Sunday, January 18, 2015

Resepi : Linut Atau Ambuyat

Assalamualaikum wbh.

Dulu waktu belajar di Sarawak, terlalu banyak keunikan yang sempat aku memorikan bermula daripada bahasa, adat, gaya hidup sehinggalah kepada makanannya.  Dan sudah pasti, dalam banyak-banyak kenangan tu tang makanan la yang paling meninggalkan kesan.  Orang kata, boleh terasa-rasa lagi rasa makanan tu di lidah.

Tapi, yang sempat aku belajar denagn mak angkat aku ialah kek lapis Sarawak.  Kek lapis ni biasanya dapat kitorang jamah secara gilang gemilang waktu raya.  Raya kat sana tak macam kat Semenanjung.  Kita biasa makan nasi dagang la, sate, biskut-biskut tapi kat sana boleh dikatakan sepanjang dua tahun aku beraya di perantauan tu, aku lihat perayaan Aidilfitri disambut meriah dengan pelbagai corak kek lapis dan dihidangkan dengan air tin.  Adoii.. boleh kena kencing manis!  Jarang dapat rumah yang hidang nasi, ketupat dan rendang.

cantikkan?  Sumber gambar Google
Hari tu, ada kawan yang sama pengajian post status di FB tentang umai Sarawak.  Oh, sangat sedap bila diingat balik tapi bila mengenangkan aku sedang mengandung dan umai tu pulak ada cuka, rasanya biarlah dulu.  Semoga baby baik-baik aje dalam perut ni dan tak mula membuat pesanan di section ‘womb service’.  Mintak-mintak talian engaged!  Hihi..

Selain daripada umai, di Sarawak juga aku mula tahu apa itu Linut.  Linut ni makanan orang Melanau kalau tak salah.  Linut ni dia macam likat-likat sikit sebab diperbuat daripada tepung sagu.  Al maklumlah, di Sarawak itu banyak pokok sagu maka mereka mempelbagaikan makanan hasil daripada sagu.  Orang Sarawak juga suka makan ulat sagu, atau dikenali juga sebagai Ulat Mulong.

Aku tak pernah makan sebab aku geli tengok ulat yang gemuk dan terkedek-kedek tu.  Pernah dulu waktu nak balik cuti semester, aku bercadang nak beli ulat mulong ni untuk dibawa balik.  Lepas ke tidak nak naik belon (kapal terbang) tu tak tahulah.  Asalnya, sebab aku nak cuba makan dengan air tangan mak aku.  Fikirku, pandai-pandailah mak aku masak nanti sebab apa jua air tangan mak aku, mesti aku rasa sedap.  Nasib baik Mama tak pernah cuba masak ranting kayu masak kicap.  Entah-entah itu pun nanti aku puji cakap sedap.  Hihi. 

sumber Google
Aku ke Pasar Tamu yang terletak betul-betul di pekan Bintulu tu.  Waktu tu, seekor ulat mulong bersaiz ibu jari berharga 50 sen seekor.  Mak aihh... aku terus tak jadi nak beli.  Harga mungkin satu hal, tapi yang paling menghalang ialah bila fikir kalau tak makan, tak ke haru nak bazirkan 50sen tu?... baru sekor.  Takkan nak beli sekor?  Huhu.. aku just nak cuba je.  Kalau tentu sedap, berbaloilah 50sen tu tapi sebab takut dan was-was, maka aku pun tak jadi beli.  Last-last, aku beli ikan terubuk masin je yang sah-sah aku makan.  Jadi, sampai sekarang jangan tanya aku macam mana rasa ulat mulong tu sebab aku tak pernah sekali pun rasa, tapi kawan-kawan aku cakap, rasa dia macam berlemak gitu.  Eeeww...  Tapi, lepas balik daripada sana, baru aku tahu bahawa sesungguhnya memakan ulat mulong itu hukumnya haram bagi orang Islam.  Fuihh.. nasib baik Allah jauhkan naluri nak makan tu. 

Walau pun begitu, bersempena dengan edisi rindu pada tanah borneo tu, hari ni aku nak kongsikan satu resepi makanan Sarawak seperti yang tercatat di atas tu, iaitu Linut atau Ambuyat.  Linut ni biasanya di makan dengan sup, sambal belacan dan juga sayur-sayuran selain daripada lauk pauk lain.  Macam kita makan nasi.  Tapi waktu di Sarawak, kitorang makan bersama dengan sambal belacan dan sayuran yang sudah digaul bersama dengan lauk seperti ikan.  Resepi ni aku dapat daripada orang Sarawak sendiri.

Bahan-bahan :

Tepung sagu (boleh diganti dengan tepung ubi)

Air panas

Cara-caranya :

Gaulkan tepung ubi bersama air panas yang betul-betul panas tu sehingga tepung menjadi likat dan jernih.


Untuk lauk pauknya pula, aku buat ikut suka aku je nak makan macam mana.  Aku buat stail macam yang aku makan di Sarawak dulu.  Pucuk midin (pucuk paku) goreng kicap, sup ayam pastu sambal belacan.  Itu je.  Cara makan dia ialah, mula-mula kena siapkan lauk pauk tu dulu.  Kemudian baru buat linut tu.  Sebab utamanya ialah, linut tu sedap kalau dimakan panas-panas.  Kalau dah sejuk nanti, takut liat sangat nak telan.  Cara makannya pula ialah pakai candas atau kat sini ko pakai je chopstick tu.  Pusing-pusing pastu makan.

sumber Google
Tapi, kalau korang tak pernah makan dan baru nak mencuba, disini aku kasi resepi yang aku ambil daripada laman web nutriweb.org.my.  Kiranya ni resepi skema sket la sebab aku tak rasa orang-orang di Sarawak sana makan macam ni.  huhu...

ni cara aku makan dulu.  sumber gambar Google
RESEPI LINUT @ AMBUYAT
Sumber : www.nutriweb.org

Bahan A

1 kg (6 cawan) sagu rumbia
Air panas yang baru dimasak
1 liter (4 cawan) air

Bahan B

600 g ikan putih/tongkol/tenggiri/kurau/senangin
40 g (5 ulas) bawang merah
10 g (2 ulas) bawang putih
10 g (2 sm) kunyit hidup ditumbuk kasar
10 g (2 sm) halia
3 g (5 biji) cili padi
30 g (2 batang) serai, diketuk
5 g (5 keping) asam keping
9 g (1 sudu teh) garam
625 ml (2 cawan) air

Bahan C

500 g (60 pokok) pucuk paku, dibersihkan dan dipetik
3 g (1/2 sudu teh) garam
10 g (1 sudu makan) minyak sayuran
20 g (3 ulas) bawang merah
10 g (2 ulas) bawang putih ditumbuk
10 g (1 sudu makan) belacan
125 ml (1/2 cawan) air
1 biji cili merah (dihiris) untuk hiasan

Cara memasak

Bahan A

Sagu dicampur dengan 4 cawan air dan mendapkan selama 10 minit.

Tuang air dan masukkan sagu ke dalam bekas yang tahan air panas.

Bancuh sagu dengan air panas yang baru mendidih. Kacau hingga sebati dan masak sehingga sagu
kelihatan jernih dan likat (seperti gam. Ini menandakan sagu itu telah masak).

Bahan B

Ikan dibersih dan dipotong 5 keping.

Masak di dalam periuk bersama-sama dengan bahan-bahan lain. Rebus sehingga masak.

Bahan C

Panaskan minyak di kuali dan tumis semua bahan yang ditumis sehingga naik bau.

Masukkan sayur pucuk paku dan garam. Tambah 1/2 cawan air. Masak hingga empuk. Hiaskan dengan cili merah.

Selamat mencuba!