Thursday, October 6, 2011

Dacing Akhirat

Assalamualaikum...

Sebenarnya bukan senang nak menulis sesuatu apatah lagi bila tulisan itu boleh dibaca dan ditatap diseluruh dunia. Sebagai manusia biasa, saya tak lari dari melakukan dosa namun sebagai insan yang berjiwa hamba, yang ingin mencari redha Tuhannya demi mengejar kebahagiaan di akhirat kelak, menulis mungkin boleh dijadikan kupon pahala seandainya dilakukan dengan cara dan niat yang betul.

Arwah nenek saya pernah berpesan, guru-guru saya malah ibu bapa saya sendiri selalu berpesan; Buatlah apa sahaja di dunia ini melainkan sesuatu yang ditegah oleh agama.

Saya terdetik hendak menulis kali ini..biarpun ditengah-tengah kesibukan menyiapkan tesis yang perlu dihantar lagi tiga minggu. Tak mengapalah... Sementara menunggu hari cerah sedikit, saya menulis. Semoga Allah bersama dengan saya di Subuh ini.

Sejak kebelakangan ini, soal hudud dibahaskan. Secara peribadinya, saya merasakan hukum ini tidak harus dibahaskan kerana ianya merupakan hukum Allah, hukum Tuhan, hukum dari langit. Tidak perlulah kita hendak mempertikaikan ke'rasional'an hukuman itu dijalankan di negara ini. Hukum Allah, tidak pernah tidak relevan dengan masa. Islam adalah agama syumul, menyeluruh dan sentiasa relevan dan boleh diguna pakai dimana-mana dan pada bila-bila masa. Islam tidak pernah berubah. Jadi tak perlulah rasanya kita hendak berhujah soal hudud itu. Hudud ialah soal agama, ia tidak perlu dipolitikkan. Kalau tak mahu laksanakan, diam dan jangan cuba hendak katakan perkara itu tidak relevanlah, apalah... Tapi, bukankah itu panduan dari Allah?

Lagipun, pada saya... untuk melaksanakan hukuman hudud itu bukanlah sewenang-wenangnya boleh dilaksanakan. Allah Maha Adil. Bukannya kita nampak seseorang itu masuk ke rumah seseorang, kita katakan dia mencuri lalu harus dipotong tangan. Tidak! Islam sangat adil. Kalau tiada saksi yang mencukupi, hukuman tidak akan dilaksanakan. Kenapa hendak takut? Hudud, perlaksanaannya boleh menjamin keselamatan dan keharmonian negara.

Baiklah...dalam entri kali ini, saya bukan hendak bercakap tentang soal hudud itu namun tentang bisanya lidah namun, kerana soal hudud dibangkitkanlah, entri ini dapat difikirkan. Bagus juga.... sekurang-kurangnya saya perlu membuat ulangkaji sikit tentang ayat Allah selain dok baca pasal jurnal sains sahaja... :)

Baru-baru ini...saya terbacalah beberapa keratan akhbar yang bersangkut paut dengan hukum ini dan banyak sekali pendapat dan pandangan daripada orang-orang yang ditemuramah itu. Namun sangat dikesalkan bila pandangan dan jawapan yang diberikan itu sangat dangkal dan kelihatan bodoh. Maaf kalau saya katakan; jawapan para penghibur (kadang-kadang membosankan) kita adalah sangat menjelekkan!

"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa, ayat 56).

Kita memang mudah hendak bercakap itu ini kerana lidah tidak bertulang. Belit sana, belit sini. Tapi haruslah kita ingat, setiap tutur kata kita itu ada dosa dan pahalanya yang tercatit. Kata-kata boleh menjadi pahala, dan kata-kata boleh menjadi dosa.

“Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaaf, ayat 18)

Sebab itulah, di akhirat kelak, lidahlah satu-satunya anggota yang akan dikunci dan tidak dibenarkan bercakap oleh Allah swt kerana di dunia ini, terlalu banyak kerja lidah dan lidah boleh berbohong. Kalau dibenarkan lidah untuk berbicara kelak, sampai ke sudah pun tidak akan selesai pengadilan di Mahsyar dan ramailah orang akan berusaha membelit dan menipu untuk memiliki nikmat syurga.

Allah swt pernah mengingatkan Nabinya, Harun dan Musa sewaktu berdakwah kepada Fir'aun untuk menjaga tutur kata meraka.

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Toha, ayat 43-44)

Kata-kata yang baik akan melembutkan hati yang keras. Dakwah bukanlah suatu yang mudah. Ibarat menjaja kebaikan; susahnya hendak terima dan sekejap sahaja dilupakan berbanding dengan menjaja keburukan, sekelip mata sahaja kita akan percaya.

Dalam apa jua yang hendak kita katakan, berfikirlah dahulu impaknya. Lidahlah punca persengketaan berlaku. Lidahlah yang mudah mengadu domba, memfitnah, mengumpat, mencela, mengata dan segala-galanya. Namun, lidah jualah yang menasihati, berzikir... Lalu, pilihlah... fungsi lidah yang bagaimana hendak kita bentuk dalam kehidupan kita. Hidup inikan suatu pilihan?



“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Kita jarang nampak soal kata boleh menjadi pahala. Namun percayalah dengan janji Allah itu. Hatta mengalihkan pandangan dari memandang maksiat pun sudah dikira pahala, padahal jeling gitu je... apatah lagi bila kita mampu berkata-kata menegur sesuatu dengan niat menjaga agama. Subhanallah...itulah peringkat iman yang paling tinggi.

Al-Quran ada menjelaskan ciri hamba Allah yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran 'ibad ar-Rahman, iaitu mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata baik dan indah.

Boleh ke kita bersikap demikian? Akhlak kita, orang yang mencerca harus kembali dicerca... Tidak ramai yang berdiam diri dan meminta keampunan Allah saat dicerca kerana merasakan 'diam tanda kalah'... (Geleng-geleng). Tak patut... diamlah, jika tiada satu perkara kebaikan hendak diperkatakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

“Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70)



Akhirnya, marilah kita sama-sama muhasabah diri... andai terkurang, marilah kita lengkapkan. Andai sudah terlaksana, marilah kita sempurnakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28).

Perkara sebegini...akan menjadi dacing kita di akhirat kelak... sama ada ia memberat ke kanan, atau memberat ke kiri.

Setengah daripada sebaik-baik Islam seseorang manusia itu... iaitu meninggalkan ia akan barang yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat. (Sabda Rasulullah saw)