shamila mengangguk.

“Dia memang baik dan semua orang suka dia!”

“Eh, janganlah emosi Sham... Gurau je. Apa halnya ni?,” malas bertekak, aku menyambut juga hulurannya.

Shamila lantas merebahkan tubuhnya yang langsing itu ke tilam sambil mengeluh dalam. Aku membelek-belek hadiah yang diterima tetapi tidak terasa pula ingin membukanya. Tidak ada pula kad yang terselit. Tapi, ini hadiah untuk apa? Hari lahirku sudah lepas, Valentine pun dah lepas. Hehehe, kalau Valentine pun siapalah yang nak bagi. Adamku tidak mungkin meraikan hari kejatuhan umat Islam itu. Begitu juga aku.

“Apa kurangnya Shaqir pada kau?,” tanya Shamila dengan mata terpejam. Tangannya diletakkan di dahi. Aku sedikit terkesima. Lama aku berfikir sebelum memberikan jawapan terhadap pertanyaannya dan juga terhadap diriku sendiri.

“Tak ada apa-apa yang kurang dan… Sham, kau tolong kembalikan hadiah ini pada Syaqir. Cakap kat dia, aku tidak boleh terima, okey?,” pintaku lantas mencapai tuala untuk ke bilik air.

Shamila pantas mencelikkan mata seraya bangun.

“Eh, kenapa nak bagi pada Syaqir? Bukan dia yang bagi, orang lainlah!,” jawapan Shamila membuatkan langkahku terpaku.

“Siapa?,” tanyaku sepatah.

“Amin,” jawab Shamila. “Bertuah betul badan kau Qis, dua orang sekaligus nak cuba masuk dekat,” nadanya sinis.

Aku terkesima. Amin? Student Science Mechanical itu? Ah, kacau betul! Tanpa membalas kata-kata Shamila, aku memulas tombol pintu dan keluar menuju ke bilik air.

* * * * * *


Berita Syaqir demam panas sampai ke telinga aku juga. Siapa lagi kalau bukan Shamila yang menjadi tukang beritanya. Namun, aku tidak ada gamak untuk ke hospital dan melawatnya. Cukuplah rasanya aku mengirimkan sebuah doa kudus agar dia segera sembuh. Namun, sebagai orang yang mengenalinya aku bimbang juga kerana lagi tiga minggu seluruh universiti akan mulai demam peperiksaan akhir. Lalu, di tengah kesunyian malam Jumaat itu, aku bangun menunaikan solat hajat. Untuk keberkatan hidupku, ketenangan dan kelapangan hati dalam menuntut ilmu dan tidak dilupakan kesejahteraan kesihatan aku dan kawan-kawan seangkatan, termasuklah Syaqir.

Aku terus bertahajud sehingga azan Subuh bergema ke seluruh alam semesta. Shamila juga sudah bangun untuk menunaikan tuntutan wajib agama itu. Akhirnya, kami berjemaah bersama dengan aku sebagai imamnya.

“Aku nak pergi melawat Syaqir tengah hari nanti. Kau nak ikut?,” tanya Shamila sambil tangannya pantas melipat kain sembahyang. Aku diam tanpa jawapan. Bukan tidak mahu menjawab tetapi jawapannya telah aku berikan semalam. Tidak mungkin dia lupa? Ah, sengaja la tu! Aku pandang Shamila tanpa suara.

“Qis, diakan coursemate kita. Apa salahnya kalau pergi melawat? Lagipun, selain menjadi tuntutan agama melawat orang sakit, kita boleh bagi sokongan pada dia untuk cepat sembuh. Final exam kan dah dekat?,” Shamila memandang aku yang mula mencapai al-Quran.

“Coursemate kau, classmate aku,” bidasku perlahan. Yalah, kami hanya bersama untuk satu kelas sahaja iaitu kelas keselamatan industri dan bukannya satu jurusan. Shamila menggeleng.

“Suka hati kaulah Qis… Aku pun tak faham kenapa kau alergi sangat dengan dia.” Aku diam sahaja. Biarlah antara aku dengan Syaqir sahaja perkara ini. Aku pasti antara kami tiada soalan sebagaimana soalan yang Shamila utarakan. Aku faham kenapa, begitu juga Syaqir. Lalu, tanpa membuang masa lagi aku terus melafazkan kalimah suci al Fatihah dan terus membaca juzuk ke dua puluh lima.



Shamila mengeringkan rambutnya yang basah dengan tuala. Badannya wangi dengan syampu badan The Garden. Syamila memang selalu menggunakan syampu badan jenama tersebut. Aku menyuapkan dua tiga biji kacang rebus yang dibawa pulangnya tadi sambil menatap buku.

“Qis, aku rasa kau patut pergi melawat dia. Aku tengok keadaan dia memang tenat sangat. Masa aku pergi tu, kata doktor hari itu sahaja sudah lima botol air dimasukkan dalam badan dia. Aku tengok dahi dia tadi sampai timbul urat. Yalah, dia kan jenis kulit cerah so nampak ketara sangatlah,” cerita Shamila antara beria-ia dan simpati, bergabung menjadi satu luahan cerita yang mengharapkan pengertian aku. Aku cuma mampu mendengar sambil membuat sedikit kira-kira dalam buku laporan.

Bukan aku tidak berhati perut tetapi untuk melawat seseorang yang membuatkan aku rasa bosan selama ini, malas sahaja rasanya. Lagipun, dia adalah seorang lelaki. Rasanya cukuplah andai aku berdoa sahaja dari kejauhan dan tidak perlulah aku mempamerkan keprihatinan dan kesantunan aku sebagai seorang perempuan. Mungkin saat ini aku patut mengiakan kata-kata Shamila dulu, aku ini sombong dan ego bila berhadapan dengan lelaki.

“Hawa Qistina, janganlah terlalu membenci. Aku takut nanti kau akan tersungkur saat menyayangi dia,” ujar Shamila dalam nada yang lebih diplomatik dan membujuk. Aku sedikit tersentak. Aku meletakkan pen dan mengadap teman sebilikku itu. Sesungguhnya janganlah kamu membenci akan sesuatu, barangkali ia akan menjadi kesukaanmu. Dan jangan janganlah kamu menyukai sesuatu berlebih-lebihan, barangkali ia akan menjadi kebencianmu.

“Sham, aku tak benci dia dan aku tak pernah benci sesiapa. Cuma, bagilah aku masa untuk cuba menerima dia sebagai kawan aku. Selama ini, aku susah untuk rapat dengan mana-mana lelaki, mungkin kerana aku tidak pernah ada pengalaman berkawan dengan lelaki. Dan, kau pun tahu bagaimana cara dia mendekati aku. Aku tidak suka cara macam tu. Kadang-kadang, di tengah awam dia buat macam tu, aku malu. Rasa macam diri aku ini tidak bermaruah. Aku perempuan, kau perempuan… kau mesti fahamkan bila orang buat macam tu?,” ujarku. Shamila terdiam.

“Baiklah kalau macam tu. Tapi, aku minta sangat kau pergi melawat dia. Bukan apa… err, kau nak tahu sesuatu?,” tanya Shamila. Aku menjongketkan kening.

“Kata doktor, dia selalu meracau panggil nama Hawa. Doktor nak tahu, siapa Hawa tu. Aku rasa kaulah Hawa yang dia maksudkan,” beritahu Shamila membuatkan aku tersentak. Biar betul? Aku menelan liur. Tiba-tiba terasa pipiku panas.

“Hish kau ni… Hawa lain kot,” kataku sambil beristighfar dalam hati dan cuba menutup malu dengan ketawa kecil. Shamila senyum tawar.

“Mungkin kau ingat aku main-main. Tapi kalau kau nak tahu betul ke tidak, kau pergilah sendiri. Okeylah, aku ada janji dengan Mai ni. Aku keluar dulu. Mungkin aku balik lambat malam ni. Tapi tak apa, aku dah bawak kunci ni, okey?,” ujar Shamila sambil menayang-nayangkan anak kunci bertanda merah jambu itu. Dia lalu keluar sambil mengepit sekeping fail, mungkin fail persatuan.

Sebaik pintu bilik tertutup, aku merebahkan badan ke tilam dan menekup mukaku dengan bantal. Serabutnya kepala!




Seminggu kemudian, Syaqir sudah dibenarkan pulang. Dia tidak mengambil cuti panjang tetapi terus mengikuti kuliah yang hanya tinggal seminggu sahaja. Minggu depan sudah minggu ulangkaji. Aku hanya mampu mengucapkan syukur ke hadrat Illahi yang telah memberikan kembali nikmat kesihatan kepadanya.

Sewaktu hendak masuk ke perpustakaan, aku bertembung dengannya. Dia memandangku dengan mata yang redup, mungkin badannya masih penat setelah seminggu lebih di dalam wad. Pertemuan kali ini tiada lagi sergahan atau lawak bodoh yang dilakukannya. Aku menghulurkan sekuntum senyuman, ringkas. Dia yang pada mulanya ingin terus berlalu seakan terkejut dengan sapaanku itu.

“Eh!,” dia menahan langkahku yang ingin masuk ke perpustakaan. Aku memandangnya.

“Tadi kau senyum kat aku eh?,” tanyanya. Aku tidak menjawab malah bertanya kembali.

“Kau dah okey?,” sekadar berbasi-basi. Dia kelihatan tersengih-sengih sambil menolak anak rambutnya yang jatuh ke dahi.

“Dah! Aku dah okey, alhamdulillah,” jawabnya ceria. Matanya kelihatan bersinar-sinar dan aku tidak nampak lagi lelaki yang tadinya lemah di hadapanku.

Aku mengangguk. “Baguslah kalau macam tu. Lain kali, jangan lupa jaga kesihatan tau? Exam is just around the corner.” Aku terus berlalu masuk ke perpustakaan tanpa menunggu butir bicaranya lebih lanjut. Cukuplah sekadar itu, bisik hatiku.

Untuk sebuah persahabatan, aku ketepikan ‘ego’ku yang sering diperkatakan oleh Shamila. Mungkin ada benarnya juga. Lagipun, Islam tidak melarang untuk bersahabat tetapi biarlah berpandukan syara’. Aku tidak mungkin akan berdua-duaan atau bertemu tanpa sebab yang membenarkan. Atau juga berpegang-pegangan atau bermesra yang berlebihan. Walaupun aku telah membuka ruang persahabatan dengan seorang lelaki, namun aku akan pastikan diriku tidak akan sekali-kali mencurangi Adamku.